DEMAM KELUANG MAN KEMBALI MELANDA, CETUS NOSTALGIA, ADRENALIN & HUMOR

Friday, 23 May 2025

DEMAM KELUANG MAN KEMBALI MELANDA, CETUS NOSTALGIA, ADRENALIN & HUMOR | Permulaan Kepada Era Baharu Superhero Original Pertama Malaysia

Filem ikonik yang paling ditunggu-tunggu, KELUANG MAN, bersedia menemui penonton di 154 buah pawagam seluruh Malaysia dan Brunei bermula 29 Mei ini. Keluang Man mempersembahkan karya sinematik segar dan mengujakan, sekaligus menjadikan dia berbeza daripada superhero yang lain. Antara yang menjadi kekuatan naskhah ini adalah watak utama iaitu Keluang Man, di mana karakternya yang ‘gila-gila’, bersahaja, dan dipenuhi kejutan jenaka yang akan menghiburkan penonton. 


Menguatkan lagi intensiti jalan cerita, filem berdurasi 132 minit ini turut menggabungkan babak aksi mendebarkan, emosi, dan elemen tempatan. Ini sekali gus membentuk graf ‘mood’ tontonan penuh tenaga dan mampu menyuntik rasa bangga terhadap superhero original pertama Malaysia ini. Keluang Man juga menandakan permulaan bagi Astro Shaw Cinematic Universe. 

Filem ‘live-action’ Keluang Man merupakan adaptasi daripada siri animasi popular yang diperkenalkan pada akhir era 1990-an dan berjaya mencipta fenomena tersendiri serta menjadi kebanggaan Malaysia. Filem ini diterbitkan oleh penerbit terkemuka, Astro Shaw dengan kerjasama GSC, Idea River Run dan rakan strategik Wonda Kopi, serta produksi Pasal Productions.


Menampilkan pelakon hebat Nas Muammar Zar, Dato’ Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Anwaar Beg Moghal, Halim Othman, Amelia Henderson, Sham Sunder, dan Dennis Yin. Lebih mengujakan filem ini turut membariskan deretan kemunculan istimewa oleh Mierul Aiman, Nadhir Nasar, Fazzoq Muqris, Daniella Sya, Wahid Senario, Azlee Senario, Delimawati, A Galak, AG Hafiz, Razzuan Rosli,  dan ramai lagi. 

Keluang Man diarahkan oleh pencipta bersama trilogi filem Polis Evo, penulis Kahar : Kapla High Council serta merupakan pengarah dan showrunner drama premium popular Projek: High Council dan Projek: Anchor SPM, Anwari Ashraf yang turut bertindak sebagai penulis skrip. Naskhah ini menandakan kemunculan pertama Anwari sebagai pengarah filem. 


Penerbit Eksekutif Keluang Man merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Keluang Man adalah superhero original pertama Malaysia, dan kami sedar bahawa mengangkat semula IP ikonik ini ke layar perak hadir dengan tanggungjawab yang besar. Ini bukanlah sebuah ‘remake’, tetapi filem ini mengangkat semula ikon kebanggaan negara dengan sentuhan baru oleh pengarah Anwari Ashraf. 

Filem ini hadir dengan cabarannya yang tersendiri. Dengan harapan tinggi daripada peminat, kami melaksanakannya dengan sepenuh komitmen dan penghormatan terhadap watak ikonik yang menjadi sebahagian budaya pop tempatan. Kami mahu memastikan Keluang Man bukan sahaja kekal relevan untuk peminat setianya tetapi turut memberi impak mendalam kepada generasi baharu. 


