EZZANIE JASNY BERANI TEROBOS SISI GELAP DALAM “NERAKA YANG TERHIJAB”

Wednesday, 3 June 2026

“Berapa Harga Sebuah Maruah?” | EZZANIE JASNY BERANI TEROBOS SISI GELAP DALAM “NERAKA YANG TERHIJAB”

Kuala Lumpur, 3 Jun 2026 – Seorang anak perempuan yang terdesak. Seorang ibu yang uzur dan seorang bapa yang memusnahkan masa depan anak sendiri demi kepentingan peribadi. Itulah dunia Adda dalam Neraka Yang Terhijab, siri Tonton Originals terbaharu yang menyelami sisi gelap kehidupan apabila seorang anak sanggup mengorbankan dirinya demi keluarga.

Bak​​al bersiaran bermula 4 Jun 2026, setiap Khamis hingga Ahad, siri 20 episod ini menampilkan Ezzanie Jasny, Lorenzo Irman dan Arfie Shah di bawah arahan Azri Izhar serta nukilan Liza Nur. Mengangkat genre melodrama gelap dan realisme sosial, Neraka Yang Terhijab memaparkan realiti tekanan hidup, kemiskinan dan pilihan moral yang semakin kabur apabila seseorang dihimpit kesusahan.

Adda (Ezzanie Jasny) ialah seorang pelajar universiti yang berjuang meneruskan kehidupan selepas wang biasiswanya disalahgunakan oleh bapanya sendiri, Malik. Dengan keadaan kewangan keluarga yang semakin meruncing, Adda terpaksa bekerja keras untuk menampung keperluan mereka. Namun, semakin kuat dia berusaha, semakin dia terjerumus ke dalam sisi kehidupan yang lebih gelap.

Segalanya berubah apabila Adda diperkenalkan kepada “The Floor,” dunia elit yang dipenuhi kemewahan, pesta dan manusia berpengaruh. Pada awalnya dia menolak, namun tekanan hidup akhirnya membuatkan dirinya memilih untuk menjalani kehidupan berganda sebagai wanita peneman kelas atasan demi wang.

Dalam masa sama, Adda turut terperangkap dalam konflik dua beradik tiri, Annas (Lorenzo Irman) dan Zakwan (Arfie Shah). Ketika Zakwan menggunakan dirinya demi memusnahkan adiknya sendiri, Annas pula mula melihatnya sebagai lebih daripada sekadar perempuan yang dipergunakan. Namun dalam dunia yang dipenuhi rahsia dan kepalsuan, masih adakah ruang untuk mereka diselamatkan? 

Bagi Ezzanie Jasny, Adda merupakan watak yang sarat dengan luka dan emosi. “Saya rasa Adda mewakili ramai orang yang hidup dalam keadaan terdesak sampai terpaksa buat pilihan yang mereka sendiri tak pernah bayangkan. Dia bukan perempuan jahat, dia cuma terlalu penat berjuang seorang diri. Itu yang buat watak ini sangat menyakitkan untuk dimainkan,” katanya.

Apabila wang menjadi taruhan untuk terus hidup, masih adakah ruang untuk Adda mencari dirinya semula? Saksikan Neraka Yang Terhijab mulai 4 Jun 2026, setiap Khamis hingga Ahad, eksklusif di Tonton.

Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti akaun rasmi Tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram @tontonmy.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.