BIG STAGE X ROCKETFUEL: BUKAN SEKADAR PERTANDINGAN, INILAH TITIK PERMULAAN INDUSTRI HIBURAN

Wednesday, 17 June 2026

BIG STAGE X ROCKETFUEL: BUKAN SEKADAR PERTANDINGAN, INILAH TITIK PERMULAAN INDUSTRI HIBURAN | Tampil dengan kontrak eksklusif bernilai RM200,000 bersama Astro dan Rocketfuel Entertainment

Kuala Lumpur, 16 Jun 2026 - Selepas enam musim mencungkil bakat-bakat luar biasa dan melahirkan ramai bintang yang terus bersinar dalam industri hiburan tanah air, program realiti nyanyian popular Astro kembali dengan nafas baharu menerusi Big Stage X Rocketfuel. Bersiaran secara langsung di Astro Ria bermula 28 Jun 2026, jam 9 malam, musim terbaharu ini tampil dengan misi mencari sensasi hiburan Malaysia seterusnya yang bersedia untuk menggegarkan pentas industri.

Sebagai antara platform pencarian bakat paling berjaya di Malaysia, Big Stage terus komited dalam melahirkan generasi baharu penghibur tanah air. Musim ini menandakan satu evolusi baharu apabila Rocketfuel Entertainment buat julung kalinya menjadi sebahagian daripada identiti program. Kerjasama strategik ini memperkukuh usaha dalam membangunkan bakat-bakat baharu bukan sahaja sepanjang pertandingan berlangsung, malah selepas tirai pertandingan dilabuhkan menerusi bimbingan profesional, pendedahan industri serta peluang pembangunan kerjaya yang lebih menyeluruh.

Sepanjang lapan minggu, para peserta bakal berentap untuk merealisasikan impian mereka di salah satu platform hiburan terbesar negara. Pemenang-pemenang utama berpeluang menerima Rocketfuel Artist Development Contract tajaan Rocketfuel Entertainment bernilai sehingga RM200,000. Pakej komprehensif ini merangkumi penghasilan single dan video muzik baharu, pembangunan imej serta jenama peribadi, latihan intensif vokal dan persembahan, bimbingan komunikasi media, pengurusan media sosial, pembangunan kandungan digital, sokongan pemasaran dan promosi, serta peluang pendedahan merentas platform televisyen, radio dan digital Astro. Turut disediakan adalah bimbingan berterusan daripada profesional industri dan pengurusan kerjaya yang menyeluruh bagi memastikan bakat-bakat terpilih dibentuk sebagai artis serba lengkap, berdaya saing dan bersedia untuk melangkah ke peringkat profesional dalam industri hiburan tanah air.

Merebut peluang untuk muncul sebagai sensasi hiburan Malaysia seterusnya ialah 10 peserta berbakat yang terdiri daripada sembilan penyanyi solo dan satu duo iaitu Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina serta duo Adam & Nazmie. Setiap peserta hadir dengan warna, identiti dan keistimewaan tersendiri dalam usaha menawan hati penonton serta membuktikan kemampuan mereka di pentas Big Stage X Rocketfuel.

Menurut Raqim Ahmad, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu, Astro, “Selama enam musim, Big Stage telah membuktikan bahawa ia lebih daripada sekadar pertandingan nyanyian. Ia merupakan platform yang membuka ruang kepada bakat-bakat baharu untuk menyerlahkan potensi sebenar mereka, mengasah kemahiran, membina keyakinan diri dan memperkenalkan nama kepada khalayak yang lebih luas. Ramai alumni Big Stage hari ini telah berjaya mencipta nama dan mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri hiburan tempatan.

Musim ini amat istimewa apabila Rocketfuel Entertainment menjadi sebahagian daripada identiti program menerusi Big Stage X Rocketfuel. Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami dalam mewujudkan ekosistem pembangunan bakat yang lebih kukuh dan mampan. Para peserta bukan sahaja diberikan platform untuk membuat persembahan, malah turut dibekalkan dengan akses kepada bimbingan profesional, peluang industri serta sokongan pembangunan kerjaya yang mampu membantu mereka berkembang jauh melangkaui pertandingan ini. Kami berharap usaha ini dapat melahirkan generasi baharu artis yang bukan sahaja berjaya di peringkat tempatan, malah berupaya membawa nama Malaysia ke pentas yang lebih besar di peringkat serantau dan antarabangsa.”

Turut kembali menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap musim ini ialah penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini. Beliau akan bergandingan bersama dua alumni Astro yang telah berjaya menempa nama dalam industri muzik tanah air menerusi program pencarian bakat, iaitu Akim Ahmad (Akademi Fantasia Musim 7) dan Aisha Retno (Big Stage Musim 4).

Saksikan Big Stage X Rocketfuel dan strim episod penuh menerusi On Demand, Astro GO dan Sooka. Langgan Pek Entertainment Astro One bersama Netflix serendah RM74.90/sebulan* atau pilih Pek Sports Astro One bersama Netflix serendah RM94.90/sebulan*. Nikmati penstriman lancar dan hiburan tanpa henti untuk seisi keluarga. Untuk maklumat lanjut, layari astro.com.my atau hubungi Astro menerusi WhatsApp di 03 9543 3838.

Info Program & Penjurian ‘Big Stage X Rocketfuel’'

▪ Kesemua 10 peserta telah menandatangani Kontrak Pembangunan Artis Rocketfuel Entertainment sebagai langkah awal dalam membina dan mengembangkan kerjaya seni mereka selepas program berakhir.

▪ Pemenang Big Stage X Rocketfuel bakal ditentukan 100% dari pemarkahan juri profesional. Penyingkiran akan berlaku pada minggu-minggu tertentu, manakala juri jemputan khas akan turut diundang setiap minggu bagi memberikan perspektif dan penilaian yang lebih menyeluruh.

▪ Manakala 3 bintang yang bakal menerima Rocketfuel Artist Development Contract yang bernilai sehingga RM200,000 pula, bakal ditentukan oleh gabungan undian online dari penonton di pentas akhir nanti.

▪ Musim ini turut mengekalkan Astro Gempak sebagai Rakan Digital dan ERA sebagai Rakan Radio Rasmi.

Info Siaran ‘Big Stage X Rocketfuel’

STUDIO

Menampilkan kandungan eksklusif sedutan belakang tabir semasa siaran langsung dan suasana di belakang pentas semasa persembahan berlangsung di Auditorium MBSA Shah Alam.

DIARI

Kompilasi sorotan persediaan para peserta menjelang konsert mingguan serta klip-klip sedutan belakang tabir termasuk latihan vokal, susunan lagu dan koreografi tarian bersama mentor-mentor yang terlibat.

CHECK OUT BIG STAGE X ROCKETFUEL

Pengisian di platform digital yang akan disiarkan secara serentak di laman rasi dan platform media sosial Astro Gempak ketika berlangsungnya konsert mingguan.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.