Itulah ungkapan ringkas tetapi penuh makna yang dilontarkan oleh Datuk Yusof Haslam sebaik melangkah keluar pawagam selepas menonton The Voice of Hind Rajab, sebuah filem yang merakam sisi paling getir konflik kemanusiaan melalui satu elemen yang jarang digunakan, iaitu suara sebenar daripada rakaman asal.
Menurut beliau, tragedi yang dipaparkan bukan sekadar kisah untuk ditonton, tetapi satu seruan kesedaran. “Apa yang boleh kita sokong, kita bantu rakyat Palestin melalui bantuan apa yang kita mampu,” ujarnya yang menyifatkan filem ini sebagai peringatan tentang tanggungjawab kemanusiaan yang tidak seharusnya dipandang ringan.
Mengangkat kisah benar Hind Rajab, The Voice of Hind Rajab membawa penonton menyelami detik-detik cemas yang selama ini hanya dilihat sepintas lalu di media sosial. Bezanya, pengalaman itu kini dihidangkan secara lebih dekat dan peribadi di layar perak, menjadikannya satu pengalaman emosi yang menyesakkan dada.
Keberanian pendekatan ini turut mendapat perhatian pengarah tersohor, Usamah Zaid, yang meluahkan rasa kagum terhadap pasukan produksi. “Saya tak boleh bayangkan bagaimana jika saya yang diberikan amanah untuk menghasilkan filem seperti ini. Saya respect semua yang terlibat di belakang tabir,” katanya, merujuk kepada kehalusan dan sensitiviti yang diperlukan untuk menghidupkan kisah sebenar seperti ini.
Pelakon Zahiril Adzim pula melihat filem ini dari sudut pengalaman penonton. “Kita sudah banyak lihat pengeboman dan kemusnahan di media sosial, tetapi filem ini membuatkan kita benar-benar ‘duduk’ dalam situasi kecemasan itu. Perasaan cemas dan tidak berdaya itu sangat terasa,” katanya.
Perasaan sama turut dikongsi oleh Shera Aiyob, yang terkesan dengan ketabahan seorang ibu dalam situasi paling menyayat hati, “Saya kagum dengan ketenangan ibu kepada Hind Rajab yang masih mampu memberi kata-kata positif walaupun berdepan situasi yang sangat mencemaskan,” ujarnya, menyifatkan momen tersebut sebagai antara paling menyentuh hati.
Bagi pempengaruh media sosial, Nyna Bukater, pengalaman menonton The Voice of Hind Rajab jauh lebih mendalam daripada sekadar mengetahui kisahnya. “Saya pernah mengupas kisah Hind Rajab di media sosial, tetapi apabila berpeluang mendengar sendiri suara daripada rakaman asal, saya tidak dapat mengawal emosi. Ia sangat meruntun hati dan menyentuh perasaan,” katanya. Malah, menurut Nyna, filem ini menyemarakkan lagi semangat untuk terus menjadi suara kepada mereka yang tidak didengari.
The Voice of Hind Rajab membuktikan bahawa satu suara yang kecil berupaya menggoncang jiwa dan memaksa dunia berhenti seketika untuk mendengar. Ia bukan sekadar sebuah filem, tetapi satu seruan kemanusiaan tentang empati, tanggungjawab dan keberanian untuk tidak lagi berpaling daripada realiti yang sedang berlaku. Saksikan The Voice of Hind Rajab di pawagam terpilih, bukan hanya untuk menonton, tetapi untuk mendengar dan merasai.

Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.