5 SEBAB KENAPA ANDA WAJIB TONTON QIFARAH, FILEM SERAM TEMPATAN HEBAT TAHUN INI!

Thursday, 16 October 2025

Buat jahat pasti dibalas, lambat-laun tiba juga qifarahnya. Itulah jiwa dan inti filem Qifarah, yang kini sedang menghantui pawagam di seluruh Malaysia. Lebih daripada sekadar filem seram, ia menyelami sisi gelap manusia, tentang dosa, balasan dan penyesalan. Dengan jalan cerita yang penuh emosi, lakonan berkesan dan visual sinematik yang menawan, Qifarah muncul sebagai naskhah seram tempatan yang benar-benar meninggalkan kesan selepas tontonan. Pendek kata, Qifarah ialah antara filem tempatan paling wajib tonton tahun ini.

Qifarah, hasil sentuhan kreatif Ghaz Abu Bakar, bukan sekadar filem seram biasa, ia satu pengalaman sinematik yang berani dan penuh gaya. Diterajui oleh Remy Ishak, Sharifah Sakinah, Liyana Jasmay dan ramai lagi, filem ini bukan sahaja menyentuh emosi penonton, tetapi turut membangkitkan rasa ingin tahu serta perbincangan hangat tentang makna di sebalik setiap babak yang dipaparkan.

Berikut antara sebab yang bakal membuat anda tak sanggup lepaskan peluang untuk menonton Qifarah di pawagam:

  • Jalan Cerita & Plot Twist yang Tidak Disangka

Jalan cerita Qifarah dibina dengan naratif penuh teka-teki, membuatkan penonton sentiasa berfikir dan meragui setiap watak. Dari awal lagi, persoalan muncul, apa signifikan permainan monyet itu? Apa rahsia di bilik bawah tanah? Siapakah hantu kanak-kanak yang menghantui keluarga utama? Semua misteri ini terungkai dengan penuh kejutan melalui plot twist yang mendebarkan dan tidak terjangka.

  • Barisan Pelakon Ternama yang Menghidupkan Watak

Diterajui oleh barisan pelakon hebat seperti Remy Ishak, Sharifah Sakinah dan Liyana Jasmay, Qifarah menampilkan persembahan lakonan yang benar-benar hidup dan meyakinkan. Setiap watak dihidupkan dengan emosi dan keaslian tersendiri, menjadikan setiap babak sarat dengan impak. Namun, yang paling mencuri perhatian ialah Sharifah Sakinah, dengan lakonannya yang penuh intensiti, berani dan tidak takut menampilkan sisi gelap manusia.

  • Atmosfera Seram dan Visual Klasik 

Dari aspek sinematografi, penggunaan cahaya, bayang-bayang dan pemilihan lokasi membentuk suasana seram klasik yang benar-benar meremangkan bulu roma. Filem ini berjaya mengimbau seram era lama, namun diberikan sentuhan moden yang cukup menyerlah. Salah satu babak yang paling mencuri tumpuan adalah elemen kanibalisme, sesuatu yang jarang sekali dipaparkan dalam filem dalam Malaysia. Babak ini bukan sahaja mengejutkan, malah memberikan identiti unik.

  • Efek Khas dan Tatabunyi yang Mantap

Aspek teknikal dalam Qifarah benar-benar mengukuhkan pengalaman seramnya. Setiap elemen daripada bunyi pintu berkeriuk, desahan yang menggigit jiwa, hingga ke skor muzik yang menegangkan, disusun dengan teliti untuk membina suasana mistik yang autentik. Ditambah dengan efek khas yang realistik namun tidak berlebihan, filem ini berjaya menampilkan unsur ilmu hitam dengan gaya yang cukup meyakinkan dan menyeramkan.

  • Filem Seram Pertama Pengarah Ghaz Abu Bakar 

Ghaz Abu Bakar, yang sebelum ini terkenal dengan filem aksi dan drama, buat pertama kalinya mencuba genre seram dan ternyata hasilnya tidak mengecewakan. Filem terbaharu ini membuktikan keupayaan beliau merentasi genre dan menghasilkan sebuah pengalaman sinematik yang segar dan mencabar. Keberanian Ghaz menyelami dunia seram memberi ruang kepada sisi kreatif dan penonton pasti akan menghargai usaha beliau.

Jangan lepaskan peluang untuk alami sendiri pengalaman seram yang bukan sekadar menakutkan, tetapi juga sarat dengan pengajaran dan penyesalan. Dapatkan tiket anda sekarang dan saksikan filem Qifarah di pawagam berdekatan. Bersedialah untuk menghadapi dosa yang belum ditebus dan pembalasan yang tak mungkin dapat dielak.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.