GANDINGAN FIZZ FAIRUZ, NOORKHIRIAH CETUS RAGAM BISNES KELUARGA DALAM ‘BOSS KID’ | SERLAH SISI UNIK DUNIA PENCIPTA KANDUNGAN & KEUSAHAWANAN DIGITAL
Kuala Lumpur, 17 Ogos 2026 – Usia bukan penghalang untuk mencipta perubahan. Itulah mesej yang dibawakan menerusi BOSS KID, sebuah drama komedi keluarga yang mengangkat kisah seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang berjaya mengubah kehidupan keluarganya dengan kreativiti, keberanian dan kebijaksanaan memanfaatkan media sosial.
Bakal bersiaran setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9.00 malam menerusi slot Lestary TV3 mulai 21 Ogos 2026, BOSS KID merupakan sebuah drama komedi keluarga 20 episod yang mengetengahkan elemen kekeluargaan, keusahawanan serta dunia pencipta kandungan digital yang semakin dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini.
Menampilkan barisan pelakon Syed Irfan, Datuk Fizz Fairuz, Noorkhiriah, Ummar Dzariff dan Qistina Raisah, BOSS KID mengisahkan keluarga Izham yang berdepan cabaran hidup selepas kehilangan sumber pendapatan. Dalam keadaan serba mencabar itu, harapan baharu hadir daripada insan yang paling tidak disangka, iaitu anak mereka sendiri.
Petah berkata-kata dan kreatif menghasilkan kandungan digital, Rizqin Irfan (Syed Irfan) tidak menyangka minatnya terhadap media sosial menjadi titik perubahan buat keluarganya. Melihat potensi yang dimiliki anak mereka, Izham (Datuk Fizz Fairuz) dan Rafidah (Noorkhiriah) mengambil keputusan untuk memanfaatkan pengaruh Rizqin Irfan bagi mempromosikan perniagaan keluarga, sekali gus melantiknya sebagai ‘Bos Kecik’.
Berbekalkan idea kreatif dan keyakinannya, Rizqin Irfan berjaya menarik perhatian ramai sehingga perniagaan Burger Malaysia mula mendapat sambutan. Namun, gelaran ‘Bos Kecik’ bukan sekadar satu panggilan apabila telatah dan sikapnya yang gemar memberi arahan kepada ahli keluarga mencetuskan pelbagai situasi lucu dalam usaha mereka mengembangkan perniagaan.
Di sebalik kejayaan yang mula dikecapi, keluarga Izham turut berdepan pelbagai cabaran apabila muncul pihak yang tidak senang melihat perkembangan perniagaan mereka. Persaingan, hasad dengki dan pelbagai rintangan menguji kekuatan mereka dalam mempertahankan perniagaan yang dibina bersama.
Jelas Datuk Fizz Fairuz, watak Izham mengetengahkan sisi seorang bapa yang sentiasa mahu memastikan keluarganya cekal bertahan dalam menghadapi cabaran hidup, “Watak Izham bagi saya cukup dekat dengan realiti seorang bapa yang mahu memastikan keluarganya terus bertahan walaupun berdepan tekanan hidup. Menariknya dalam BOSS KID, orang yang akhirnya menjadi pencetus perubahan bukanlah orang dewasa tetapi anaknya sendiri. Hubungan Izham dengan Rizqin juga banyak memberi ruang kepada elemen komedi tetapi pada masa sama ada nilai kekeluargaan yang saya rasa penonton boleh kaitkan dengan kehidupan mereka,” katanya.
Menggabungkan elemen komedi, kekeluargaan, keusahawanan dan dunia pencipta kandungan digital, BOSS KID bukan sekadar sebuah drama komedi keluarga, malah membawa mesej bahawa setiap ahli keluarga mempunyai peranan dalam mencipta kejayaan. Berbekalkan sokongan, kreativiti dan semangat tidak mudah berputus asa, impian besar mampu berkembang lebih luas meskipun ia idea kecil daripada seorang anak.
Mampukah Rizqin dan keluarganya mempertahankan empayar perniagaan yang dibina bersama apabila dilanda badai cabaran serta persaingan sengit?
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama BOSS KID bermula 21 Ogos 2026, setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9.00 malam, hanya di slot Lestary TV3. Penonton juga boleh menstrim episod baharu 24 jam lebih awal di Tonton atau memuat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.