FILEM BERANI MENGANGKAT REALITI NIKAH TIDAK SAH & STIGMA ‘ANAK HARAM’ DALAM MASYARAKAT | ‘Akad Yang Hilang’ membawa pengalaman sinema yang mengubah perspektif
Kuala Lumpur, 13 Januari 2026 – Isu perkahwinan tidak sah bukan sekadar masalah undang-undang, namun ia adalah realiti yang boleh menjejaskan masa depan keluarga. Astro Shaw membuka tirai tahun 2026 dengan filem Akad Yang Hilang, mengetengahkan realiti yang wujud dalam masyarakat kita yang jarang dibincangkan iaitu nikah fasid.
Nikah fasid merujuk kepada perkahwinan yang dilangsungkan tetapi tidak memenuhi rukun dan syarat sah menurut hukum syarak, sekali gus memberi implikasi besar kepada status perkahwinan dan anak-anak yang terlibat.
Akad Yang Hilang memaparkan kisah Maryam yang ingin berkahwin dengan kekasih pilhan hatinya, Ammar. Sebagai sebahagian proses pendaftaran perkahwinan, Maryam memohon wali hakim kerana bapanya, Husni, telah meninggal dan satu-satunya adiknya, Zaki, baru berumur 17 tahun. Walau bagaimanapun, langkah yang sepatutnya mudah menjadi rumit dengan pendedahan yang mengejutkan.
Mahkamah Syariah memaklumkan perkahwinan ibu bapa Maryam tidak sah kerana fasid. Masalah Maryam itu tersebar di media sosial sehingga menjadi perbualan negatif masyarakat. Persoalannya, bagaimana Maryam ingin meneruskan perkahwinannya, berhadapan stigma orang sekeliling dan mencari jawapan mengenai statusnya sebagai anak yang sah.
Persoalan ini menjadi nadi Akad Yang Hilang dengan mengetengahkan refleksi realiti bagaimana seseorang terperangkap di antara implikasi undang-undang dan stigma masyarakat.
Menurut Penerbit Eksekutif Akad Yang Hilang merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, “Sebagai penerbit, Astro Shaw percaya filem mampu menjadi medium perubahan sosial. Akad Yang Hilang bukan sekadar sebuah filem, tetapi sebuah naskhah yang mampu mencetuskan perbualan dan perdebatan tentang realiti sosial yang mungkin kita terlepas pandang.
Filem ini akan membuatkan anda berpaling kepada orang di sebelah dan bertanya, “Apa yang akan kita lakukan jika perkara ini berlaku kepada kita?”. Kami mahu mencetuskan perbualan – di dalam pawagam, dalam perjalanan pulang dan di meja makan. Kerana kesedaran adalah langkah pertama untuk melindungi yang tersayang.
Dengan gabungan elemen cinta dan konflik moral, kami merasakan naskah seperti Akad Yang Hilang jarang dipersembahkan di pawagam tempatan. Ia membawa penonton untuk lebih memahami impak besar yang timbul daripada satu kesilapan atau keputusan kecil, sekaligus mencabar persepsi dan cemuhan masyarakat terhadap mereka yang terbabit.”
Akad Yang Hilang dibintangi Mira Filzah, yang terkenal dengan kemampuan lakonan emosinya. Ini menandakan penampilan semula Mira di layar perak selepas beberapa tahun. Ini juga gandingan pertamanya dengan Syarul Ezany yang juga membuat kemunculan semula di pawagam sejak penampilan terakhir pada tahun 2008. Bintang hebat lain yang menggerakkan watak dengan penuh dramatik adalah, Idan Aedan, Aleza Shadan dan Sherie Merlis.
Filem ini diarahkan Bahri Uma Bajuri yang juga membuat sentuhan sulung untuk layar perak. Dengan pengalaman luas dalam pengarahan drama, Bahri membawakan garapan emosi yang kuat dengan sokongan skrip oleh Zuli Ismail dan Eenaz Mokhtar. Manakala lagu berjudul ‘Yang Tertulis’ dendangan Dinda Dania menjadi lagu tema utama.
Saksikan Akad Yang Hilang di pawagam seluruh negara bermula 15 Januari 2026. Gunakan #AkadYangHilang di platform media sosial untuk berkatan filem ini. Ikuti semua akaun media sosial Astro Shaw untuk info dan klip menarik Akad Yang Hilang.



Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.