ZAHIRIL BERHASRAT CARI ‘SAHAM AKHIRAT’ DI SET PENGGAMBARAN | Kisah Seorang Pencuri Dalam Jejak Menuju Keinsafan
Hasrat dan niat yang salah juga mungkin terselit cebisan kebaikan; kerana perjalanan hidup seseorang bukan hanya ditentukan oleh niatnya di permulaan tetapi oleh tindakannya di penghujung hayat. Itulah bayangan “buah tangan” yang ingin diketengahkan Zahiril Adzim, selaku pengarah yang menyuntik sentuhan anak seninya dalam telefilem berjudul Pencuri Rumah Imam.
Menampilkan elemen komedi santai, telefilem ini akan menceriakan malam Sabtu penonton menerusi slot Cerekarama di TV3. Pencuri Rumah Imam merupakan karya kedua arahan Zahiril Adzim dan bakal menutup tirai siri projek Dari Layar Ke Lensa di TV3.
Dari Layar Ke Lensa merupakan inisiatif TV3 sempena ulang tahun ke-41 yang menampilkan empat pelakon tersohor negara iaitu Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril Adzim dan kini mengambil kerusi pengarah untuk memperkaya kandungan tempatan. Dengan mengetengahkan penceritaan yang lahir daripada jiwa dan pengalaman mereka sendiri, projek ini mencerminkan komitmen TV3 dalam memperkasa bakat kreatif tempatan serta membuka ruang kepada naratif segar melalui sudut pandang unik para penggiat seni.
Pencuri Rumah Imam mengisahkan seorang pencuri bernama Adli (Fikry Ibrahim) yang menyamar sebagai orang kaya bagi menyembunyikan identiti sebenarnya daripada penduduk kampung. Penyamarannya berhasil apabila dia berjaya meraih kepercayaan Tok Imam Saleh (Razak Ahmad) yang ketika itu sedang berdepan tekanan mengenai kredibilitinya sebagai pemimpin surau.
Mengambil kesempatan dalam kesempitan Tok Imam Saleh, Adli menyatakan tujuannya ke kampung itu adalah untuk mendalami ilmu agama, sedangkan niat sebenarnya adalah untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa. Tok Imam yang berlapang dada melihat potensi perubahan dalam diri Adli,
lalu menerima niatnya untuk ‘berhijrah.’ Namun, bukan semua orang mudah percaya. Khadijah (Shiqin Kamal), anak perempuan Tok Imam, menaruh rasa sangsi terhadap keikhlasan Adli, lantas mencetuskan ketegangan dan konflik dalaman.
Siapakah Adli sebenarnya dan adakah dia akan terus berpura-pura, atau akhirnya benar-benar berubah apabila mendapat dorongan dan didikan agama oleh Tok Imam?
Pencuri Rumah Imam dibarisi pelakon berpengalaman seperti Fikry Ibrahim, Shiqin Kamal dan Razak Ahmad, membawa mesej tentang nilai kemanusiaan, keinsafan dan sindiran sosial yang halus.
Misalnya, babak Adli bersembunyi dalam van jenazah ketika melarikan diri mungkin dilihat sebagai perlambangan manusia yang hanya mengingati mati saat dihimpit desakan hidup. Namun bagi Zahiril, tiada mesej tersembunyi diselitkan, tetapi beliau terbuka jika ada yang mahu mentafsirkannya secara simbolik.

Menurut Zahiril, “Niat asal filem ini memang sekadar komedi. Tapi kalau ada yang melihatnya dari sudut simbolik, saya tak menolak. Kadang-kadang sebagai manusia, kita hanya mula ingat Tuhan bila rasa diri dekat dengan kematian. Tapi kalau perkara ni dapat dibaca dan orang dapat mesej baik daripada karya saya, saya anggap itu suatu bonus dan mudah-mudahan saya pun dapat ‘saham akhirat’.”
Naskhah ini turut menyentuh isu materialisme serta kesan buruk pengaruh wang terhadap manusia. “Bagi saya, duit memang jahat. Ia boleh bawa kepada pergaduhan, malah sampai ke tahap mencabut nyawa. Daripada sekecil-kecil ringgit yang menjadi masalah hinggalah ke konflik besar dunia, semuanya berpunca daripada kerakusan manusia terhadap kekayaan. Memang kita perlukan duit untuk hidup, tapi jangan sampai ia memakan diri sendiri. Itu simbolik yang saya cuba sampaikan dalam karya ini,” jelas Zahiril.
Nantikan Pencuri Rumah Imam, sebuah telefilem yang mengangkat persoalan kejujuran, peluang kedua dan kesedaran diri yang akan ditayangkan pada hari Sabtu ini, 26 Julai, jam 10 malam di slot Cerekarama TV3. Ia sekali gus melengkapkan siri eksplorasi kreatif empat pengarah selebriti yang diberi ruang untuk berkarya melalui Dari Layar Ke Lensa.
Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.
senarai pelakon yang hebat
ReplyDelete