Movie Review | Wasiat Warisan (2025)

Sunday, 10 May 2026

 

Pengarah: Agustinus Sitorus  
Penulis Skrip: Ridho Brado, Agustinus Sitorus 
Pelakon: Derby Romero, Astrid Tiar, Sarah Sechan, Hamka Siregar, Rita Ch Panduri, Jenda Munthe, Sumaisy Djaitov Yanda, Vito Sinaga, Femila Sinukaban, Dorman Manik
Syarikat Produksi: PIM Pictures, Dynamic Pictures, Layar Production  
Pengedar: PIM Pictures, Netflix
Genre: Drama / Komedi 
Durasi Tayangan: 116 minit
Tarikh Tayangan: 4 Disember 2025   
Trailer:


Naskhah berlatarkan Toba, Indonesia mengisahkan tiga orang adik-beradik bernama Tarida (Sarah Sechan), Ramona (Astrid Tiar) dan si bongsunya, Togar (Derby Romero) mendapat Hotel Pariban setelah kematian orang tua mereka. 3 tahun selepas kematian ayah (Hamka Siregar) dan ibu (Rita Matu Mona) mereka pun mereka tidak dapat menjaga dan menguruskan dengan baik walaupun mempunyai para pekerja di situ. 

Tarida dan Ramona tidak mempunyai ilmu perniagaan malah sibuk menguruskan keluarga masing-masing lalu mereka memanggil Togar untuk pulang. Mana tahu idea Togar dan pengalaman dia bekerja dalam jabatan pemasaran boleh membantu perniagaan warisan keluarga. Togar mengambil cuti selama 3 hari dan mula bekerja sebaik saja sampai. 

Usaha dan ideanya berjaya kerana Hotel Pariban mempunyai keunikan tersendiri iaitu terletak berhadapan dengan Danau Toba yang indah memukau. Togar juga meminta pertolongan dari Maria (Femila Sinukaban) untuk memasak kerana gadis idamannya pernah belajar masakan tradisi Medan dari mendiang ibunya. 

Sangka mereka ujian sudah selesai hingga Puan Linda (Dharty Manulang), rakan baik mendiang ibu mereka muncul untuk menuntut hutang yang tertunggak. 3 tahun tidak berbayar menjadikan hutang tersebut setinggi 500 juta rupiah dan mereka tiga-beradik diberikan masa selama seminggu untuk lunaskan atau Hotel Pariban akan berpindah milik. 

Filem Wasiat Warisan arahan Agustinus Sitorus  menggunakan konflik keluarga sebagai tema utama sebagai premis utama. Hubungan ketiga beradik tak lah semurni yang dipaparkan di hadapan orang. Dah lama Ramona dengan Tarida memendam rasa sebab ibu mereka selalu lebihkan Togar dan hantar adik bongsu ke Jakarta untuk kejar impian. Bila berjumpa dengan orang kampung, bangga bercerita tentang Togar. 

Konflik keluarga ni mungkin nampak biasa dan sering berlaku tapi sakit dia tetap terasa apatah lagi dikembangkan dengan baik. Watak Tarida pun selalu menyebut yang dia gagal sebagai kakak sulung bila Ramona dan Togar selalu bertengkar. 

Tak kurang juga dengan watak Ramona yang selalu disyaki bersubahat dengan suami dia, Johan. Dah lah terpaksa kahwin sebab aturan keluarga, dapat pula suami yang suka mabuk dan berjudi. Sedih dengan nasib hidup sampai buruk sangka dengan orang tua sendiri. Kalau dekat tempat Ramona pun tak mungkin lah nak husnuzon sebab beradik yang lain dapat kehidupan yang lagi bagus. Kakak dia beruntung kahwin dengan suami (Dorman Manik) kerja Kerajaan, rajin dan baik pulak tu. 

Filem Warisan Wasiat menggunakan keindahan landskap Toba yang mempunyai lokasi-lokasi popular di sekitarnya dan mengangkat latar masyarakat dari komuniti Batak yang beragama Kristian. Budaya Batak yang dimasukkan tak sekuat Ngeri Ngeri Sedap (2022) tapi pamerkan sisi lain iaitu budaya hiburannya. Dalam Warisan Wasiat ada babak Togar dan rakan-rakan minum tuak di Bisnis Minuman Keluarga Gultom (BMKG) kemudian nyanyikan lagu Batak. Ada lagu yang sedap didengar tapi tak tahu tajuk. 

Naskhah ni sepatutnya diadun dalam genre drama tapi tak kuat sangat pun melainkan perbalahan tiga beradik untuk babak klimaks. Dari awal sampai hujung lebih banyak komedi. Kelakar dan menghiburkan juga babak komedi yang dimasukkan cuma genre drama dia tak memberikan impak dan kesan yang mendalam. 

Bukan sesuatu yang buruk pun cuma konflik seberat ini terlihat santai walhal genre yang dipromosikan adalah drama. Lakonan watak-watak utama dan sampingan juga membantu penceritaan cuma screentime untuk beberapa watak tak sekata lah macam keluarga Tarida yang muncul untuk babak penting atau para pekerja Hotel Pariban. 

Filem Wasiat Warisan terbitan PIM Pictures, Dynamic Pictures dan Layar Production sesuai dijadikan tontonan santai bersama keluarga di hujung minggu. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +1, 6. Genre +0.6, 7. Themes +0.7, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +0.6, 10. Personal Thought +0.6 = 7.3/10

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.