TANGISAN SEORANG PENDOSA | Muzik Video Bernuansa Hitam Putih Tampil Dramatik, Bawa Penonton Menyusuri Jejak Masa

Friday, 10 October 2025


“TANGISAN SEORANG PENDOSA” | Muzik Video Bernuansa Hitam Putih Tampil Dramatik, Bawa Penonton Menyusuri Jejak Masa

Kuala Lumpur, 10 Oktober 2025 – Penyanyi bersuara lunak, Marsha Milan kembali mencuri perhatian dengan pelancaran muzik video terbaharu untuk single Tangisan Seorang Pendosa malam ini. Mengangkat tema keinsafan dan pergolakan jiwa yang begitu kuat dalam menempuh perjalanan hidup, muzik video ini ditayangkan sepenuhnya dalam visual dramatik hitam putih, melahirkan suasana melankolik yang penuh simbolik dan mendalam.

Penggambaran MV dijalankan di Pulau Pinang dengan bangunan bersejarah dipilih sebagai latar utama bagi melambangkan memori masa lalu. Manakala, babak di pelabuhan pula menzahirkan suasana masa hadapan, melengkapkan kesinambungan naratif visual. 

Menurut pengarah dan penerbit produksi 71 Studios, Izuan Mokhtar, pilihan lokasi di Pulau Pinang memberi ruang untuk visual yang lebih puitis serta sarat nilai estetika. Kolaborasi antara beliau, Marsha dan pengarah fotografi Mad Nor Kassim melahirkan karya visual yang berjiwa, di mana setiap elemen diperlihatkan dengan penuh teliti bagi menyampaikan sebuah kisah emosi yang jauh daripada sekadar jalan cerita linear. Mereka mahu penonton bukan sekadar melihat, tetapi turut merasakan apa yang cuba diterjemahkan melalui lensa kamera.

“Sejak awal lagi, saya dan Marsha sepakat untuk menghasilkan sesuatu yang lebih daripada sekadar muzik video. Kami mahu visual yang puitis, simbolik, dan mampu membuat penonton benar-benar merasai roh lagu Tangisan Seorang Pendosa. Cabaran cuaca, cahaya dan lokasi bersejarah hanya menjadikan pengalaman ini lebih bermakna,” katanya.

Dalam pada itu, perjalanan menghasilkan muzik video ini tidak terlepas daripada cabaran. Rakaman malam di bangunan warisan menuntut kawalan pencahayaan yang rapi, sementara faktor cuaca turut memaksa krew menghentikan penggambaran beberapa kali. Babak di pelabuhan juga harus dilaksanakan dalam tempoh singkat demi menangkap cahaya semula jadi yang sempurna. 

Antara momen paling diingati ialah sewaktu penggambaran di Raffles Lighthouse, apabila Marsha terpaksa mengatasi ketakutan terhadap ketinggian. Walaupun gugup, beliau tetap berdiri dengan penuh emosi dan menyampaikan nyanyian yang meresap jiwa.

Keseluruhan muzik video ini diperkaya dengan elemen hitam putih yang memberi nuansa abadi, gaya serba hitam Marsha yang menambahkan misteri serta drama, dan peralihan lokasi yang melambangkan perjalanan masa lalu serta masa depan. 

Bagi Marsha sendiri, Tangisan Seorang Pendosa bukan sekadar sebuah muzik video untuk ditonton, tetapi sebuah pengalaman emosi yang menghubungkan penonton dengan roh sebenar lagunya. “Bagi saya, Tangisan Seorang Pendosa bukan sekadar sebuah karya, tetapi sebuah perjalanan yang benar-benar dekat dengan hati saya. Ada babak yang sukar kerana saya sendiri perlu melawan ketakutan, tetapi akhirnya semua itu membantu saya menyampaikan rasa lagu ini dengan lebih jujur. Saya harap penonton juga dapat merasainya,” ujarnya.

Lagu Tangisan Seorang Pendosa juga merupakan runut bunyi (OST) serta pelengkap kepada drama Keluarga Itu yang menjadi fenomena di TV3, memikat penonton dengan jalan ceritanya yang penuh emosi. 

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan muzik video Tangisan Seorang Pendosa yang akan dilancarkan hari ini, Jumaat, 10 Oktober 2025 jam 8 malam di saluran YouTube rasmi Alternate Records & Talents. Pastikan anda antara yang pertama menontonnya!



Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.