Movie Review | Andai Ibu Tidak Menikah dengan Ayah (2025)

Friday, 8 May 2026


Pengarah: Kuntz Agus
Penulis Skrip: Evelyn Afnilia
Pelakon: Amanda Rawles, Sha Ine Febriyanti, Bucek, Eva Celia, Nayla Purnama
Syarikat Produksi: Rapi Films, Screenplay Films, Legacy Pictures, Vortera Studios
Pengedar: Rapi Films, Netflix
Genre: Drama
Durasi Tayangan: 119 minit
Tarikh Tayangan: 4 September 2025 (Indonesia)
Trailer:


Mengisahkan tentang Alin Nadhira Tiowulan (Amanda Rawles) yang mengalami masalah di universitinya gara-gara biasaiswanya dikaji semula oleh pihak pengurusan. Alin menegaskan biasiswanya berbeza dari mahasiswa lain kerana dia adalah anak orang miskin namun alasannya diendahkan kerana dana biasiswa tetap sama walaupun berbeza jenis. 

Alin terpaksa berpindah masuk ke rumah keluarganya yang uzur sementara menunggu keputusan dari pihak pengurusan. Melihat keadaan keluarga Alin, teman lelakinya, Irfan (Indian Akbar) memujuk supaya berhenti saja kuliah dan berkahwin dengannya kerana mereka sudah bercinta selama 5 tahun. Irfan pula sudah mempunyai kerja tetap dan kewangan yang stabil.


Namun diari ibunya, Wulandari Hermansyah (Sha Ine Febriyanti) buatkan Alin makin buntu. Adakah dengan berkahwin, kehidupan dia akan lebih bahagia? Ibu dia juga memilih lelaki yang bagus dan stabil tapi akhirnya hidup melarat. Kebetulan Alin terlihat ibu dia berjumpa kembali dengan Biru atau Dr. Andri (Ariyo Wahab) lalu dia mula buruk sangka dan menganggap Wulan selingkuh dengan ayahnya, Tio (Bucek). 


Meski adiknya, Asya (Nayla Purnama) menegah tanggapan Alin tapi semakin susah untuk tutup mata dengan perbuatan ibunya. Tambah lagi, hubungan cinta Wulan bersama Biru lebih indah dari kehidupan perkahwinannya. 

Naskhah drama Andai Ibu Tidak Menikah dengan Ayah arahan Kuntz Agus menyingkap kehidupan sebuah keluarga yang tertekan kerana kegagalan ketua keluarga untuk bangkit dari kegagalan. Kalau ikutkan Tio ada perniagaan yang bagus untuk menyara keluarga tapi sebab tamak, kembangkan perniagaan dengan cepat sampai melingkup. Lepas dah gagal tak boleh nak bangkit malah membebankan keluarga. 


Kesian dekat Wulan lah sebab kena jadi ketua keluarga, jaga anak-anak, buat perniagaan dobi sampai sakit pun terpaksa gagahkan diri pergi kerja. Ada duit nak repair rumah tapi duit pula kena curi buat modal judi. Kalau jadi Anis (Eva Celia) pun memang sakit hati, sakit mata tengok perangai ayah dia. Makin tua makin membebankan keluarga padahal sihat elok je untuk bekerja. 

'gapapa kalo aku gak lahir, yang penting ibu punya hidup yg lebih bahagia.' - Alin


Sinematografi dari Gandang Warah, ICS menguatkan lagi genre drama dalam penceritaan Andai Ibu Tidak Menikah dengan Ayah. Perjalanan Wulan setiap pagi pergi rumah ke rumah untuk kutip baju kemudiannya ke kedai dobi berjaya buatkan kita rasa kasihan dengan rutin harian dia. Bila Alin tolong Wulan, baru dia nampak kehidupan ibu dia yang perit disebabkan ayah dia lepas tangan. Selama ni dia selalu pertahankan Tio tapi satu perjalanan boleh ubah perspektif kehidupan yang selama ni disorok oleh Anis dan Asya. 


Walaupun naskhah Andai Ibu Tidak Menikah dengan Ayah diadun dalam genre drama tapi latar masyarakat di kawasan perumahan Alin tak lah kejam dan teruk. Masyarakat yang mendukung dan sentiasa ramah menyapa Wulan sebab semua orang pun tahu Tio menyusahkan keluarga. Ceti yang datang kutip hutang pun tak berkasar dengan Wulan. Watak Anis sahaja yang garang tapi dia banyak pakai mata dan body gestures. Musik dari Ricky Lionardi mendukung penceritaan yang menyesakkan dada dari Rapi Films. 


Vibe filem Andai Ibu Tidak Menikah dengan Ayah tenang walaupun situasinya genting dari awal filem hingga ke hujung. Mungkin sebab pengarah cuma nak menjawab pertanyaan Alin. Di hujung filem Wulan jawab pertanyaan tu dan boleh dijangka lah jawapannya sebab jawapan cliché para ibu. Tapi Wulan nak jawab beria pun, dia bukannya tahu apa nasib dia bila berkahwin dengan Biru atau ada kerjaya sendiri. 


Menarik juga lah penulis buat cerita Andai Ibu Tidak Menikah dengan Ayah dari sudut pandang anak kedua sebab anak kedua memang ada personaliti jenis tak cara dengan orang sekeliling. Tak pandai read the room macam anak sulung, tak juga selalu menjadi peneman orang tua seperti si bongsu. Bila Alin yang jadi watak utama, kita yang menonton dapat tengok dan tahu macam pertama kali melihat keadaan tu.

Gaya penceritaan yang diolah oleh  Kuntz Agus tak jauh beza dengan filem-filem drama yang lain seperti Galaksi (2023) atau Hidup Ini Terlalu Banyak Kamu (2024), genre drama, ada mesej yang kuat tapi dramanya tak begitu mengasak. But still a good watch. 

1. Team Production +0.8, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +0.8, 6. Genre +0.7, 7. Themes +1, 8. Editing +0.8, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.8 = 8.6/10

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.