Pengarah: Faisal Ishak
Penulis Skrip: Faisal Ishak
Pelakon: Nazim Othman, Chacha Maembong, Scha Alyahya, Dynas Mokhtar, Hazama, Nia Atasha
Syarikat Produksi: Skop Productions
Penyiaran: iQiyi, Netflix
Genre: Psikologi / Thriller
Jumlah Episod: 10 Episod (38-40 minit setiap episod)
Tarikh Tayangan: 9 Mei 2026 – 7 Jun 2026
Trailer:
Detektif Liana (Scha Alyahya) ditugaskan untuk menyiasat kehilangan Puan Sara (Nia Atasha) setelah menerima laporan dari suaminya sendiri, Razman Hashim (Nazim Othman). Liana syak kehilangan Sara ada kaitan dengan Razman kerana isteri pertamanya, Julie (Hanna Aqeela) juga mengalami nasib yang sama.
Liana bersahabat baik dengan peguam jenayah bernama Sophia (Chacha Maembong) yang juga kenal Razman tapi mempunyai pandangan berbeza. Sophia cuba untuk membantu siasatan Liana dengan menawarkan diri untuk tinggal bersama dengan duda tersebut selama seminggu di rumahnya yang terletak di kawasan persendirian di dalam hutan.
Liana cuba menghalang kerana khuatir Sophia juga bakal menjadi mangsa namun dia terdesak untuk mendapatkan sebarang petunjuk dalam masa 2 minggu sebelum kes ini ditugaskan kepada detektif lain. Informant Liana yang juga wartawan bernama Saiful (Hazama) ada bukti kukuh tentang mayat Julie yang ditanam di dalam rumah Razman.
Drama Griya: Rahsia Seorang Lelaki arahan Faisal Ishak terbitan Skop Productions menggunakan tema psikologi dengan memaparkan watak Razman yang didera ketika kecil. Watak Razman sama macam watak Yasser dalam siri Good Boys Go To Heaven (2026) terbitan Astro Originals. Kedua-dua naskhah ditayangkan pada masa yang sama.
Bezanya, naskhah Griya: Rahsia Seorang Lelaki lebih menarik dari segi penceritaan sebab semua pihak buat kerja. Suka dengan kecekapan Detektif Liana dalam menjalankan tugas. Dia tak buang masa dan guna semua cara yang dia ada tak kisah lah ikut prosedur ataupun tak. Kelakar juga lah tengok Detektif Liana kena marah dengan bos (Esma Daniel) macam babak waran dengan bilik bawah tanah.
Penceritaan Griya: Rahsia Seorang Lelaki bergerak laju dengan pelbagai petunjuk dan misteri yang didedahkan sedikit demi sedikit oleh penulis. Walaupun watak Sophia bagus sebagai pembantu Liana tapi dia banyak kali buat kerja tak clean. Nasib dia baik sebab Razman memang jatuh cinta dengan dia, selalu back-up bila Kak Yan (Dynas Mokhtar) suruh Sophia keluar dari rumah.
Selain genre psikologi dan thriller, elemen romantik yang dimasukkan antara Razman dan Sophia banyak membantu sebab chemistry Nazim dengan Chacha menjadi. Cuma mehhh sikit lah bila tengah seronok tengok momen Razman dengan Sophia tiba-tiba lagu Sendiri – Zynakal keluar. Tak kena lah lagu tu, patutnya kena ada lagu latar romantik yang kena dengan suasana.
Kudos to team production yang bagi perhatian kepada perjalanan naskhah Griya: Rahsia Seorang Lelaki. Diana Arshad membantu watak Sophia bila dia membaca sebab semakin cerita bergerak, novel yang dia baca pun bergerak sekali sebab tu kot Razman tak syak Sophia buat benda merepek belakang dia. Dekat episod hujung pun dah nampak dia buka novel baru.
Casting director pun pandai pilih pelakon sebab muka Julie dengan Sara tak lari jauh dengan muka Dato' Wan Khatijah (Marissa Yasmin). Sophia je lari jauh sebab Razman tak plan pun nak jatuh cinta tapi dah takdir. I wish screentime Hanna Aqeela dan kisah Razman dengan Julie panjang lagi sebab nak tahu apa yang triggered baran dia. Tahu-tahu Julie dah menggelupur nak lari dari rumah tu. Boleh nampak yang Razman ada OCD tapi tak ada babak yang sokong teori ni jadi kukuh. Team busana pun did a good job lah cuma tang rambut Razman tu kadang huru-hara.
Seronok tengok rumah Razman yang cantik dan jauh dari bandar. Tepat menggambarkan personaliti dia yang misteri dan menjaga privasi. Nak masak pun tak payah beria ke kedai sebab semua bahan boleh ambil dekat belakang. Sesuai lah pilih Lereng Tanah Farmhouse dekat Hulu Langat sebagai latar tempat utama, kena juga dengan tajuk Griya yang bermaksud rumah dalam bahasa Sanskrit. Rumah dia cantik pada luaran tapi ada misteri di dalamnya.
Sebelum ni ragu-ragu nak tengok Griya: Rahsia Seorang Lelaki sebab Nazim Othman tapi tak sangka pula Nazim hidupkan watak Razman dengan cemerlang. Teringat-ingat senyuman psiko dia. Masa tengok drama Griya: Rahsia Seorang Lelaki ni, teringat filem Hindi bertajuk Kasoor (2001) sebab jalan cerita sama, peguam jatuh cinta dengan penjenayah yang kacak dan kaya. Tapi itu lah, kalau jadi Simran atau Sophia, macam mana nak mengelak dari jatuh cinta dengan lelaki yang soft spoken, gentleman, serasi dan kacak macam Shekhar Saxena atau Razman. Yang bijak pun boleh terbuai perasaan.
Naskhah Griya: Rahsia Seorang Lelaki mungkin ada kelemahan pada penulisannya tapi masih layak disenaraikan sebagai drama wajib tonton untuk genre thriller. Dari awal pun kita dah tahu siapa pembunuhnya cuma kita pun akan tertanya-tanya seperti Sophia sebab ada beberapa suspek lain dan kejutan yang disimpan oleh pengarah.
1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +0.8, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +1, 6. Genre +1, 7. Themes +0.8, 8. Editing +0.8, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +1 = 8.8/10

Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.