‘BISIK ASMARA’ GODAAN SEPI UQASHA SENROSE MENGUJI KESETIAAN ZUL ARIFFIN

Friday, 16 January 2026

Kuala Lumpur, 16 Januari 2026 – Di sebalik kehidupan yang kelihatan sempurna, tersembunyi bisikan hati yang mampu meruntuhkan segalanya. Bisik Asmara, sebuah drama sarat emosi tentang kesunyian, godaan dan konflik perasaan, bakal menemui penonton mulai 21 Januari hingga 10 Februari 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di slot Samarinda, TV3 atau di platform penstriman iQIYI.

Menampilkan lakonan hebat Zul Ariffin, Sophia Albarakbah dan Uqasha Senrose, drama 20 episod ini diterbitkan oleh Saphire Screen di bawah arahan Jamal Khan, serta skrip nukilan Rozie Rashid dan Zakinah Ab Zarith. Setiap episod membawa penonton menyelami kisah tiga jiwa yang terperangkap dalam hubungan penuh batasan dan dilema emosi. 

Bisik Asmara mengisahkan Noreen (Uqasha Senrose), seorang wanita berdikari dan berkerjaya yang hidupnya kelihatan sempurna, namun dihimpit kesunyian kian mendalam. Kehidupan teraturnya mula tergugat apabila Farhan (Zul Ariffin), rakan sekerja yang berdepan masalah tempat tinggal, memerlukan rumah sewaan sementara. 

Farhan terpaksa menjalani perkahwinan jarak jauh dengan isterinya, Sheila (Sophia Albarakbah), yang memilih untuk menetap di kampung demi menjaga ibunya Umi (Ruminah Sidek), yang uzur dan menghidap demensia. Kehadiran Farhan sebagai jiran, suami yang terperangkap antara tanggungjawab dan keperluan emosi, perlahan-lahan mencetuskan perasaan yang tidak sepatutnya wujud.

Hari demi hari, Noreen semakin dekat dengan Farhan meskipun terikat dengan rasa tanggungjawab dan kebimbangan. Tanpa disedari, hubungan yang bermula secara tidak bersalah berubah menjadi permainan emosi, obsesi dan pengkhianatan perasaan, sekali gus menguji kesetiaan, kejujuran serta batas moral. Dalam masa sama, Sheila yang berkorban demi keluarga mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena, membuka ruang kepada  yang semakin meruncing dan keputusan-keputusan sukar yang bakal mengubah hidup mereka semua.

Mampukah kepercayaan yang patah kembali dipulihkan atau adakah kesunyian akan terus menjerut jiwa? 

“Watak Farhan sangat dekat dengan realiti. Ramai lelaki bergelut antara tanggungjawab sebagai suami dan keperluan untuk difahami sebagai manusia. Drama ini bukan untuk menghakimi, tetapi untuk membuka perbincangan. Kadang-kadang bukan cinta yang salah, tetapi pilihan yang kita buat ketika hati sunyi,” jelas Zul Ariffin.

Lebih daripada sekadar kisah cinta terlarang, Bisik Asmara mengangkat realiti tentang kesunyian dalam perkahwinan, keperluan emosi yang terabai serta akibat apabila batas perasaan dilanggar. Dengan penceritaan yang matang, konflik psikologi yang mendalam serta lakonan berkesan daripada barisan pelakon utama, drama ini menjanjikan pengalaman tontonan yang mencengkam dan dekat dengan realiti kehidupan moden.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Bisik Asmara, bermula 21 Januari 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda TV3. Penonton boleh menonton episod baharu secara eksklusif di iQIYI, 1 jam selepas siaran di TV3, sama ada melalui laman web iQIYI atau aplikasi di Google Play dan App Store.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.