AINA ABDUL BAKAL WAKILI MALAYSIA KE EUROVISION SONG CONTEST ASIA 2026 SELEPAS CETUS IMPAK DI AJL40

Sunday, 16 August 2026

KUALA LUMPUR, 16 Ogos 2026 – Selepas tampil menerusi persembahan penuh ekspresi di Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), Aina Abdul bakal mewakili Malaysia ke Eurovision Song Contest Asia 2026.

Malam kemuncak tersebut menjadi detik istimewa buat Aina apabila beliau turut merangkul dua lagi anugerah, termasuk Persembahan Terbaik AJL40 menerusi Kamu serta Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee menerusi undian peminat.

Di pentas AJL40, Aina menghidupkan Kamu menerusi persembahan dramatik dan bertenaga, dengan visual gunung berapi yang sedang membuak menggambarkan emosi yang memuncak, selain penggunaan prop dan penghayatan vokal yang kuat. Gerak, ekspresi dan vokalnya membawa penonton menyelami emosi lagu yang sarat dengan rasa marah, kecewa dan kehilangan, menjadikan persembahan tersebut antara detik yang mencuri perhatian pada malam kemuncak.

Kamu merupakan single keempat daripada album sulung Aina, Imaji, yang menggabungkan elemen pop R&B dengan sentuhan blues. Di sebalik melodinya yang kedengaran lebih santai dan seksi, lagu ini membawa kisah yang jauh lebih berat, tentang seseorang yang pernah menjadi tempat paling tenang dalam hidup sebelum berubah menjadi kenangan yang paling pahit.

Daripada pengiktirafan yang diterima pada malam tersebut, Aina kini meneruskan langkah ke Eurovision Song Contest Asia 2026 selepas dipilih sebagai wakil Malaysia berdasarkan keputusan juri profesional, selaras dengan mekanisme pemilihan yang ditetapkan.

Pertandingan ini bakal menghimpunkan penyanyi berbakat dari seluruh Asia dalam sebuah acara muzik secara langsung selama dua jam. Dianjurkan oleh European Broadcasting Union (EBU), Eurovision telah berlangsung secara tahunan sejak 1956 dan berkembang daripada sebuah pertandingan muzik Eropah kepada fenomena budaya global yang merentasi sempadan geografi dan budaya.

Pemilihan Aina yang sinonim dengan persembahan unik, penuh dengan makna tersurat dan tersirat serta kreativiti dalam komposisi muzik, busana dan elemen visual dijangka memberi kelebihan buat Malaysia di pentas antarabangsa.

Penyertaan ini juga membuka ruang buat Aina memperkenalkan bakat dan identitinya sebagai penghibur kepada penonton di seluruh rantau Asia, selepas mencipta momen tersendiri menerusi persembahan Kamu di pentas AJL40.

Eurovision Song Contest Asia 2026 akan berlangsung pada 14 November 2026, Sabtu, jam 9.00 malam dan disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan Tonton.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan terkini mengenai program TV3, ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram, X dan Threads di @TV3Malaysia serta TikTok di @TV3MalaysiaOfficial.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.