Ejen Ali The Movie 2 sekali lagi menghidangkan aksi berintensiti tinggi dan emosi yang menggamit jiwa dengan pelancaran Treler Rasmi keduanya hari ini, susulan kemunculan poster utama yang mencetus perbualan hangat sejak semalam. Bersiap sedia untuk sebuah pengembaraan penuh aksi dan detik-detik dramatik di layar perak bermula 22 Mei 2025 ini. Ejen Ali kembali dalam misi baharu dengan pertaruhan yang lebih besar, ancaman yang lebih berani, dan babak aksi yang lebih mendebarkan!
Kali ini, kualiti animasi yang jauh lebih mengagumkan diperkayakan dengan visual memukau serta jalan cerita yang penuh emosi dan ketegangan pastinya bakal membuat penonton tidak sabar menanti ketibaan 22 Mei 2025. Gelombang sokongan daripada peminat sudah mula terasa sejak tayangan semula Ejen Ali The Movie pada Februari 2025 lalu, didorong lagi oleh pelbagai video treler dan lagu tema rasmi, Hanya Kamu oleh Dato’ M. Nasir, di platform striming digital, yang terus membangkitkan keterujaan untuk kepulangan Ejen Ali ke layar besar.
Treler kedua bermula dengan suara yang menyeru Ali untuk bangkit, disusuli ungkapan kata-kata “Kerja kita belum selesai…” yang bergema. Senario ini mendedahkan perbicaraan penuh emosi antara Ali dan Rizwan, bekas ejen MATA yang muncul kembali dengan motif yang tersembunyi. Walaupun berdepan cabaran yang semakin rumit, Ali tekad bertarung menentang musuh lama yang menyimpan dendam kesuma, Neonimus, demi mempertahankan kota futuristik Cyberaya. Ali perlu menguasai sut Satria untuk menyelesaikan misi ini, sebuah ciptaan inovasi teknologi berasaskan kecerdasan buatan terkini oleh agensi perisik MATA yang masih cukup asing buat dirinya. Pelantikan Ketua Teras MATA baharu, Ejen Amir (Neuro) dan Ejen Elle (Inviso) merubah dinamik pimpinan dan strategi dalam pertempuran ini. Sementara itu, kelibat Rizwan yang berganding bersama duo penjahat Dos dan Trez mengundang seribu persoalan.
Alunan beat lagu latar yang menyerlah mencipta pengalaman menonton treler kedua yang membuatkan peminat meremang, sekali gus menyemarakkan keyakinan bahawa Ejen Ali The Movie 2 berpotensi menggegarkan dunia animasi tempatan dan antarabangsa sekali lagi. Kesinambungan kepada Ejen Ali The Movie (2019), sekuel ini mengangkat konspirasi yang semakin mendalam dan musuh yang lebih mengancam dalam rungkaian plot yang bakal menguji semangat pasukan Ali ke tahap tertinggi. Ketika Neonimus rancak menyusun langkah untuk menjerat Ali, setiap pilihan dan tindakan yang diambil Ali sangat kritikal.
Usamah Zaid Yasin, pengarah filem ini, dalam ulasan lanjut berkata, “Pelancaran treler rasmi kedua ini mencetus perasaan teruja buat golongan pengkarya seperti kami. Kami tidak sabar untuk menyambut para peminat di pawagam demi mempersembahkan naratif Ejen Ali pada skala besar dan berintensiti tinggi. Setiap detik dalam filem ini direncana rapi untuk membawa penonton menyelami dunia Ejen Ali dengan lebih mendalam. Jumpa anda di pawagam pada 22 Mei ini!”
Ejen Ali The Movie 2 dibawakan oleh Primeworks Studios dan WAU Animation dengan kerjasama Komet Productions. Terus membakar semangat anda menjelang tayangannya dan sahut panggilan misi dengan menggunakan tanda pagar rasmi #EjenAliTheMovie2 di semua platform media sosial.
Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti perkembangan terkini, kandungan eksklusif, dan kemas kini di sebalik tabir menerusi saluran YouTube rasmi Ejen Ali serta akaun media sosial Primeworks Studios.Film.
Tonton Treler Rasmi #2 di:
YouTube: www.youtube.com/ejenali
TikTok: www.tiktok.com/@officialejenali
Facebook: www.facebook.com/ejenali
Instagram: www.instagram.com/ejen_ali
Twitter: www.twitter.com/ejen_ali
Bersiap sedia, Ejens! Misi diteruskan!
#EjenAli #EjenAliTheMovie2 #EATM2 #AniMY
*****************************
Mengenai Ejen Ali the Movie 2
Di bandar futuristik Cyberaya, “Ejen Ali the Movie 2” mengisahkan seorang budak lelaki yang secara tidak sengaja direkrut sebagai ejen rahsia oleh agensi perisikan Meta Advance Tactical Agency (MATA). Ejen Ali bersemangat untuk membuktikan dirinya dalam Projek Satria, sut berperisai yang dibantu Kecerdasan Buatan (AI) terbaru MATA. Semasa Ali bergelut dengan tanggungjawab barunya untuk menguasai Satria, dia harus menerima keputusan MATA untuk memberikan rakan (dan saingannya) Alicia sebagai pemegang seterusnya peranti superkomputer, IRIS. Sementara itu, penggodam Neonimus muncul semula untuk mencetuskan kekacauan terhadap MATA, menandakan konspirasi yang lebih besar di Cyberaya.
Sejak tayangannya di saluran televisyen Malaysia, TV3, pada tahun 2016, “Ejen Ali” telah disiarkan dan distrim di lebih 65 negara di Asia Tenggara, Timur Tengah dan Afrika Utara, benua India, serta Amerika Utara. Dua musim pertama siri ini diikuti dengan “Ejen Ali The Movie” pada November 2019, yang meraih kutipan box-office yang mengagumkan sebanyak RM30 juta (USD8 juta) di Malaysia, Singapura, Brunei, dan Indonesia, menjadikannya salah satu filem animasi dengan kutipan tertinggi di
Malaysia setakat ini. Bahagian terbaru, “Ejen Ali Season 3”, juga memegang gelaran sebagai harta intelek animasi Malaysia pertama yang diterbitkan bersama Disney+ Hotstar Asia Tenggara, dan pertama kali dilancarkan secara eksklusif di perkhidmatan penstriman tersebut pada Jun 2022.
Mengenai Primeworks Studios
Primeworks Studios adalah syarikat pengeluaran terkemuka di Asia Tenggara yang terlibat dalam perniagaan kandungan kreatif di setiap aspek rantaian media dalam pengeluaran TV dan filem, jualan kandungan, pengedaran dan pemasaran filem, animasi, kandungan berjenama, serta pelesenan dan peruncitan. Ia adalah syarikat kandungan yang memenangi pelbagai anugerah dan menghasilkan lebih daripada 3,000 jam kandungan menarik setiap tahun untuk pelbagai platform, termasuk televisyen, pawagam, dan digital. Rumah produksi ini adalah tenaga kreatif di sebalik pelbagai genre kandungan termasuk hiburan, animasi, majalah, dokumentari, sukan, dan drama.
Mengenai WAU Animation
WAU Animation adalah sebuah studio animasi CG yang ditubuhkan pada 18 Mac 2013 oleh sekumpulan bakat kreatif dengan pengalaman hingga 17 tahun dalam menghasilkan siri animasi CG dan filem cereka yang memenangi pelbagai anugerah. Di tengah-tengah WAU Animation adalah keinginan untuk mencipta animasi yang dapat menyentuh hati penonton. Kami bercita-cita untuk menceritakan kisah-kisah yang menakjubkan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga bermakna dan memberi inspirasi, sambil pada masa yang sama disuntik dengan elemen tempatan, kerana kami percaya kuat dalam menampilkan identiti Malaysia yang unik.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.