
BERWAJAH AGAMA TAPI DERA ANAK, WATAK ABI “NERAKA YANG TERHIJAB” BUAT NETIZEN PANAS | RAMAI AKUI TERUSIK DENGAN REALITI YANG DIPAPARKAN
Watak Abi yang dilakonkan Lan Siro dalam drama Neraka Yang Terhijab siri Tonton Originals terbaharu, kini menjadi antara topik paling hangat diperkatakan penonton di media sosial. Bukan kerana dia seorang antagonis yang tipikal tetapi kerana ramai merasakan karakter tersebut terlalu dekat dengan realiti kehidupan sebenar.
Sepanjang drama ini ditayangkan sejak 4 Jun lalu, ruangan komen media sosial dibanjiri pelbagai reaksi daripada penonton yang mengakui berasa marah, kecewa dan emosi setiap kali menyaksikan tindakan Abi terhadap anak-anaknya. Lebih mengejutkan, ramai netizen tampil berkongsi pengalaman peribadi yang hampir sama, termasuk kisah ibu bapa yang terlalu bergantung kepada anak-anak dari sudut kewangan sehingga mengabaikan masa depan dan kebajikan mereka sendiri.
Antara komen yang mendapat perhatian ramai ialah perkongsian seorang netizen yang mendakwa pernah berdepan situasi serupa apabila wang pendidikan anak digunakan oleh ibu bapa untuk kepentingan lain. “Wujud bapak macam ni. Last sekali dia yang guna duit anak. Allah maha kaya, umur ayah pun tak panjang. Tapi dalam hati anak tersimpan dendam kesumat yang sampai bila-bila anak tak lupa.”


Seorang lagi netizen turut berkongsi pengalaman yang lebih menyedihkan apabila mendakwa dana pendidikan adiknya digunakan untuk membeli kereta sehingga menyebabkan adiknya tidak dapat meneruskan pengajian. “Aku dapat tahu PTPTN adik aku ayah aku pergi buat beli kereta. Lepas tu adik lelaki aku tak dapat sambung belajar sebab kena kerja jadi penanggung keluarga.”
Perkongsian seperti ini menyebabkan ramai penonton melihat watak Abi bukan sekadar karakter rekaan, sebaliknya gambaran kepada realiti yang benar-benar berlaku dalam masyarakat. Dalam masa yang sama, watak Abi turut mencetuskan perdebatan apabila ada penonton mempersoalkan bagaimana seorang individu yang dilihat warak dan berimej alim boleh bertindak sedemikian terhadap keluarganya.
Malah terdapat juga netizen yang berpendapat drama tersebut membuka mata masyarakat tentang kewujudan individu yang menggunakan imej agama untuk mendapatkan kepercayaan orang ramai. “Kena buka mata masyarakat. Banyak orang yang tunggang agama, tunjuk alim.”
Perdebatan ini sekali gus membuka ruang kepada perbincangan yang lebih besar mengenai tanggungjawab anak terhadap ibu bapa.
Apa yang pasti, reaksi luar biasa terhadap watak Abi membuktikan bahawa Neraka Yang Terhijab berjaya menyentuh isu yang sangat dekat dengan masyarakat. Kemarahan penonton terhadap watak tersebut bukan semata-mata kerana lakonannya yang berkesan, tetapi kerana ramai melihat sebahagian daripada pengalaman hidup mereka sendiri.
Siri 20 episod ini turut menampilkan Ezzanie Jasny, Lorenzo Irman dan Arfie Shah di bawah arahan Azri Izhar serta nukilan Liza Nur. Neraka Yang Terhijab memaparkan realiti tekanan hidup, kemiskinan dan pilihan moral yang semakin kabur apabila seseorang dihimpit kesusahan.
Adakah kisah Adda lebih dekat dengan realiti daripada yang kita sangka? Saksikan Neraka Yang Terhijab, setiap Khamis hingga Ahad, eksklusif di Tonton.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.