Ini merupakan filem ‘postmoden’ pertama Malaysia. Menerusi Keluang Man, kami mempersembahkan sebuah dunia sinematik yang segar, kombinasi fantasi dan realiti yang belum pernah kita semua lihat. Penghasilan filem Keluang Man dari pre sehingga post produksi adalah melibatkan 100% daripada tenaga kreatif dari Malaysia. Lebih daripada 1,000 tenaga kreatif tempatan dari visual, audio, CGI, sehinggalah ke VFX, semuanya dibuat di tanah air kita sendiri. Kami yakin filem ini akan memberikan pengalaman hiburan dan keseronokan kepada penonton dan  membangkitkan rasa bangga terhadap supehero tempatan. Oleh itu, kami mengajak semua untuk menonton Keluang Man di pawagam dan ‘kita enjoi!” 


Pengarah Filem Keluang Man, Anwari Ashraf Hashim menyatakan, “Keluang Man adalah surat cinta kepada generasi yang membesar pada tahun 90an, satu generasi yang penuh semangat dan nilai yang masih relevan hingga ke hari ini. Saya yakin ramai yang menantikan untuk menyaksikan superhero original pertama Malaysia ini diangkat ke versi ‘live-action’. Saya dan seluruh pasukan produksi telah memberikan sepenuh komitmen dalam merealisasikan filem ini. Saya amat menghargai barisan kru, pelakon dan peminat karya ini yang mempercayai saya untuk mengemudi sepanjang proses filem ini. Filem ini bukan sekadar projek hiburan, tetapi merupakan usaha menghargai kepada warisan budaya pop Malaysia yang pernah mencorak zaman dan mencipta kenangan bersama. Saya mengharapkan penonton dapat menerima filem ini serta mampu menghidupkan semula semangat superhero Keluang Man seterusnya legasinya dapat diwariskan dari satu generasi ke generasi yang seterusnya.”

Filem Keluang Man mengisahkan Borhan, seorang pesakit di Hospital Tumpoi sering melarikan diri dari hospital di malam hari. Apabila sejarah lamanya menghantui, pesakit yang menghidapi ‘Dissociative Schizophrenia’ ini mula berniat membalas dendam, dan tanpa sengaja, Borhan membentuk identiti barunya sebagai seorang superhero, Keluang Man.


Pemilihan lagu-lagu ‘throwback’ menjadi salah satu elemen yang menceriakan lagi filem ini. Lagu tema asal Keluang Man dihidupkan semula dengan sentuhan moden melalui gandingan bertenaga Krisya dan S.O.G. Lebih menarik, filem ini turut menyajikan deretan lagu ikonik era 2000an seperti ‘Tragedi Oktober’, ‘Sha Na Na’, ‘Terhangat Di Pasaran’ dan banyak lagi. Hasilnya, pengalaman sinematik menjadi lebih ‘hidup’ dan penuh nostalgia, malah cukup kuat untuk membuatkan penonton menyanyi bersama. 

Tiket filem Keluang Man sudah boleh dibeli bermula 21 Mei di pawagam seluruh negara. Penonton juga boleh menjadi penonton terawal menyaksikan filem ini melalui ‘ sneak preview’ pada 28 Mei, iaitu satu hari awal sebelum tarikh tayangan rasmi filem.


Ikuti siri jelajah Keluang Man pada 31 Mei di Johor, 1 Jun di Melaka, 6, 7, 8 Jun di Perak, Penang, Kedah, 13, 14, 15 Jun di Terengganu dan Pahang, 20, 21, 22 Jun di Klang Valley.

Pelbagai kolaborasi kreatif dilakukan bagi memberikan pengalaman superhero original pertama Malaysia melangkaui layar. Antaranya kolaborasi’ Wonda Kopi Kluang’, ‘Wonda-ful Keluang Man Burger’, ‘Keluang Man WONDA Fun Run’, ‘Koleksi Premium Keluang Man Oleh Royal Selangor’, ‘Keluang Man dan Fung Keong’, ‘Keluang Man dan Abstrax’.  


Untuk maklumat lanjut boleh dapatkan info di platform media sosial TikTok, Instagram, X, Facebook akaun Astro Shaw dan Astro Gempak. Gunakan #KeluangMan #KeluangManMovie bagi berkongsi pendapat mahupun keterujaan anda tentang filem ini.  

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.