ZARIF GHAZZI, AKMAL ASYRAF, DAI FUAD, EVERTTS GOMES, CHECH HARITH, SERTAI MIERUL AIMAN BINTANGI KUDRAT 1968 | Cipta Kelainan Dengan Pendekatan, ‘Satu Cerita Dua Format’ Buat Pertama Kalinya Di Malaysia
Kuala Lumpur, 5 Ogos 2026 – Fenomena Projek: High Council telah meninggalkan impak besar dalam landskap penceritaan tempatan, bukan sahaja menerusi naratifnya yang mencetuskan perbualan, tetapi juga melalui pendekatan produksi yang mengangkat aras baharu bagi naskhah seni Malaysia.
Bermula dengan siri premium ‘Projek : High Council’ pada tahun 2023, dan kemudiaan penceritaan berkembang menerusi filem ‘Kahar : Kapla High Council’ tahun 2024, kini dunia High Council diperluaskan lagi dengan kehadiran ‘KUDRAT 1968’.
Buat pertama kali di Malaysia, Astro Shaw memperkenalkan pendekatan baharu dengan satu cerita dua format. Sebelum filem KUDRAT 1968 ditayangkan di pawagam, para peminat dapat menyaksikan empat episod siri premium Astro Originals. Strategi ini bukan sahaja menawarkan pengalaman penceritaan yang lebih luas kepada penonton, malah memperkenalkan satu rangka pemasaran baharu di mana siri berperanan sebagai medium untuk membina keterujaan, memperkenalkan dunia cerita serta mendekatkan penonton sebelum pengalaman sinematik filem KUDRAT 1968 di pawagam.
KUDRAT 1968 adalah sebuah prekuel yang akan membawa penonton kembali ke titik permulaan tercetusnya sistem hierarki rahsia yang diwujudkan oleh pelajar sendiri, yang menjadi nadi simbolik High Council.
Terdahulu, nama Mierul Aiman selaku pelakon utama telah diumumkan menerusi akaun media sosial Astro Shaw. Hari ini lima lagi tunggak utama diperkenalkan iaitu Zarif Ghazzi, Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith.
KUDRAT 1968 diterajui oleh showrunner Zulaikha Zakaria, yang sebelum ini menerajui Projek: EXIT dan Projek: High Council. Naskhah ini turut menandakan kemunculan pertama Khairi Asyraff sebagai pengarah bersama, di bawah produksi PASAL Productions.
Menurut Penerbit Eksekutif KUDRAT 1968 dan merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, “Hari ini, kami memperkenalkan enam pelakon utama yang akan membawa penonton kembali ke asal-usul High Council. Setiap pelakon yang dipilih menerusi sesi uji bakat ini akan membawa karakter dan tenaga tersendiri untuk menghidupkan generasi pertama dalam dunia KUDRAT 1968. Kami juga teruja memperkenalkan barisan kreatif di sebalik projek ini, termasuk showrunner Zulaikha Zakaria dan Khairi Asyraff yang akan meneruskan legasi penceritaan High Council dengan perspektif baharu.
Walaupun KUDRAT 1968 merupakan debut pengarahan filem pertama buat Zulaikha, beliau bukanlah wajah baharu dalam dunia ini. Beliau telah menjadi sebahagian penting daripada perjalanan High Council sejak awal sebagai penulis dan pengarah bersama. Digandingkan bersama Khairi Asyraff, seorang pengarah muda dengan pendekatan segar, kami yakin mereka mampu membawa dimensi baharu kepada francais ini.
Melalui KUDRAT 1968, kami teruja untuk memperkenalkan satu pendekatan baharu dalam penceritaan yang memperluaskan pengalaman penonton melangkaui layar perak. Empat episod siri premium Astro Originals ini membolehkan kami membina dunia KUDRAT 1968 dengan lebih mendalam, sekali gus memberikan penonton pemahaman yang lebih menyeluruh terhadap watak dan naratif sebelum mereka menyaksikan filem ini di pawagam. Kami melihat pendekatan ini sebagai satu evolusi dalam cara sesebuah cerita dibangunkan, dipersembahkan dan dinikmati oleh penonton.”
KUDRAT 1968 diterbitkan oleh Astro Shaw di samping rakan penerbit ZAK Capital, Enotech Pictures, Pegasus Motion Pictures, dan HM Entertainment.
KUDRAT 1968 mengisahkan seorang pelajar dipaksa memasuki institusi yang dibina atas nama bapanya. Namun, di sebalik legasi yang diwarisi, dia perlu memilih sama ada untuk melindungi sistem yang membentuknya atau menjadi individu yang akan menghancurkannya.
Bakal menemui penonton tahun ini, gunakan #KUDRAT1968 di platform media sosial. Ikuti perkembangan terkini dan klip menarik menerusi akaun Astro Shaw di kesemua platform digital.


Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.