MEDIA PRIMA TERUS UNGGUL DI PERINGKAT ASIA MENERUSI ASIAN ACADEMY CREATIVE AWARDS 2025!

Wednesday, 1 October 2025

Kuala Lumpur, 1 Oktober 2025 - Tahniah diucapkan kepada Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) atas kejayaan di peringkat kebangsaan (National Winner) di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2025 menerusi tiga kategori: Best Original Production by a Streamer (Fiction) dengan drama BRU (Tonton), Best Lifestyle Programme melalui Click To Health Season 4 (8TV), dan Best Animation menerusi Ejen Ali The Movie 2 (Primeworks Studios & WAU Animation). Kejayaan ini melayakkan Media Prima dan barisan rakan pengkarya kreatif bersaing bersama wakil terbaik Asia Pasifik di Grand Awards dan Gala Finals yang bakal berlangsung di Capitol Theatre, Singapura pada 3 & 4 Disember 2025.

Drama BRU karya Nik Amir Mustapha (Lumatic Films Sdn Bhd) diumumkan sebagai pemenang kategori Best Original Production by a Streamer (Fiction) di Asian Academy Creative Awards 2025. Dibarisi pelakon hebat tanah air, drama ini menampilkan Shukri Yahaya sebagai Shah, seorang lelaki yang obses dengan kopi dan kejayaan, di samping Siti Hariesa yang membawa watak Hani, seorang barista berbakat dan anak kepada seorang hartawan yang mendambakan kebebasan dalam mencipta perisa kopi. Turut menyerlah ialah Amerul Affendi sebagai Ajan, sahabat setia yang menganggap Shah seperti adiknya sendiri, menjadikan BRU sebuah karya penuh emosi, cita-cita dan persahabatan yang dekat di hati penonton.

Anugerah Best Lifestyle Programme dimenangi oleh 8TV menerusi Click To Health Season 4. Program yang dihoskan oleh Desmond Tey ini membawa penonton menerokai isu kesihatan secara menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada topik-topik semasa serta pendedahan tentang pelbagai kaedah perubatan moden. Menariknya, penggambaran rancangan ini bukan sahaja berlangsung di bilik pemeriksaan, malah turut merangkumi bilik pembedahan dan bilik kecemasan bagi memberikan perspektif yang lebih mendalam serta realistik kepada penonton.

Anugerah Best Animation dimenangi oleh Primeworks Studios dan WAU Animation menerusi filem Ejen Ali The Movie 2, arahan Usamah Zaid Yasin (WAU Animation Sdn. Bhd.). Filem penuh aksi animasi mempesona dan meledakkan emosi ini meneruskan perjuangan watak Ali dalam misi berisiko tinggi di bawah program elit SATRIA. Sekuel ini mendapat sambutan luar biasa dengan kutipan pecah panggung melebihi RM62.5 juta di pawagam Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Kemboja dan Thailand, sekali gus menjadikan EATM2 sebagai filem animasi nombor satu di Malaysia dengan memecahkan rekod sebelumnya serta mengatasi semua karya animasi tempatan dan antarabangsa yang pernah ditayangkan di tanah air. Lebih membanggakan, filem ini juga mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dicalonkan dalam kategori Best Animated Film di Silk Road International Film Festival ke-12 di China baru-baru ini.

Media Prima kekal komited untuk terus menyajikan kandungan yang berkualiti, inovatif, serta setanding dengan program antarabangsa, sekali gus mengangkat nama Malaysia di persada dunia. Tahniah sekali lagi kepada semua yang telah berjaya mengangkat MPTN ke peringkat antarabangsa. Untuk mengetahui siapakah yang bakal membawa pulang trofi berprestij, nantikan Malam Gala Anugerah Asian Academy Creative Awards 2025 yang akan berlangsung di Capitol Theatre, Singapura pada 3 & 4 Disember 2025.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.