Sedang hangat ditayangkan sekarang, filem Rangga & Cinta bukan sekadar mengimbau kisah cinta legenda yang pernah menakluk hati jutaan penonton, tetapi juga membuka lembaran baharu buat dua pelakon muda yang kini menjadi sebutan, El Putra Sarira dan Leya Princy.
Gandingan dua bintang baharu ini membawa kehangatan tersendiri, bukan hanya kerana mereka membawakan watak ikonik, tetapi juga kerana cara mereka menghidupkan semula kisah itu dengan kejujuran emosi dan penuh rasa, menambah rencah dalam dunia Rangga & Cinta.
El “Shadday” Putra Sarira sebagai Rangga
El Putra Sarira dilahirkan pada 30 Disember 2003 di Papua Barat, membesar jauh daripada hiruk-pikuk bandar. Perjalanan beliau ke Jakarta mengambil masa hampir 12 jam penerbangan, manakala sewaktu di sekolah menengah, beliau terpaksa menaiki bot selama enam jam untuk sampai ke sekolah asramanya.
Selepas tamat sekolah, El melanjutkan pelajaran di Universiti Dipa Makassar, Jakarta Selatan; di sanalah cintanya terhadap dunia seni mula berkembang. Ketekunan dan keberaniannya akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya melepasi uji bakat Rangga & Cinta. Lebih istimewa, pemilihannya dibuat sendiri oleh Nicholas Saputra, pelakon asal watak Rangga dalam Ada Apa Dengan Cinta?, seolah-olah baton legasi itu kini diserahkan kepadanya.
Harleyava “Leya” Princy sebagai Cinta
Bagi Leya Princy, dunia seni bukan sesuatu yang asing. Dilahirkan pada 18 November 2006 di Jakarta, beliau membesar dalam keluarga seni, dengan kedua ibu bapanya, Perry Maryadi dan Risma Nilawati, yang masing-masing merupakan pelakon terkenal di Indonesia. Dengan darah seni yang mengalir dalam dirinya, Leya mula mencipta nama menerusi web series Pernikahan Dini, dan kini Rangga & Cinta menjadi filem pertamanya memegang watak utama.
Selain berlakon, Leya turut aktif menyanyi di bawah label Trinity Optima Productions, menunjukkan bakatnya tidak terbatas pada satu cabang seni sahaja. Walau masih muda, karisma dan kematangan yang dibawanya di layar membuat ramai terpukau, seakan-akan jiwa “Cinta” memang sudah tertanam dalam dirinya.
Sejak tayangan Rangga & Cinta, media sosial dibanjiri pujian terhadap keserasian dua pelakon muda ini. Dari komen seperti “Comelnya ya Allah” hingga “Mereka ni sepadan sangat!”, jelas bahawa penonton bukan sahaja terpikat dengan gandingan mereka di layar, tetapi turut jatuh hati dengan keakraban yang terpancar, baik di dalam mahupun di luar filem.
Apabila ditanya rahsia di sebalik keserasian mereka, El Putra Sarira mengakui semuanya bermula daripada keinginan untuk benar-benar mengenali watak masing-masing.
“Untuk wujudkan chemistry itu, kami banyak berbincang tentang karakter masing-masing. Kadang Leya akan tanya saya, ‘Adakah Cinta macam ini?’ atau ‘Rangga ni orangnya macam mana?’ Dari situ, kami saling bertukar idea. Kadang-kadang kami keluar bersama ke tempat yang watak kami suka, contohnya ke kedai buku, supaya kami dapat rasa dunia yang sama.”
Leya Princy pula berkongsi pandangannya, “Kami cuba faham apa yang bermain dalam fikiran Rangga dan Cinta, dan menyelami jiwa mereka dengan mendalami watak serta mencuba perkara-perkara baharu.”
Daripada dua latar kehidupan yang berbeza, El Putra Sarira dan Leya Princy bertemu di titik yang sama. Mereka membawa semula kehangatan, puisi dan magis cinta klasik dalam versi yang lebih muda dan relevan untuk generasi hari ini.
Saksikan sendiri cara mereka berdua menulis semula sejarah cinta di layar perak dengan cara mereka sendiri. Jom ke pawagam berdekatan anda sekarang!
Bila dua jiwa bertemu, cinta menemukan nadanya..
Kerana setiap generasi punya Rangga & Cinta mereka sendiri.
Untuk perkembangan dan kandungan eksklusif filem ini, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.