MALAM TERLARANG HIDUPKAN RITUAL MISTIK DARI MITOS NUSANTARA | ‘Gandingan Pertama Kali Zul Ariffin dan Sofia Jane Dalam Filem Inspirasi Kisah-Kisah Sebenar Masyarakat’
28 Oktober 2025, Kuala Lumpur - Astro Shaw sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memperluaskan landskap filem tempatan dengan mempersembahkan Malam Terlarang, sebuah karya seram thriller yang diinspirasikan daripada kisah benar misteri masyarakat Nusantara.
Kekuatan utama Malam Terlarang terletak pada jalan ceritanya yang ‘hidup’ dan relevan. Ia menawarkan pengalaman sinematik yang menggabungkan elemen seram, konflik emosi dan budaya masyarakat seperti ritual puja pantai yang jarang diangkat ke layar perak. Ini sekaligus membangkitkan semula mitos legenda dewi laut Nusantara bernama Pamakbul.
Malam Terlarang menyampaikan mesej tentang ‘Bila Bertuhankan Nafsu’, di mana ada yang sanggup melakukan apa sahaja demi kemahuan duniawi. Berlatarkan tahun 1980an, filem ini memberi fokus kepada sebuah keluarga yang menyimpan banyak rahsia merentas generasi.
Mawar, seorang gadis berusia 18 tahun membesar di sebuah bandar kecil bernama Kampung Pasir Larung. Cita-citanya sebagai wartawan tertangguh kerana terpaksa menjaga ibunya, Sarimah, apatah lagi bapanya, Omar sibuk dengan kerjaya politik. Namun, pemergian mengejut kakaknya, Safar mengubah keadaan. Mawar diganggu pengalaman mistik dan kejadian paranormal yang mengerikan, membuatkan dia nekad mencari punca misteri kematian Safar.
Filem ini menampilkan karakter protagonis wanita yang kuat menerusi watak Mawar lakonan Shasha Abedul. Karakter Mawar hadir dengan ketegasan dan konflik dalaman yang kompleks, sekali gus menandakan peralihan menarik dalam genre seram tempatan yang menumpukan kepada eksplorasi jiwa dan trauma berbanding kisah ‘hantu’ semata-mata.
Kemunculan Zul Ariffin melalui watak Omar menuntut transformasi fizikal dan sekali gus membuka sisi baharunya, serta penampilan sulung Sofia Jane sebagai teraju utama filem seram sepanjang kariernya. Filem ini turut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon berpengalaman Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Amir Nafis, bersama pelakon muda Haneesya Hanee, Aila Azizul dan Sadiq M. Jamil.
Menurut Penerbit Ekskutif Malam Terlarang merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, “Genre seram sentiasa mendapat tempat di hati penonton, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Malam Terlarang membawa keunikan tersendiri dengan menginspirasi kisah-kisah misteri masyarakat Nusantara seperti ritual pemujaan pantai yang jarang ditampilkan. Elemen lokal inilah yang memberi keaslian dan kekuatan, seterusnya menjadikan Malam Terlarang sebuah naskhah segar untuk penonton tempatan serta berpotensi menarik perhatian khalayak antarabangsa.”
Lokasi penggambaran dijalankan di sekitar Pantai Morib dan Kuala Selangor, menampilkan landskap semula jadi dengan keindahan paya bakau dan pesisiran pantai. Manakala, rumah utama dalam filem ini dibaik pulih sepenuhnya bagi menyesuaikan suasana dan naratif cerita.
Astro Shaw sekali lagi memberi kepercayaan kepada pengarah baharu, Nurhanisham Muhammad atau lebih dikenali sebagai Labu, untuk mengarahkan filem ini. Malam Terlarang merupakan filem sulung arahan Labu yang berpengalaman luas sebagai Pengarah Fotografi, serta pernah mengarahkan drama premium Astro Originals, X-Change. Kepakaran Labu dalam bidang sinematografi jelas memberikan kelebihan, menjadikan Malam Terlarang sebagai karya visual yang sinematik.
Idea asal filem ini dicetuskan alah seorang tenaga kreatif dari Astro Shaw, Hazo Mahayuddin bersama Nazifdin Nasrudin, Haris M. Nor dan Ariff Zulkarnain. Manakala produksi digerakkan oleh Infinitus Gold.
Tiket filem Malam Terlarang sudah boleh dibeli mulai 27 Oktober di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei. Ditayangkan mulai 30 Oktober, filem ini juga turut ditayangkan di negara Kemboja bermula 27 Oktober.
Temui barisan pelakon pada 1, 2, 8 dan 9 November di sekitar Lembah Klang di pawagam-pawagam terpilih. Ikuti perkembangan terkini Malam Terlarang serta klip-klip menarik di akaun media sosial Astro Shaw dan Astro Gempak dengan hashtag #MalamTerlarang.

Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.