Namanya Hind Rajab Hamada. Usianya baru enam tahun. Dunia mendengar rintihannya, lalu berpaling seolah-olah nyawanya tidak bernilai.
Hind bukan pejuang, bukan askar mahupun ancaman. Dia hanya seorang kanak-kanak Palestin yang terperangkap di dalam sebuah kereta, dikelilingi mayat ahli keluarganya sendiri sambil memegang telefon dan merayu untuk hidup. Dalam suara yang bergetar, Hind meminta bantuan “Please come,” tuturnya dengan pilu. Meskipun dunia mendengar, dunia gagal untuk menyelamatkan.
Pada 29 Januari 2024, Hind berada di Gaza bersama keluarganya apabila kereta mereka diserang. Seorang demi seorang terkorban. Tinggallah Hind, sendirian dikelilingi jasad yang sudah tidak bernyawa. Dia menghubungi perkhidmatan kecemasan Palestin bukan untuk menangis tetapi untuk bertahan.
Dalam rakaman panggilan itu, suara Hind kecil, lemah namun penuh harapan. Dia tidak faham mengapa dia dibiarkan begitu lama. Dia tidak tahu bahawa bantuan yang dijanjikan kepadanya tidak pernah sampai.
Selama lebih dua jam, Hind bertahan di talian telefon. Dia menjawab soalan dengan suara yang semakin perlahan. Dia memberitahu bahawa dia takut. Dia memberitahu bahawa semua orang di sekelilingnya sudah ‘tidak bergerak.’
Apabila talian itu akhirnya senyap, ia rupanya jam terakhir sebuah zaman kanak-kanak. Ambulans yang tiba membawa harapan turut menjadi sasaran, dengan dua orang paramedik yang hadir dalam misi menyelamat itu akhirnya gugur di medan yang sama.
Menurut laporan pengesahan oleh PRCS dan pihak berkuasa tempatan Gaza, disokong juga oleh laporan BBC & Al Jazeera, Hind ditemui tidak bernyawa bersama enam ahli keluarganya, 12 hari kemudian, iaitu pada 10 Februari 2024, selepas pengunduran tentera Zionis. Sebanyak 355 butir peluru dilaporkan menembusi kenderaan yang mereka naiki.
Di saat pemimpin berdebat, di saat istilah ‘kerosakan sampingan’ digunakan, seorang kanak-kanak mati ketakutan, sendirian. Soalan paling menyayat hati bukanlah bagaimana Hind mati, tetapi mengapa tiada siapa menghentikannya daripada mati.
Hind Adalah Anak Kita Semua. Jika Hind lahir di tempat lain, jika dia bercakap bahasa lain, jika kulitnya berbeza warna, adakah nasibnya akan sama? Hind Rajab mengajar dunia satu perkara yang pahit bahawa nyawa seorang kanak-kanak Palestin masih perlu diperjuangkan untuk diakui sebagai nyawa yang berharga.
Hind Rajab bukan sekadar satu nama dalam senarai korban. Dia adalah simbol kepada kegagalan dunia untuk melindungi mereka yang paling tidak berdosa.
Hind sudah tiada. Tetapi suaranya masih bergema dalam rakaman, dalam ingatan, dalam hati nurani mereka yang masih mampu merasa. Setiap kali dunia memilih untuk berpaling, ingatlah suara kecil itu yang pernah berkata: “Please come…”
Ayuh bersama kita menonton The Voice of Hind Rajab, di pawagam terpilih di seluruh negara.


Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.