LAHIR SEIRING MISI THE HELMIS DALAM GLOBAL SUMUD FLOTILLA KE GAZA - ‘MENGUKIR TAKDIR’ PAPAR REALITI JIWA PERJUANGAN DAN HARAPAN
Kuala Lumpur, 4 Oktober 2025 – Nama pasangan adik-beradik, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi tidak asing lagi dalam industri muzik tanah air. Terbaharu, mereka tampil dengan single berjudul Mengukir Takdir, hasil ciptaan komposer prolifik, Wan Saleh bersama Hazwani Helmi sendiri. Lagu ini turut menampilkan sentuhan susunan muzik dan terbitan penuh oleh Wan Saleh di bawah kerjasama Alternate Records & Talents.
Mengukir Takdir membawa mesej ketabahan, kekuatan dan kebergantungan kepada Allah SWT dalam menghadapi ujian hidup. Inspirasi lagu ini lahir bukan sahaja daripada semangat perjuangan saudara di Gaza, tetapi juga sebagai peringatan bahawa setiap insan adalah pejuang dalam kisah hidup masing-masing.
Menurut Heliza dan Hazwani, pemilihan mereka untuk menyanyikan lagu ini adalah suatu penghargaan yang besar. “Kami bersyukur kerana dari awal perbincangan bersama pasukan Alternate, wujud keserasian yang akhirnya membawa kepada cadangan untuk bekerjasama dengan Wan Saleh. Beliau pernah bekerja dengan kami sebelum ini, jadi beliau lebih mengenali cara nyanyian kami. Dari situlah lahirnya Mengukir Takdir, sebuah karya yang cukup mencabar tetapi penuh makna,” jelas mereka.
Proses rakaman lagu ini mengambil masa yang agak intensif. “Rakaman demo memakan masa sekitar lima jam, begitu juga dengan rakaman akhir. Cabarannya adalah kerana Mengukir Takdir merupakan sebuah lagu yang ‘besar’ berbanding karya kami sebelum ini. Ia menuntut teknik vokal yang tinggi, pelbagai lapisan suara termasuk koir, serta elemen Arab. Alhamdulillah dengan bimbingan guru vokal dan tunjuk ajar Wan Saleh, kami berjaya merealisasikan apa yang dirancang,” tambah Heliza dan Hazwani lagi.
Bagi mereka, kelainan utama lagu ini adalah gabungan genre dan jiwa yang kuat. Pertukaran vokal antara mereka berdua, bersama elemen koir dan Arab, malah menjadikan Mengukir Takdir sebuah eksperimentasi muzik yang segar.
“Walaupun ilham asalnya tentang Gaza, lirik lagu ini sebenarnya boleh dihayati dalam pelbagai sudut. Ada yang mengaitkannya dengan perjuangan Rasulullah SAW, ada yang teringat keluarga, kisah hidup sendiri atau ujian wanita di luar sana. Apa pun tafsirannya, kami berharap lagu ini menyentuh hati pendengar dengan izin Allah,” ujar mereka dengan penuh pengharapan.
Mengukir Takdir juga menandakan single pertama kerjasama Heliza & Hazwani Helmi serta Alternate Records & Talents. Mereka optimis akan lahir lebih banyak karya bersama pada masa akan datang.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.