MISI DIAKTIFKAN: EJEN ALI KEMBALI BERAKSI!

Monday, 19 May 2025


Ejen Ali kembali beraksi, dan misinya kali ini lebih besar daripada sebelumnya! Merupakan satu detik bersejarah dalam dunia animasi tempatan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) muncul semula menggegarkan layar perak menerusi tayangan perdana yang berlangsung malam ini di IOI City Mall, Putrajaya. Setelah sekian lama dinantikan para peminat di dalam dan luar negara, filem ini membawa penonton menyelami semula dunia ejen muda kegemaran ramai menerusi sebuah pengalaman animasi 3D yang menakjubkan serta padat dengan aksi, pengembaraan, di samping penceritaan heroik yang sesuai untuk semua peringkat usia.


Bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 22 Mei 2025, filem ini menjanjikan aksi yang lebih hebat serta penceritaan yang lebih mendalam dan imersif. Sejak mula bersiaran di TV3 pada tahun 2016, Ejen Ali telah berkembang menjadi harta intelek (IP) yang diiktiraf di peringkat global, menembusi lebih 65 buah negara. Filem sulungnya pada tahun 2019 mencatat rekod cemerlang dengan kutipan melebihi RM30 juta (USD 8 juta) di pawagam dan platform digital, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam sejarah animasi tempatan. Kini, dengan gajet baharu, kemunculan semula watak-watak kegemaran ramai dan pembangunan dunia cerita yang lebih meluas, sekuel ini terus mencetuskan keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat dalam talian, sekali gus memperkukuh lagi kenyataan Ejen Ali sebagai kuasa besar animasi serantau.

Di kota futuristik Cyberaya, Ejen Ali The Movie 2 mengisahkan perjalanan Ali, seorang budak lelaki biasa yang secara tidak sengaja direkrut menyertai agensi perisikan rahsia, MATA. Ali terpilih sebagai perintis bagi sebuah misi berisiko tinggi di bawah SATRIA, program elit yang menggunakan sut berteknologi tinggi dengan bantuan kecerdasan buatan (AI). Namun, misi tersebut menjadi kompleks apabila Rizwan memohon bantuan Ali untuk menjejak dalang sebenar di sebalik siri ancaman yang menggugat keselamatan Cyberaya.



Pada masa sama, Neonimus, seorang penggodam misteri yang menyimpan dendam terhadap Ali, muncul kembali. Walaupun begitu, niat sebenar di sebalik tindakannya untuk mencetuskan kekacauan kekal menjadi tanda tanya. Dalam dunia penuh tipu muslihat dan bahaya, setiap keputusan yang diambil oleh Ali menjadi penentu, bukan hanya buat dirinya, malah masa depan seluruh kota Cyberaya.


Berkongsi semasa majlis tayangan perdana EATM2, Pn. Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, berkata, “Kami berasa sangat bangga apabila melihat Ejen Ali mencapai satu tahap yang hebat dengan pelancaran filem keduanya ini. Francais ini bukan sahaja menghiburkan di peringkat tempatan, malah menjadi bukti sebenar kepada kreativiti, semangat dan penceritaan Malaysia yang berjaya menambat hati penonton di serata dunia.”

En. Usamah Zaid Yasin, Pengarah Ejen Ali The Movie 2 merangkap Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, menyatakan rasa syukur dan penghargaan yang mendalam atas sokongan diberikan, “Perjalanan untuk menyiapkan Ejen Ali The Movie 2 bukanlah mudah, ia memerlukan usaha dan komitmen yang tinggi. Sejak perancangan filem ini diumumkan pada peringkat awal iaitu sebelum era pandemik, para peminat sudah tidak sabar menantikannya. Sokongan dan kesetiaan mereka amat kami hargai. Jadi, kami berharap filem ini dapat menyampaikan emosi dan keterujaan yang telah lama dinanti-nantikan.”


Elemen muzik memainkan peranan besar dalam memperkukuh kesan emosi dalam EATM2, dengan runut bunyi yang mengiringi detik-detik paling signifikan dalam filem ini. Dalam Ejen Ali The Movie 2, para peminat disajikan dengan barisan lagu yang menghidupkan lagi naratif, termasuk Hanya Kamu dendangan legenda Dato’ M. Nasir, Teman Sejati oleh band popular Indonesia Nidji, dan Penjuara daripada Hael Husaini. Setiap lagu hadir dengan nuansa tersendiri, menyuntik jiwa dan identiti unik ke dalam penceritaan, seiring dengan perkembangan watak serta momen-momen penting sepanjang filem.

Dibawakan khas oleh Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, tayangan perdana Ejen Ali The Movie 2 penuh meriah dengan gimik kejutan yang mencuri perhatian, membangkitkan sorakan penonton sebagai pembuka tirai. Malam tersebut turut diserikan dengan persembahan tarian bertenaga oleh penari-penari, diiringi runut bunyi Penjuara, yang menyuntik semangat kepada acara tersebut.


Sementara itu, lagu tema rasmi filem EATM2 Hanya Kamu, dinyanyikan secara langsung oleh Dato’ M. Nasir, menyentuh hati penonton dengan mesej kekuatan dan ketabahan yang dibawa. Menambah sentuhan nostalgia, lagu viral dari filem Ejen Ali pertama, Mamak Maju, membuat kemunculan semula yang mengejutkan melalui persembahan flash mob yang dinamik, menambahkan keceriaan dan keseronokan dalam majlis malam tersebut.

