HANYA INGIN MENAGIH KASIH SEORANG BAPA, ADAM LEE TERSENTAK BERTEMU ‘AYAH’ DI SARANG PELACURAN?

Tuesday, 21 October 2025

Kuala Lumpur, 21 Oktober 2025 - Dia hanya ingin mengenal ayahnya, namun tak pernah terlintas di fikirannya bahawa pertemuan itu akan berlaku di lorong gelap, di tempat paling hina yang tidak sepatutnya menjadi saksi seorang anak. Kisah menyayat hati inilah yang diangkat dalam drama Samarinda terbaharu TV3, Bintang Di Langit Syawal, sebuah naskhah penuh emosi yang mengupas makna kasih sayang, konflik keluarga dan pencarian identiti diri.

Bakal bersiaran mulai 23 Oktober 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam, Bintang Di Langit Syawal menyingkap kehidupan anak yatim bernama Syawal (Adam Lee), yang sering dibayangi rasa kosong dan rindu kasih seorang bapa.

Suatu hari, kemunculan lelaki misteri bernama Latif (Azhar Sulaiman) di rumah kebajikan Syawal membesar, mengubah segalanya apabila lelaki itu meninggalkan sejumlah wang yang membangkitkan tanda tanya. Lawatan yang sepatutnya dirahsiakan terbongkar kepada Syawal, mencetuskan pencarian yang bakal mengubah hidupnya.

Didorong oleh rasa ingin tahu dan keyakinan bahawa lelaki itu ialah ayah kandungnya, Syawal nekad melarikan diri dari rumah tersebut. Dalam perjalanannya, takdir mempertemukannya dengan Jess (Scha Elinnea), gadis yang menjadi penguat dalam kisahnya yang penuh dengan luka dan rahsia.

Jejak yang disangka akan menyatukan kembali dengan ayahnya akhirnya membawa Syawal ke tempat gelap yang menggugat keyakinannya tentang makna keluarga, meninggalkan lebih banyak persoalan daripada jawapan. 

Apa sebenarnya yang dilakukan Latif di situ, dan mengapa hidupnya berkait dengan dunia sekeji itu? Adakah pertemuan ini akan menjadi sinar yang selama ini Syawal cari, atau sekadar menambah luka dalam pencarian kasih dan identiti dirinya?

Merupakan naskhah arahan Bahri Umar, hasil tulisan Tommy Loh dan terbitan Sha’s Media, Bintang Di Langit Syawal bersedia menyentuh jiwa penonton menerusi 15 episod yang memaparkan kehilangan dan penerimaan yang tidak selalu indah. Diterajui oleh barisan pelakon berbakat besar Adam Lee, Scha Elinnea, Azhar Sulaiman, Fezrul Khan, Jasmin Hamid, Syahmie Thsaqeef dan Shalma Eliana, drama ini menjanjikan perjalanan watak yang kompleks namun realistik, menggali makna sebenar kasih, pengampunan dan erti menjadi manusia.

Mengulas tentang wataknya, Adam Lee berkongsi, “Syawal ni watak yang menyimpan begitu banyak perasaan, terutamanya sebagai seorang anak yatim. Bila saya baca skrip ini tentang seorang remaja yang mencari ayahnya tetapi menemui kebenaran yang pahit, saya terus rasa watak ini mesti saya hidupkan sepenuh jiwa. Dia marah, keliru, memberontak tetapi semua itu lahir daripada keinginan untuk hanya disayangi. Kisah ini mengingatkan saya bahawa setiap luka ada sinarnya sendiri dan setiap langit, walau kelam, tetap menyimpan bintang. Saya harap penonton dapat merasai semua emosi itu, kecewa, harapan dan perjalanan pencarian yang menelusuri setiap parut.” 

Jangan lepaskan episod pertama Bintang Di Langit Syawal Khamis ini, hanya di slot Samarinda TV3. Penonton juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.