Pengarah: Zahir Omar
Penulis Skrip: June Tan
Pelakon: Datuk Remy Ishak, Norreen Iman, Fabian Loo, Alicia Amin, Ahirine Ahirudin, Megat Sharizal, Anas Ridzuan, Amir Nafis, Safwan Nazri
Syarikat Produksi: ACT 2 Pictures, Golden Screen Cinemas, Astro Shaw, Katalyst Connections, SunStrong Entertainment
Pengedar: GSC Movies
Genre: Seram / Aksi / Komedi
Durasi Tayangan: 120 minit
Tarikh Tayangan: 02 April 2026 (Malaysia)
Trailer:
Pegawai polis elit bernama Mikael (Datuk Remy Ishak) diarahkan untuk menyiasat kes pembunuhan beramai-ramai di majlis perkahwinan di Kuala Gerbang. Awalnya Mikael enggan namun Chief memujuk Mikael kerana dia tahu ada sesuatu yang misteri pada insiden ngeri tersebut. Mikael bukan saja seorang pegawai polis malah merupakan pemburu jin di dunia manusia dan mempunyai akses ke Alam Ghaib.
Setibanya di sana, Mikael berjumpa dengan Sarjan Kok (Fabian Loo) dan melihat simbol aneh di kenduri kahwin tersebut. Ketika menyiasat Arif yang kerasukan semasa membunuh, Mikael bertemu dengan Jin Tahap 13 dan terlihat bayangan Tijah (Ahirine Ahirudin), adiknya meminta tolong setelah terperangkap di Alam Ghaib.
Mikael kemudiannya bertemu dengan Winston (Noreen Iman) yang mempunyai koleksi barangan unik yang dicipta dari ilmu hitam. Semua barangan tersebut boleh dijadikan senjata untuk bertarung dengan tentera jin. Dalam masa yang sama, bilik Mikael diceroboh oleh Aisyah (Alicia Amin). Sebuah peta lama Kuala Gerbang dicuri tapi belum sempat dia keluar, Mikael menghalang lalu peta tersebut tercarik dua.
Mikael bersama Sarjan Kok dan Winston mencari tahu tentang apa pertalian Kuala Gerbang yang mempunyai Batu Hidup dengan kejadian misteri pembunuhan yang berlaku. Dari pencarian tersebut mereka tahu Raja Jin ingin menakluk dunia manusia setelah kejatuhan tujuh orang pelindung akibat melakukan dosa besar.
Naskhah seram aksi komedi yang diterbitkan oleh Adrian Teh mendapat sentuhan sutradara oleh Zahir Omar yang pernah menghasilkan filem Fly by Night (2018), Housekeeping? (2024) dan web siri Tira (2024).
Penceritaan Mikael: Pemburu Dua Alam menggunakan konsep yang menarik dan segar dalam industri perfileman Malaysia di mana Mikael menjadi pemburu jin. Elemen seram dimasukkan pada cara jin merasuk manusia secara agresif melakukan kekecohan dan pembunuhan. Boleh kata filem Mikael: Pemburu Dua Alam agak ganas dan gore.
Perjalanan Mikael: Pemburu Dua Alam bersilih ganti dengan latar masa sekarang dan juga masa lalu di mana babak flashbacks cuba menjelaskan situasi Mikael dan Tijah namun tidak lah diceritakan secara menyeluruh. Bagaimana Tijah dan Mikael boleh menjadi pemburu belum didedahkan lagi oleh penulis. Yang pastinya, Mikael mempunyai trauma yang mendalam setelah gagal melindungi Tijah, satu-satunya ahli keluarga dia yang tinggal. Lakonan Datuk Remy Ishak yang cemerlang menghidupkan personaliti dan aura Mikael sebagai pegawai polis elit dan pemburu jin.
Elemen komedi dihadirkan melalui watak Sarjan Kok dan Winston yang sebelum ini pernah bekerja dengan Zahir dalam filem Housekeeping? (2024). Banyak kali juga lah terhibur dengan babak mereka berdua kerana kedua-duanya lakonkan watak dengan bersahaja. Dialog kurang gemar lah sebab ada unsur vulgarity even nama Kok sendiri pun dah menjurus ke arah tu.
Watak Doktor Zaid (Anas Ridzuan) agak menjengkelkan sebab emo kena uruskan mayat pengantin lelaki. Kenapa nak perli pasal kuku dan wedding expenses dia? Bukannya dia minta pun kena bunuh sampai jadi beban kerja pada Doktor Zaid. Maybe it just me sebab tak suka dengan lakonan Anas, tambah pula watak dia lebih kurang sama dengan watak Fahim dalam siri Alter-Naratif (2023).
Filem Mikael: Pemburu Dua Alam mudah difahami walaupun mempunyai elemen misteri tapi dengan mudahnya boleh diteka. Kekuatan pada filem ni terletak pada keunikan elemen mistik Nusantara yang dibawa masuk ke dalam cerita. Babak hujan katak di mana katak menjadi medium alam mistik dalam masyarakat Melayu, senjata Winston seperti air mata Mahsuri dan lain-lain. Menarik juga bila team production masukkan senjata kerambit yang jarang digunakan untuk filem aksi tempatan.
Sinematografi dari lensa Mohd Abudin Abdullah menggunakan palette musim panas untuk menggerakkan visual dan emosi di baliknya. Filem Mikael: Pemburu Dua Alam juga mempunyai gabungan visual yang bergaya dengan pergerakan kamera menarik dalam suntikan klasik yang terhasil dari latar tempat yang mengangkat budaya masyarakat kampung. Muzik dari Rendra Zawawi menguatkan lagi penceritaan filem dan visi pengarah. Pergerakan kamera masa babak aksi sahaja yang menyakitkan mata sampai tak nampak stunt yang dipaparkan.
Watak Aisyah di awal filem terlihat menarik dan mempunyai screen presence yang kuat tapi sayangnya dia tak dapat ruang pun di final act. Watak pun tak dikembangkan banyak walaupun pengarah tunjuk Aisyah ada tag polis dan doktor dalam bag. Adakah dia bekerja dengan Chief atau bergerak solo, itu masih belum terjawab. Geram lah juga bila dia hilang di balik batu sedangkan dia boleh tolong Tijah dan elakkan filem jadi draggy.
Pemburuan Mikael masih belum selesai dan pengarah bagi hint dekat credit scene tentang misi Chief di kawasan lain so hopefully dapat tengok sekuel atau prekuel kepada Mikael: Pemburu Dua Alam.
1. Team Production +0.8, 2. Visual +0.8, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +0.6, 6. Genre +0.8, 7. Themes +1, 8. Editing +0.7, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.8 = 8.2/10

Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.