Menjelang tayangan rasmi Ejen Ali The Movie 2, keterujaan peminat semakin memuncak. Tayangan pratonton khas buat peminat Ejen Ali habis terjual di sembilan lokasi GSC dalam masa singkat, menunjukkan sokongan hebat daripada penonton di seluruh negara. Jualan tiket awal kini dibuka di lebih 70 pawagam, dan peminat digalakkan membuat tempahan awal terutama menjelang musim cuti sekolah. Sempena kemunculan semula filem ini, pelbagai barangan eksklusif turut ditawarkan, termasuk figurine tumblers SATRIA dan Ali edisi terhad, peranti IRIS interaktif, serta koleksi bucket popcorn yang menampilkan watak ikonik filem tersebut. Pelbagai item menarik lain akan diumumkan tidak lama lagi, jadi peminat disarankan untuk melaporkan diri ke pawagam terdekat dan lengkapkan koleksi Ejen Ali mereka.


Filem Aksi Animasi Mempesona, Meledakkan Emosi! 
Saksikan pengembaraan epik Ejen Ali The Movie 2 yang akan ditayangkan di pawagam mulai 22 Mei 2025! Filem animasi penuh aksi ini sesuai untuk semua peringkat umur dan pastinya bakal menyajikan pengalaman menonton yang mengujakan.

Ejen Ali The Movie 2 dibawakan oleh Primeworks Studios dan WAU Animation dengan kerjasama Komet Productions. Terus membakar semangat anda menjelang tayangannya dan sahut panggilan misi dengan menggunakan tanda pagar rasmi #EjenAliTheMovie2 di semua platform media sosial.

Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti perkembangan terkini, kandungan eksklusif, dan kemas kini di sebalik tabir menerusi saluran YouTube rasmi Ejen Ali serta akaun media sosial Primeworks Studios.Film.

#EjenAli #EjenAliTheMovie2 #EATM2 #AniMY 

************************

Mengenai Ejen Ali the Movie 2

Di bandar futuristik Cyberaya, “Ejen Ali the Movie 2” mengisahkan seorang budak lelaki yang secara tidak sengaja direkrut sebagai ejen rahsia  oleh agensi perisikan Meta Advance Tactical Agency (MATA). Ejen Ali bersemangat untuk membuktikan dirinya dalam Projek Satria, sut berperisai yang dibantu Kecerdasan Buatan (AI) terbaru MATA. Semasa Ali bergelut dengan tanggungjawab barunya untuk menguasai Satria, dia harus menerima keputusan MATA untuk memberikan rakan (dan saingannya) Alicia sebagai pemegang seterusnya peranti superkomputer, IRIS. Sementara itu, penggodam Neonimus muncul semula untuk mencetuskan kekacauan terhadap MATA, menandakan konspirasi yang lebih besar di Cyberaya.

Sejak tayangannya di saluran televisyen Malaysia, TV3, pada tahun 2016, “Ejen Ali” telah disiarkan dan distrim di lebih 65 negara di Asia Tenggara, Timur Tengah dan Afrika Utara, benua India, serta Amerika Utara. Dua musim pertama siri ini diikuti dengan “Ejen Ali The Movie” pada November 2019, yang meraih kutipan box-office yang mengagumkan sebanyak RM30 juta (USD8 juta) di Malaysia, Singapura, Brunei, dan Indonesia, menjadikannya salah satu filem animasi dengan kutipan tertinggi di 

Malaysia setakat ini. Bahagian terbaru, “Ejen Ali Season 3”, juga memegang gelaran sebagai harta intelek animasi Malaysia pertama yang diterbitkan bersama Disney+ Hotstar Asia Tenggara, dan pertama kali dilancarkan secara eksklusif di perkhidmatan penstriman tersebut pada Jun 2022.

Mengenai Primeworks Studios
Primeworks Studios adalah syarikat pengeluaran terkemuka di Asia Tenggara yang terlibat dalam perniagaan kandungan kreatif di setiap aspek rantaian media dalam pengeluaran TV dan filem, jualan kandungan, pengedaran dan pemasaran filem, animasi, kandungan berjenama, serta pelesenan dan peruncitan. Ia adalah syarikat kandungan yang memenangi pelbagai anugerah dan menghasilkan lebih daripada 3,000 jam kandungan menarik setiap tahun untuk pelbagai platform, termasuk televisyen, pawagam, dan digital. Rumah produksi ini adalah tenaga kreatif di sebalik pelbagai genre kandungan termasuk hiburan, animasi, majalah, dokumentari, sukan, dan drama.

Mengenai WAU Animation
WAU Animation adalah sebuah studio animasi CG yang ditubuhkan pada 18 Mac 2013 oleh sekumpulan bakat kreatif dengan pengalaman hingga 17 tahun dalam menghasilkan siri animasi CG dan filem cereka yang memenangi pelbagai anugerah. Di tengah-tengah WAU Animation adalah keinginan untuk mencipta animasi yang dapat menyentuh hati penonton. Kami bercita-cita untuk menceritakan kisah-kisah yang menakjubkan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga bermakna dan memberi inspirasi, sambil pada masa yang sama disuntik dengan elemen tempatan, kerana kami percaya kuat dalam menampilkan identiti Malaysia yang unik.

Tentang Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. (GBKL)
Gardenia (KL) ditubuhkan pada tahun 1986. Kini ia merupakan pengeluar roti terkemuka di Asia Tenggara. Setelah lebih dari 39 tahun, Gardenia mengendalikan lapan bakeri di Malaysia dan mengeluarkan 62 jenis produk setiap hari, termasuk pelbagai roti buku, roti ban, rol, kek, wafel, dan lain-lain produk seperti lepa dan mi kuning.

Setiap hari, Gardenia menghantar roti segar secara percuma kepada lebih daripada 80 organisasi kebajikan seperti rumah orang-orang tua, rumah anak yatim, pusat dan sekolah untuk orang berlainan upaya, lapan daripada institusi-institusi ini termasuk dalam senarai penghantaran Gardenia sejak tahun 1991.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.