GOOD BOYS GO TO HEAVEN SATUKAN PENONTON ‘MENCARI’ PEMBUNUH AHYAN

Friday, 19 June 2026

GOOD BOYS GO TO HEAVEN SATUKAN PENONTON ‘MENCARI’ PEMBUNUH AHYAN | ‘Siri Premium Paling Berpengaruh Tahun 2026’

Kuala Lumpur, 18 Jun 2026 — Siri premium paling hangat diperkatakan ketika ini, Good Boys Go To Heaven terbitan Astro Shaw, berjaya mencuri perhatian penonton di seluruh negara, sekaligus ‘menyatukan’ mereka dalam satu misi untuk merungkai siapakah dalang di sebalik pembunuhan Ahyan.

Seawal episod pertama ditayangkan pada 8 Mei lalu, siri ini menerima sambutan luar biasa apabila penonton aktif berteka-teki, mengemukakan teori serta berkongsi spekulasi di media sosial mengenai identiti pembunuh, malah ramai yang berada dalam ‘detective mode’. Setiap episod yang ditayangkan memperkukuh misteri, mendorong penonton untuk meneliti setiap petunjuk dan menyusun sendiri kemungkinan yang berlaku.

Menurut Penerbit Eksekutif Good Boys Go To Heaven merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menyatakan Good Boys Go To Heaven merupakan komitmen Astro Shaw dalam mengangkat penceritaan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, dengan usaha untuk meneroka batas kreatif serta memperkukuh penglibatan penonton. 

“Sejak awal, siri premium ini dihasilkan untuk mengangkat isu sosial serta memberi pengalaman tontonan yang lebih interaktif. Apa yang jelas, Good Boys Go To Heaven telah berkembang menjadi satu pengalaman kolektif serta menjadi titik perubahan dalam industry. Penonton daripada pelbagai latar bukan sekadar menonton, tetapi aktif membina teori, berkongsi analisis, dan mencetuskan perbualan meluas merentas pelbagai platform digital. 

Melangkaui layar, siri ini mencetuskan perbualan sosial yang meluas dan kami turut bekerjasama dengan MIASA untuk memperluas kesedaran kesihatan mental dan menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam dalam kalangan masyarakat.

Kami amat menghargai dan teruja melihat bagaimana siri ini berjaya menyatukan penonton Malaysia dalam berkongsi pandangan dan sekali gus mencetuskan kesedaran serta keprihatinan terhadap isu yang diketengahkan, selain menghubungkan penonton secara emosi dengan kepedihan dan konflik yang dilalui oleh setiap watak.” 

Siri ini menunjukkan prestasi yang sangat membanggakan dengan mencatatkan lebih 58 juta tontonan dan 9.5 juta capaian di semua platform media sosial, sekali gus mencerminkan tahap jangkauan yang tinggi dalam ekosistem digital. 

Good Boys Go To Heaven turut tersenarai dalam Top 10 siri di Netflix selama enam minggu berturut-turut, seterusnya mengukuhkan kedudukannya sebagai antara kandungan tempatan paling hangat diperkatakan.

Rata-rata penonton memuji kekuatan skrip hasil penulisan yang diketuai Mira Mustaffa dan pendekatan penceritaan yang luar daripada kebiasaan. Antara komen, 

“Good Boys Go To Heaven ni dah level lain eh. Local series paling solid aku layan setakat ni. Sinematografi, plot, lakonan… semuanya chef’s kiss. Can we just make this the new standard untuk industri drama Malaysia?” - @emanemot

Naratif yang berlapis serta elemen psikologi yang mendalam menjadikan siri ini satu pengalaman tontonan yang segar dan mencabar.

Dari segi lakonan, barisan pelakon turut menerima pujian meluas, khususnya baru-baru ini tiga pelakon kanak-kanak yang berjaya membawa watak dengan penuh emosi.

“Kena sangat, terutamanya watak Yasser kanak-kanak yang dilihat hampir sama dari segi ekspresi dan cara pembawaan. Tiga pelakon kanak-kanak ini juga berjaya mengangkat Episod 6 dengan sangat baik, walaupun ia sarat dengan emosi dan cukup ‘disturbing’”. - @haar-r

“Yasser, Bahamin dan Zayd junior bagus dalam lakonan. Suka dengar penyampaian dialog dan tidak tipikal pelakon kanak-kanak.” - @ericfuzi_f88

Selain itu, interaksi barisan pelakon di media sosial turut mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan peminat. Pelakon seperti Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Zahirah MacWilson, Sky Iskandar dilihat aktif berinteraksi di platform Threads dengan membuat perkongsian dalam karakter masing-masing, seterusnya menghidupkan lagi pengalaman penonton yang berasa dekat dengan setiap karakter. 

Good Boys Go To Heaven diterajui penulis skrip terkemuka Mira Mustaffa, yang merupakan bakat kreatif dari Astro Shaw serta berperanan sebagai showrunner bagi siri ini. Manakala Ariff Zulkarnain bertindak menggalas tanggungjawab sebagai pengarah, dengan barisan pelakon hebat tanah air, Selain Beto, Zahirah, Amerul dan Sky, siri ini turut dibintangi Firdaus Karim, Malek McCrone, Amanda Ang, Mila Mohsin, Dai Fuad, Marzuki Noh, Zaleha Iman dan Sayf Mikael.

Yasser, seorang bapa berhadapan dengan igauan ngeri apabila anak lelakinya Ahyan, dilaporkan hilang sebelum jasadnya ditemui dalam keadaan tragis akibat pembunuhan kejam. Siri ini turut mengangkat isu trauma yang menyentuh emosi penonton. 

Saksikan kesemua episod Good Boys Go To Heaven di On Demand, sooka atau Astro Citra (Saluran 108).

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.