DUKES HARGAI KESETIAAN PEMINAT HADIAHKAN SHOWCASE PERCUMA & UMUM KONSERT SOLO

Wednesday, 19 August 2026

Kuala Lumpur, 19 Ogos 2026 – Sebagai tanda penghargaan kepada para peminat yang terkesan dengan pembatalan sebuah konsert yang sepatutnya berlangsung pada 16 Ogos lalu, kumpulan DUKES mengambil inisiatif untuk menganjurkan showcase percuma ‘Fan Appreciation Session’ di Drum Asia, Hartamas pada Ahad lalu, sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan muzik kumpulan itu.

Keputusan untuk mengadakan sesi istimewa tersebut dibuat sejurus pengumuman pembatalan konsert oleh pihak penganjur. DUKES tersentuh melihat reaksi para peminat di media sosial yang meluahkan rasa kecewa kerana ramai telah membuat pelbagai persiapan lebih awal, termasuk membeli tiket penerbangan, menempah penginapan serta mengambil cuti semata-mata untuk hadir menyaksikan persembahan mereka.

Bagi DUKES, sokongan dan pengorbanan para peminat tidak boleh dipandang ringan. "Kami tahu ada yang datang dari jauh, ada yang sudah beli tiket penerbangan, tempah hotel dan ambil cuti. Kami rasa bertanggungjawab untuk sekurang-kurangnya berjumpa dengan mereka. Walaupun kami tidak mampu menggantikan konsert yang dibatalkan itu, kami mahu hari tersebut tetap menjadi kenangan yang bermakna buat semua." jelas DUKES dengan sepakat.

Tambah DUKES, “Keputusan untuk menganjurkan showcase ini dibuat dalam tempoh yang sangat singkat, kurang daripada seminggu selepas pengumuman pembatalan konsert. Walaupun masa persiapannya cukup terhad, kami tetap mahu memastikan peminat yang sudah merancang untuk datang tidak pulang dengan rasa kecewa. Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Drum Asia Hartamas, kerana sudi menaja lokasi dan memberikan kerjasama sehingga sesi ini dapat direalisasikan dalam masa yang singkat.”

Menerusi sesi eksklusif yang menghimpunkan hampir 300 peminat dari seluruh negara yang telah mendaftar lebih awal, DUKES menghadiahkan sebuah mini showcase secara percuma yang berlangsung selama kira-kira 90 minit.  Antara yang hadir termasuk peminat dari Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang serta beberapa negeri lain yang sanggup melakukan perjalanan jauh demi bertemu kumpulan itu.  

Persembahan yang bermula sekitar jam 4.00 petang itu, menyaksikan DUKES mempersembahkan 11 buah lagu, termasuk lagu-lagu popular dari album Irama Budak Bermimpi seperti Surat, Bila Kau Datang Menangis, Laila serta sebuah lagu cover yang turut mendapat sorakan hangat daripada para peminat.

Dalam masa sama, persembahan itu bukan sekadar nyanyian malah diselang-selikan perbualan santai bersama peminat serta apresiasi kepada pihak yang sentiasa berada di belakang DUKES sejak hari pertama.

Kemuncak acara menyaksikan DUKES membuat pengumuman rasmi konsert solo pertama mereka DUKES LIVE IN CONCERT 2026, yang bakal berlangsung pada 7 November 2026 di Odeon Kuala Lumpur, sekali gus menghadiahkan satu lagi khabar gembira yang sekian lama dinantikan oleh para peminat.

Selesai persembahan, DUKES mengajak semua peminat merakamkan gambar kenangan beramai-ramai sebelum turun dari pentas untuk menyantuni mereka menerusi sesi Meet & Greet yang berlangsung hampir satu jam.  Tanpa sebarang sekatan atau had masa, setiap peminat diberikan peluang bergambar, berbual dan berinteraksi secara peribadi dengan setiap anggota DUKES. Suasana yang cukup mesra itu menjadi antara momen paling bermakna buat peminat yang hadir.

Sesi yang berakhir sekitar jam 7.00 malam itu menyaksikan ramai peminat meluahkan rasa terharu dan berpuas hati dengan usaha DUKES yang sanggup menghadiahkan sebuah persembahan khas secara percuma sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan mereka.

Dalam perkembangan lain, DUKES turut berkongsi satu lagi berita menggembirakan apabila album sulung mereka, Irama Budak Bermimpi yang dilancarkan pada 26 Jun 2026, berjaya mencatat lebih satu juta penstriman di Spotify dalam tempoh kurang dua bulan.

Pencapaian tersebut diumumkan oleh kumpulan itu empat hari lalu menerusi media sosial rasmi mereka dan disifatkan sebagai satu lagi bukti sokongan luar biasa daripada para peminat terhadap karya-karya DUKES.

"Kami sangat bersyukur dengan setiap sokongan yang diberikan. Sama ada hadir ke persembahan kami ataupun mendengar lagu-lagu kami di platform penstriman, semuanya sangat bermakna buat kami. Satu juta penstriman ini bukan sekadar angka, tetapi bukti bahawa muzik Dukes semakin diterima ramai. Terima kasih kerana terus percaya dengan perjalanan kami," ujar DUKES.

Bagi DUKES, kejayaan sesebuah kumpulan bukan sekadar diukur melalui jumlah lagu atau konsert yang berjaya dijual, tetapi juga melalui hubungan yang dibina bersama peminat.

Fan Appreciation Session’ menjadi bukti buat DUKES, setiap peminat yang sentiasa menyokong mereka adalah sebahagian daripada perjalanan yang tidak ternilai.

Konsert solo DUKES LIVE IN CONCERT 2026 akan berlangsung pada 7 November 2026 di Odeon Kuala Lumpur, manakala maklumat jualan tiket rasmi akan diumumkan menerusi platform Loket pada 28 Ogos 2026.

Dalam masa yang sama, Beatus Live Sdn. Bhd. selaku penganjur konsert solo DUKES akan memastikan segala persiapan berjalan lancar bagi memberikan pengalaman konsert yang terbaik kepada para peminat.


DUKES LIVE IN CONCERT 2026
Tarikh: 7 November 2026
Masa: 8.00pm
Lokasi: Odeon Kuala Lumpur
Penganjur: Beatus Live Sdn. Bhd.
Laman Rasmi: www.malamiramadukes.com

Maklumat lanjut mengenai penjualan tiket rasmi di platform Loket akan diumumkan pada 28 Ogos 2026 menerusi media sosial rasmi DUKES serta laman web www.malamiramadukes.com.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.