Filem Rangga & Cinta, yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 6 November 2025, mengajak penonton menyelami semula keindahan kisah cinta lagenda Ada Apa Dengan Cinta? (AADC), kali ini dalam bentuk drama muzikal yang bernafas moden, segar dan penuh perasaan. Menggabungkan nostalgia dan pembaharuan, karya ini bukan sahaja menampilkan semula watak-watak yang pernah mencipta fenomena, tetapi juga menghidupkan lagu-lagu ikonik AADC dengan susunan muzik baharu yang lebih memukau dan bernostalgia.
Album runut bunyi Rangga & Cinta menampilkan 12 lagu keseluruhan, sembilan karya klasik yang diberi sentuhan segar serta tiga ciptaan eksklusif yang dihasilkan khas untuk filem ini. Di bawah sentuhan kreatif komposer tersohor Melly Goeslaw dan Anto Hoed, setiap lagu diolah dengan gaya yang lebih kreatif dan moden tanpa mengorbankan jiwa dan keindahan melodi asal yang telah lama melekat di hati pendengar.
Lagu-lagu seperti ‘Bimbang’ dan ‘Tentang Seseorang’ diberi nafas baharu dengan gaya yang lebih segar dan bertenaga, sementara ‘Kubahagia’ menampilkan sentuhan indie rock yang berani. ‘Di Mana Malumu’ pula hadir dalam versi electro pop moden yang menjadikannya lebih dekat dengan cita rasa dan jiwa pendengar generasi kini.
Antara keunikan Rangga & Cinta ialah barisan pelakon utamanya sendiri turut menyumbangkan suara dalam beberapa lagu filem ini. Leya Princy, yang menghidupkan watak Cinta, menyampaikan lagu baharu berjudul ‘Untuk Rangga’ dengan penuh emosi dan kelembutan, sementara Rafi Sudirman menyerlah dengan vokal hebat melalui lagu ‘Truly, Madly, Deeply Hate You’ yang berirama rock, menambahkan dimensi baharu kepada perjalanan emosi kedua-dua watak utama ini.
Selain itu, kumpulan ‘Geng Cinta’ turut menyumbangkan lagu ‘Di Mana Cinta’, yang menambahkan warna dan kemeriahan dalam suasana muzik filem ini. Tidak sekadar membawa semula lagu-lagu ikonik dari karya asal, Rangga & Cinta juga memperkenalkan beberapa lagu baharu yang digubah khas untuk menguatkan jalan cerita dan emosi penonton. ‘Di Mana Cinta’, nyanyian bersama barisan pelakon utama, menyerlahkan tema cinta dan persahabatan yang menjadi nadi kepada keseluruhan kisah.
Manakala, lagu tema utama berjudul ‘Rangga Cinta’, nyanyian Bilal Indrajaya dan Eva Celia, menjadi simbol penyatuan antara generasi, menggabungkan suara baharu dan pengalaman lama dalam satu harmoni yang indah. Lirik nukilan Melly Goeslaw bersama Mira Lesmana pula memperkukuh emosi filem ini, menjadikan setiap melodi terasa hidup seiring dengan perjalanan cinta Rangga dan Cinta di layar perak.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan filem Rangga & Cinta yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 6 November 2025. Bagi anda yang membesar dengan keindahan lagu-lagu AADC, filem ini bukan sekadar mengembalikan nostalgia, tetapi menghidupkannya semula dengan jiwa baharu yang lebih segar, moden dan sarat dengan emosi yang pasti menyentuh hati.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.