BANDAR BARU BANGI, 26 Jun 2026 – Selepas kejayaan penganjuran Festival Warisan Selera Timur tahun lalu dengan catatan kehadiran lebih dari 12,000 pengunjung, kali ini Festival Warisan Selera kembali meneruskan misinya dalam memartabatkan khazanah makanan tradisi negara menerusi penganjuran edisi kedua, Festival Warisan Selera Selatan 2026 (FWSS 2026).
Membawa tema “Rasa Asli Menu Tradisi, Kini Di Bangi Lagi”, festival selama tiga hari ini bakal berlangsung pada 26 sehingga 28 Jun 2026 bertempat di Evo Mall, Bandar Baru Bangi bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Berdasarkan sambutan luar biasa edisi terdahulu, FWSS 2026 kini tampil dengan skala yang lebih besar dan menyasarkan jumlah kehadiran lebih dari 15,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform utama dalam meraikan kepelbagaian makanan warisan Malaysia.
Festival Warisan Selera Selatan 2026 merupakan anjuran Evo Mall dan diuruskan oleh A.M.A Infinity Solution dengan sokongan rakan strategik termasuk Tourism Malaysia bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), TEKUN Nasional serta Persatuan Penduduk Bangiku.
Kerjasama strategik ini menjadi sebahagian daripada usaha bersama dalam memperkukuhkan promosi pelancongan domestik, memperkasa komuniti, menyokong usahawan tempatan serta memastikan warisan budaya dan kulinari negara terus dipelihara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Evo Mall, Zetty Rahim, FWSS 2026 menghimpunkan lebih 25 vendor makanan ikonik dari tiga negeri selatan iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan dengan hampir 200 variasi hidangan warisan, resipi keluarga dan sajian turun-temurun yang menjadi lambang identiti negeri masing-masing.
“Antara tarikan utama termasuk nama-nama makanan tradisi popular seperti Mee Rebus Haji Wahid dari Johor, Induk Salai dari Negeri Sembilan serta Asam Pedas Melaka yang cukup sinonim dengan keaslian rasa warisan tempatan.
“Pengunjung bakal dibawa menjelajah rasa tiga negeri menerusi pelbagai hidangan asli seperti Nasi Ambeng, Asam Pedas Melaka, Masak Lemak Cili Api, Masak Lemak Salai, Burasak, Lemang Periuk Kera, Rendang Maman Warisan, Apam Johol, Kuih Sopang, aneka kuih tradisional, dodol dan keria gula Melaka serta pelbagai lagi menu nostalgia yang semakin sukar ditemui.
“Festival ini dilihat mampu menjadi medan untuk meraikan cerita di sebalik setiap sajian daripada warisan keluarga, budaya masyarakat dan air tangan generasi terdahulu agar terus dikenali oleh generasi baharu,” jelasnya.
Sepanjang tiga hari penganjuran, Festival Warisan Selera Selatan 2026 bakal menyajikan pelbagai pengisian menarik yang menggabungkan elemen makanan, seni, budaya dan hiburan untuk seisi keluarga.
Antara tarikan yang disediakan termasuk persembahan artis tanah air, demo masakan menu warisan mewakili Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, pertandingan memasak “Variasi Rasa 3 Negeri”, pertandingan busana tradisional negeri-negeri Selatan serta pertandingan mewarna keluarga “2 Generasi 1 Potret”.
Dalam usaha menghidupkan lagi pengalaman warisan, pengunjung turut berpeluang menikmati persembahan kebudayaan seperti Zapin dan Kuda Kepang, menyertai Kuiz Warisan, serta mengikuti sesi sembang santai bersama tokoh dan personaliti jemputan yang berkongsi kisah di sebalik seni, budaya dan warisan tempatan.
Sebagai tanda penghargaan kepada pengunjung, festival ini turut membawakan inisiatif agihan 200 hidangan warisan percuma, selain cabutan bertuah dan penganjuran Anugerah Vendor FWSS 2026 bagi meraikan usahawan makanan tradisi yang terus komited memelihara khazanah rasa negara.
Kemeriahan festival turut diserikan dengan kehadiran selebriti, pempengaruh dan personaliti tanah air termasuk Haziq Rosebi, Siti Nordiana, Naqiu Boboy, Nizam Jentik-Jentik, Adzrin Adzhar, Papayen, Dzulfqar Dzolkifley, Seorangaen, Squiggly CK dan Sara Anna.
Elemen kebudayaan turut diketengahkan menerusi persembahan istimewa daripada Kelab Tarian Rentak Hanung Seputra dan Akar Seni Malaysia bagi menghidupkan lagi suasana warisan sepanjang festival berlangsung.
Penganjuran FWSS 2026 turut mendapat sokongan daripada barisan penaja yang bersama-sama menjayakan aspirasi mengangkat warisan makanan, komuniti dan jenama tempatan.
Penghargaan khas diberikan kepada barisan penaja Festival Warisan Selera Selatan 2026 iaitu Flerr Air Freshener, Adabi Malaysia, Sara Anna, Patek by Papayen Batik, Billo Malaysia dan Azue Event Hall atas sokongan serta komitmen dalam merealisasikan sebuah festival yang meraikan keunikan rasa dan budaya Malaysia.
Festival Warisan Selera Selatan 2026 bukan sekadar sebuah acara makanan, malah menjadi sebahagian daripada gerakan berterusan untuk memastikan khazanah kulinari negara terus dihargai, dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Melangkah ke hadapan, siri jelajah rasa ini bakal diteruskan menerusi perancangan penganjuran Festival Warisan Selera Utara 2027, yang akan membawa pengunjung meneroka pula kepelbagaian sajian tradisi serta khazanah kulinari negeri-negeri utara tanah air.
Perjalanan ini menjadi kesinambungan kepada misi Festival Warisan Selera untuk menjelajah keunikan rasa seluruh Malaysia satu negeri, satu cerita dan satu warisan yang perlu terus diraikan.
Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga dan rakan-rakan bagi merasai sendiri pengalaman menjelajah warisan rasa tiga negeri dalam satu destinasi.
FESTIVAL WARISAN SELERA SELATAN 2026
- 📍 Evo Mall, Bandar Baru Bangi
- 📅 26, 27 & 28 Jun 2026
- ⏰ 10.00 pagi – 10.00 malam
Evo Mall merupakan pusat beli-belah yang dikelolakan oleh subsidiari Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) iaitu KITA Retail Management Sdn. Bhd.


.jpeg)
.jpeg)

Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.