KUALA LUMPUR, 14 Mei 2026 — Dengan pelancaran poster dan treler rasmi hari ini, Khadam memberikan gambaran yang lebih jelas tentang arah penceritaan filem ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai filem seram tempatan yang paling dinanti tahun ini.
Berlatar tahun 1950-an, Khadam membawa penonton ke dalam dunia sebuah keluarga yang berusaha memutuskan hubungan dengan satu entiti yang telah lama terikat dengan keturunan mereka. Dengan latar masa yang jarang diterokai dalam filem seram tempatan, filem ini menawarkan pendekatan yang berbeza daripada kisah saka konvensional, menggabungkan elemen emosi, psikologi dan hubungan kekeluargaan dalam naratif yang lebih mendalam.
Tonton treler rasmi di sini:
Diceritakan dari sudut pandang seorang ibu, filem ini mengikuti perjalanan Melor yang berdepan dengan satu kuasa yang bukan sahaja mengganggu, tetapi perlahan-lahan mengambil alih ruang dalam keluarganya.
Diterbitkan oleh Red Communications dan Komet Productions bersama rakan strategik serantau dan antarabangsa, Magma Entertainment dan VMS Studios (Indonesia), Sil Metropole (Hong Kong), Applause Entertainment (India), serta Primeworks Studios dan Golden Screen Cinemas (Malaysia), dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Khadam hadir sebagai sebuah penerbitan berskala besar yang dirancang dengan teliti. Kolaborasi ini bukan sekadar mempertemukan nama-nama dari pelbagai negara, tetapi memperkukuh daya tarikan filem ini di peringkat serantau melalui gabungan kepakaran dan perspektif yang lebih luas.
Arahan Shamyl Othman memberi fokus kepada penceritaan yang jelas, disokong visual sinematik yang kemas dan susunan emosi yang meyakinkan, menjadikan pengalaman menonton terasa lebih dekat dan mendalam.
Selepas kematian ibunya, Melor terpaksa mewarisi saka keluarganya, satu entiti halus yang diwarisi turun-temurun. Namun saka ini bukan sekadar menghuni, ia menjelma sebagai versi Melor yang lebih “sempurna”, melengkapkan segala kekurangan yang selama ini menjadi sebahagian dirinya.
Perlahan-lahan, kehadiran itu mula mengambil tempat dalam hidupnya. Peranan sebagai isteri dan ibu diganti tanpa disedari oleh seseorang yang kelihatan lebih tenang, lebih teratur dan lebih diterima. Dalam diam, Melor semakin terpinggir dalam kehidupannya sendiri.
Dalam keadaan itu, Melor bukan sekadar berdepan sesuatu yang menakutkan. Dia sedang berusaha untuk mempertahankan dirinya sebelum segalanya hilang sepenuhnya. Di situlah Khadam membina kekuatannya, bersandar kepada rasa kehilangan, ketakutan dan perebutan identiti yang dekat dengan kehidupan.
Filem ini diterajui oleh Aghniny Haque sebagai Melor dan Datuk Remy Ishak sebagai Awang, bersama Siti Khadijah Halim sebagai Manis, Zarra Zhaff sebagai Puteh, Karl’ El sebagai Hitam dan penampilan khas Jun Lojong sebagai Nek Mak.
Datuk Remy Ishak tampil dengan sisi berbeza sebagai Awang, seorang suami yang menyimpan kasih, tetapi tidak tahu cara menzahirkannya, kegagalan yang membawa kepada satu tragedi hingga menyebabkan Melor menjadi bisu, seterusnya meretakkan keseluruhan kehidupan mereka.
“Awang bukan watak untuk disukai. Dia wujud di sekeliling kita, lelaki yang merasa, tetapi tidak pernah mengaku. Itu yang membuatkan watak ini sangat mencabar untuk saya,” ujar Datuk Remy Ishak.
Kehadiran Aghniny Haque sebagai Melor turut menjadi kekuatan besar kepada Khadam. Dikenali menerusi karya-karya seperti KKN di Desa Penari, Mencuri Raden Saleh dan Qorin, Aghniny membawa kredibiliti tersendiri sebagai antara pelakon mudapaling menonjol di Indonesia hari ini. Ini juga merupakan filem pertama beliau di Malaysia dalam sebuah kolaborasi antarabangsa yang mempertemukan bakat dari pelbagai negara.
Sebagai seorang ibu yang bisu, Aghniny membawakan Melor dengan pendekatan yang terkawal namun berkesan. Tanpa dialog, setiap reaksi dan bahasa tubuhnya menyampaikan kehilangan seorang wanita yang sedang berusaha mempertahankan keluarganya.
“Melor adalah seorang mangsa yang terus bertahan walaupun dunia di sekelilingnya perlahan-lahan mengambil segala yang dia punya,” kata Aghniny Haque.
Menjelang tayangan rasminya di pawagam seluruh negara pada 11 Jun 2026, keterujaan terhadap Khadam terus meningkat. Ikuti perkembangan terkini menerusi @khadamthemovie di TikTok, Thread, Instagram, Facebook dan YouTube.

Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.