QIFARAH, JEJAK WARISAN BERDARAH KELUARGA!

Wednesday, 8 October 2025

Debut Seram Arahan Ghaz Abu Bakar | QIFARAH, JEJAK WARISAN BERDARAH KELUARGA!

Kuala Lumpur, 7 Oktober 2025 – Dalam setiap bisikan gelap, tersimpan kebenaran yang menanti untuk terbongkar. Itulah yang dibawa oleh Qifarah, taruhan pertama Ghaz Abu Bakar dalam genre seram, yang bakal menghantui pawagam seluruh negara bermula 9 Oktober 2025. Mengangkat tema penebusan dan pengampunan, filem ini menjanjikan penceritaan penuh misteri, suspens, serta bayangan ghaib yang akan terus mengikat jiwa penonton hingga ke detik terakhir.

Diterbitkan oleh Skop Productions dengan kerjasama My Way Pictures dan Astro Shaw serta Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, Qifarah menghimpunkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Remy Ishak, Sharifah Sakinah, Liyana Jasmay, Namron, Esma Daniel, Vanida Imran, Rita Nadira dan Rafique Iskandar.

Entiti silam, dendam lama dan rahsia yang masih hidup!

Qifarah mengisahkan Yusoff (Remy Ishak), seorang perantau yang telah lama menetap di Kaherah bersama isterinya, Marissa (Rita Nadira), serta anak mereka, Mikhail (Rafique Iskandar). Namun, apabila menerima perkhabaran tentang bapanya yang sedang nazak, Yusoff kembali ke tanah air selepas 30 tahun dengan niat membantu ayahnya bertaubat daripada amalan ilmu hitam, sambil merungkai kejadian mistik yang terus membelenggunya.

Di sebalik kepulangan itu tersembunyi pertemuan semula Yusoff dengan keluarganya yang penuh rahsia kelam. Yusoff berdepan ibu tirinya, Mawar (Sharifah Sakinah), yang langsung tidak dimamah usia, dan adiknya, Eykha (Liyana Jasmay), yang jiwanya kekal seperti anak kecil.

Kehadiran Marissa dan Mikhail secara tiba-tiba di rumah pusaka keluarga Yusoff mengeruhkan keadaan. Pelbagai kejadian aneh menyambut mereka, menjadikan setiap langkah sarat dengan ketegangan. Apa yang menanti di hadapan? Adakah nyawa dan nasib mereka kini terancam?

Mengetengahkan unsur mistik dan kuasa ghaib, Qifarah dibalut dengan sinematografi bergaya yang mengajak penonton merenung erti sebenar dosa lampau dan ruang penebusan yang masih berbaki. Filem ini dihasilkan dengan teliti dari setiap lapisan proses supaya pengalaman menonton benar-benar terasa.

“Setiap babak dirangka untuk memberi impak yang berkesan. Dari rekaan set, pencahayaan, prop, hinggalah setiap perincian pakaian dan aksesori watak, semua elemen diberi perhatian. Saya mahu setiap penonton merasai intensiti dunia ‘Qifarah’ dan pengajaran yang ingin disampaikan, dengan elemen visual dan bunyi yang meninggalkan kesan mendalam serta tidak mudah dilupakan selepas meninggalkan pawagam,” kata Ghaz Abu Bakar, pengarah filem ini.

Jangan lepaskan peluang! Qifarah bakal menggegarkan pawagam seluruh negara bermula 9 Oktober 2025. Bersedialah untuk sebuah perjalanan ngeri, di kala setiap titisan darah menyimpan rahsia, setiap bisikan menjadi mantera dan setiap bayangan menuntut pembalasan.

Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif Qifarah, ikuti kami di Facebook, Instagram, X dan YouTube Primeworks Studios.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.