Petaling Jaya, 21 Mei 2026 – Meneruskan komitmen dalam menghasilkan cerita yang berani, Astro Shaw kembali dengan filem terbaharu, HAK: Tuntut Atau Tunduk, sebuah drama aksi yang mengangkat realiti kehidupan masa kini, dengan kisah tekanan ekonomi yang semakin meningkat, perjuangan untuk terus bertahan, serta pilihan sukar yang terpaksa dibuat apabila terdesak.
Diterbitkan oleh Astro Shaw bersama Enotech Pictures dan Icon Pictures, serta rakan strategik Etika Sdn Bhd menerusi jenama 7UP dan Mirinda, filem ini dalam fasa produksi dan dijangka menemui penonton di pawagam tidak lama lagi.
Naskhah ini mendapat sentuhan bakat-bakat kreatif tanah air seperti Ezrie Gazali yang sebelum ini mengarahkan filem Abah Saya Uncle Mike. Manakala, skripnya ditulis penulis terkemuka, Alfie Palermo yang menghasilkan siri premium One Cent Thief, berdasarkan idea asal Santharuban Thurai Sundaram.
Diperhebatkan lagi dengan barisan pelakon filem pecah panggung seperti Syafiq Kyle dan Beto Kusyairy, HAK: Tuntut Atau Tunduk turut menampilkan Kodi Rasheed, Mimi Lana, Fadhli Masoot, Aziz M Osman, Radhi Khalid, Rubini Sambanthan, El Umar Mokhtar dan Dato' Fizz Fairuz. Ini juga menyaksikan Syafiq Kyle dan Beto Kusyairy bergandingan buat pertama kali di layar perak.
Penggambaran dijalankan di lokasi sekitar pasar awam dan komuniti pangsapuri di Lembah Klang, dan menjadikan HAK: Tuntut Atau Tunduk sebuah pengalaman sinematik yang segar, realistik dan dekat dengan kehidupan seharian masyarakat Malaysia.
Menurut Penerbit Eksekutif HAK: Tuntut Atau Tunduk merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, “Apa yang menjadikan projek ini lebih menarik adalah buat pertama kalinya, kita dapat menyaksikan dua bakat hebat tanah air, Syafiq Kyle dan Beto Kusyairy bertembung dalam aksi kejar-mengejar seperti ‘musang memburu ayam’ yang mendebarkan. Penonton bakal melihat mereka bergandingan dalam satu filem bersama barisan pelakon dan pasukan kreatif yang hebat diterajui oleh Ezrie Gazali dan Alfie Palermo.
Kami juga amat berterima kasih kepada Etika, 7UP dan Mirinda atas kepercayaan mereka terhadap projek ini sejak dari awal. Kepercayaan berterusan mereka terhadap visi dan keupayaan kreatif kami, bersama sokongan serta kerjasama kukuh yang diberikan, memainkan peranan besar dalam merealisasikan filem ini.”
Penerbit Eksekutif HAK: Tuntut Atau Tunduk dan idea asal, Santharuban Thurai Sundaram berkata, “Idea cerita ini tercetus daripada pemerhatian terhadap perubahan landskap perniagaan semasa. Saya melihat semakin ramai rakyat tempatan melepaskan peluang dalam bidang perniagaan, sedangkan peluang dan ruang tersebut mula diambil serta dimanfaatkan oleh pekerja asing dan semakin berjaya membina serta mengembangkan perniagaan sendiri dalam pelbagai sektor.
Rentetan daripada itu, saya merasakan isu ini wajar diberi perhatian secara lebih positif dan terbuka. Harapan saya, filem ini dapat membuka mata masyarakat tentang pentingnya rakyat tempatan merebut peluang, membina pemilikan sendiri, dan memainkan peranan lebih besar dalam memajukan ekonomi negara serta komuniti kita sendiri.”




Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.