“OFFSIDE HUSBAND” ANGKAT KISAH CINTA, KERJAYA DAN PENGORBANAN SEORANG SUAMI | Apabila Bola Sepak Jadi Orang Ketiga Dalam Perkahwinan
Kuala Lumpur, 5 Jun 2026 – Sejauh mana seseorang sanggup mempertahankan minat dan impiannya tanpa mengorbankan insan yang paling dicintai? Persoalan itu menjadi nadi utama dalam Offside Husband, sebuah drama komedi romantik yang mengangkat kisah kehidupan rumah tangga moden, konflik kerjaya serta cabaran membina sebuah keluarga.
Dibintangi Imran Aqil, Elfira Loy, Adzim Hariz, Ariana Yusof dan ramai lagi, drama ini menggabungkan elemen humor, emosi dan dunia bola sepak yang dekat di hati rakyat Malaysia. Offside Husband membawa penonton menyelami kehidupan pasangan suami isteri yang berdepan pelbagai ujian apabila minat yang terlalu mendalam terhadap bola sepak mula memberi kesan kepada hubungan mereka.
Drama ini mengisahkan Hafiz (Imran Aqil), seorang editor sukan yang sangat obses dengan bola sepak sehingga sering mengabaikan perkara-perkara penting dalam kehidupan peribadinya. Isterinya, Alya (Elfira Loy) pula sudah lama mengimpikan kehadiran cahaya mata yang dapat melengkapkan rumah tangga mereka setelah empat tahun mendirikan perkahwinan. Namun usaha untuk membina keluarga bahagia tidak semudah yang disangka.
Ketika Alya berharap Hafiz dapat memberikan komitmen yang lebih serius terhadap perkahwinan mereka, Hafiz pula semakin sibuk mengejar peluang kerjaya sempena kemeriahan Piala Dunia 2026. Tekanan turut datang daripada keluarga, khususnya ibu Alya yang tidak sabar untuk menimang cucu. Dalam masa yang sama, Hafiz perlu berdepan persaingan sengit di tempat kerja apabila kemunculan editor baharu Elin (Ariana Yusof), mula mengancam peluangnya untuk menjawat jawatan Ketua Editor.
Walaupun hubungan profesional mereka sering dipenuhi persaingan dan pertelingkahan, keakraban Hafiz dan Elin dalam urusan kerja mula menimbulkan salah faham dalam diri Alya. Keadaan menjadi semakin rumit apabila Alya akhirnya disahkan hamil pada saat hubungan mereka berada dalam keadaan rapuh. Apabila Hafiz cuba mengimbangi tanggungjawab sebagai suami, bakal bapa dan cita-cita kerjayanya, dia berdepan satu demi satu ujian yang memaksanya membuat pilihan paling sukar dalam hidup.
Mampukah Hafiz membuktikan bahawa cinta dan keluarganya lebih penting daripada segala-galanya? Atau adakah obsesinya terhadap bola sepak akhirnya menyebabkan dia kehilangan insan yang paling disayanginya?
Menampilkan pelbagai momen lucu, romantik dan menyentuh emosi, Offside Husband bukan sekadar kisah cinta suami isteri, tetapi juga tentang dua insan yang memilih untuk terus melangkah bersama dalam menghadapi setiap cabaran kehidupan.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama bersiri mikro Offside Husband yang kini boleh ditonton setiap hari jam 12.00 tengah hari dan 8 malam, eksklusif di TikTok Drama Sangat dan Tonton.
Untuk mendapatkan info terkini tentang drama dan rancangan kegemaran anda, layari Facebook, X, YouTube dan Instagram TV3 di @TV3Malaysia, ikuti juga Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat serta platform rasmi tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram di @tontonmy.

Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.