THROWBACK : ANTARA TAWA, AKSI & TANGISAN, INILAH BABAK-BABAK YANG PALING IKONIK DALAM EJEN ALI THE MOVIE!

Friday, 9 May 2025

Debaran menjelang tayangan Ejen Ali the Movie 2 pada 22 Mei 2025 ini kian terasa! Sementara ejen-ejen semua bersiap sedia untuk misi seterusnya Ejen Ali di layar lebar tak lama lagi, apa kata kita singkap semula momen-momen paling tak dapat dilupakan dari filem pertama?

Mamak Maju, Servis Laju!


Babak di Mamak Maju dalam Ejen Ali The Movie bukan sekadar selingan komedi tetapi menjadi antara momen paling ikonik yang menggabungkan hiburan, humor dan budaya tempatan. Sewaktu tayangan, babak ini tular melalui perbualan di Twitter dan pernah trending menjadi  No.1 di YouTube, setelah meraih lebih 20 juta tontonan. Lagu dan tarian “Mamak Maju” menerima sambutan hangat kerana melodinya yang catchy dan seolah-olah memberi tribute kepada suasana unik yang pastinya relatable dalam setiap hati rakyat Malaysia. 

Dalam adegan ini Ali, Alicia dan Bakar menyusup ke pangkalan rahsia di restoran 24 jam Mamak Maju. Mereka dibantu pekerja mamak iaitu Rahul, Rajesh dan Razman, yang juga ejen perisik MATA yang telah bersara dan dahulunya merupakan rakan sepasukan General Rama. Ejen mamak bertiga ini turut menonjolkan sisi baharu Alicia yang mereka kenali dari kecil, dengan sapaan nama timangan manja mereka buatnya, Icha. 

Diiringi muzik rancak dan koreografi tarian bertenaga persis filem Hindustan, mereka bertiga mengalihkan perhatian pelanggan untuk membuka ruang bagi Ali, Alicia dan Bakar menyelinap masuk ke HQ MATA melalui pintu rahsia. Gabungan suasana restoran mamak dan elemen perisikan moden ini mencipta babak menghiburkan yang turut mencerminkan identiti animasi tempatan.

Pertarungan Niki Menentang Ejen-Ejen MATA


Pertempuran epik antara Niki dan ejen-ejen MATA menjadi salah satu babak aksi paling mengagumkan dalam Ejen Ali The Movie. Babak ini menampilkan animasi berkualiti tinggi yang berjaya menggerakkan perjalanan plot penuh debaran, melalui suntingan sinematografi yang dinamik dan gerakan pertarungan yang memukau. Niki, antagonis utama filem ini, sebenarnya berasal dari keluarga miskin di Pinggiran Cyberaya dan menyimpan dendam terhadap Dato’ Othman selepas kehilangan ibu bapanya dalam kemalangan melibatkan projek milik tokoh itu. 


Tambahan pula, hubungan persahabatan antara Niki dan Aliya terputus setelah Aliya memilih untuk menyertai MATA yang diasaskan oleh Dato’ Othman dan membuatkan Niki rasa dikhianati. Niki menyembunyikan kisah sebenar tentang kematian Aliya dari Ali dan memperdaya Ali untuk membalas dendam dengan bantuan IRIS NEO. Namun, Ali akhirnya bangkit dengan kekuatan sebenar berteraskan legasi ibunya dan akhirnya menewaskan Niki dalam pertarungan yang penuh simbolik.

Pendedahan Mengejutkan Tentang Aliya, Ibu Kepada Ali


Babak yang mendedahkan kebenaran menyayat hati tentang Aliya, ibu Ali yang sebenarnya seorang ejen elit MATA yang terkorban sewaktu menjalankan misi kritikal, telah membuat ramai penonton berlinangan air mata. Pendedahan ini merungkai sejarah persahabatan silam antara Aliya dan Niki dan memperjelaskan motif sebenar di sebalik dendam Niki terhadap bandar Cyberaya. Di klimaks filem, pertempuran sengit antara Ali dan Niki mencetuskan sebuah pertemuan emosional antara Ali dan Aliya di dalam dimensi IRIS. 


Ali kini berdepan keputusan sukar untuk menghapuskan data tersimpan Aliya dalam IRIS agar dia boleh mengawal Override Mode dan menumpaskan Niki. Adegan ini sarat kedalaman emosi dan menjadikan Ejen Ali lebih dari sekadar karya animasi aksi, malah turut menyentuh tema kasih sayang seorang ibu, serta erti pengorbanan dan kehilangan.

Ejen Ali Akhirnya Menguasai Override Mode


Pertemuan penuh emosi Ali dengan ibunya, Aliya, menjadi detik penting yang mengubah segalanya. Ucapan selamat tinggal terakhir dari Aliya dilafazkan dengan alunan musik lagu Mama di Hatimu, didendangkan oleh Ida Rahayu Yusoff, yang turut menggalas watak pelakon suara Ejen Ali. Ali kini mampu mengawal IRIS dalam Override Mode, sebuah kebolehan luar biasa yang memberi kelebihan besar dalam pertarungannya menentang Niki dan menghalang Niki untuk terus memanipulasi ejen-ejen lain sebagai senjata. Bangkitnya Ali dalam pertaruhan terakhir ini bukan saja menunjukkan kematangannya sebagai seorang ejen, tetapi juga simbol keyakinan dan legasi yang diwarisi daripada ibunya.


Ejens, kerja kita belum selesai. Sudahkah anda bersedia? Misi anda ke pawagam bermula 22 Mei 2025 ini bersama Ejen Ali The Movie 2!

Tonton Treler Rasmi terbaharu Ejen Ali the Movie 2 di sini:



Animasi Mempesona, Meledakkan Emosi! Gunakan #EjenAliTheMovie2 #EATM2 #EjenAli #SatriaBangkit untuk kongsikan pengalaman anda dan hangatkan lagi perbualan di media sosial!

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.