“Berapa Harga Sebuah Maruah?” | EZZANIE JASNY BERANI TEROBOS SISI GELAP DALAM “NERAKA YANG TERHIJAB”
Kuala Lumpur, 3 Jun 2026 – Seorang anak perempuan yang terdesak. Seorang ibu yang uzur dan seorang bapa yang memusnahkan masa depan anak sendiri demi kepentingan peribadi. Itulah dunia Adda dalam Neraka Yang Terhijab, siri Tonton Originals terbaharu yang menyelami sisi gelap kehidupan apabila seorang anak sanggup mengorbankan dirinya demi keluarga.
Bakal bersiaran bermula 4 Jun 2026, setiap Khamis hingga Ahad, siri 20 episod ini menampilkan Ezzanie Jasny, Lorenzo Irman dan Arfie Shah di bawah arahan Azri Izhar serta nukilan Liza Nur. Mengangkat genre melodrama gelap dan realisme sosial, Neraka Yang Terhijab memaparkan realiti tekanan hidup, kemiskinan dan pilihan moral yang semakin kabur apabila seseorang dihimpit kesusahan.
Adda (Ezzanie Jasny) ialah seorang pelajar universiti yang berjuang meneruskan kehidupan selepas wang biasiswanya disalahgunakan oleh bapanya sendiri, Malik. Dengan keadaan kewangan keluarga yang semakin meruncing, Adda terpaksa bekerja keras untuk menampung keperluan mereka. Namun, semakin kuat dia berusaha, semakin dia terjerumus ke dalam sisi kehidupan yang lebih gelap.
Segalanya berubah apabila Adda diperkenalkan kepada “The Floor,” dunia elit yang dipenuhi kemewahan, pesta dan manusia berpengaruh. Pada awalnya dia menolak, namun tekanan hidup akhirnya membuatkan dirinya memilih untuk menjalani kehidupan berganda sebagai wanita peneman kelas atasan demi wang.
Dalam masa sama, Adda turut terperangkap dalam konflik dua beradik tiri, Annas (Lorenzo Irman) dan Zakwan (Arfie Shah). Ketika Zakwan menggunakan dirinya demi memusnahkan adiknya sendiri, Annas pula mula melihatnya sebagai lebih daripada sekadar perempuan yang dipergunakan. Namun dalam dunia yang dipenuhi rahsia dan kepalsuan, masih adakah ruang untuk mereka diselamatkan?
Bagi Ezzanie Jasny, Adda merupakan watak yang sarat dengan luka dan emosi. “Saya rasa Adda mewakili ramai orang yang hidup dalam keadaan terdesak sampai terpaksa buat pilihan yang mereka sendiri tak pernah bayangkan. Dia bukan perempuan jahat, dia cuma terlalu penat berjuang seorang diri. Itu yang buat watak ini sangat menyakitkan untuk dimainkan,” katanya.
Apabila wang menjadi taruhan untuk terus hidup, masih adakah ruang untuk Adda mencari dirinya semula? Saksikan Neraka Yang Terhijab mulai 4 Jun 2026, setiap Khamis hingga Ahad, eksklusif di Tonton.
Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti akaun rasmi Tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram @tontonmy.
Book Review | Kita Cuma Kawan, Kan? (2024)
Tuesday, 2 June 2026
“Awak kata suara saya macam itik tercekik?”
***
Yulia – kelam-kabut, tapi sibuk mahu menjadi hero untuk semua orang. Sanggup tinggalkan cita-cita dan memandu e-hailing demi menyara ibu dan adiknya — sebab dia saja boleh diharap.
Adam – penyanyi popular kontroversi yang lebih suka menyendiri; takut mahu rapat dengan orang. Kan lebih senang mencintai dari jauh? Tiada siapa kecewa.
Dunia mereka bertembung apabila Adam menjadi penumpang kereta Yulia. Namun telefon Adam tercicir dan hilang. Yulia yang masih cuba menjadi hero tak pasal-pasal pergi mencari sampai ke celah longkang.
Saat itu, barulah Yulia tersedar penyanyi yang dikutuk sebelum ini ialah Adam!
“Kalau awak pandai sangat bab muzik, awak takkan komen suara saya macam tu.”
Yulia cuba mengambil hati. Namun pantang bertemu, pasti Adam cari pasal. Semakin lama kenal, diam-diam, ada perasaan asing berputik dalam hati.
Yulia keliru. Adam takut berharap. Soalnya, adakah ia sesuatu yang pasti atau hanya mainan perasaan? Ini cinta, atau sekadar kawan?
Review:
Buku ketiga penulisan Auni Zainal yang I baca selepas Sekali Lagi (2018), Sedetik Lagi (2020) dan Mawaddah Ilmi Ingin Pulang (2021). Kali ni penulisan Auni Zainal lebih santai dan menghiburkan walaupun mempunyai tema dan konflik yang berat. Back-to-back I baca novel dengan kisah hidup yang menyedihkan cuma berbeza genre. Kalau Bintang Tanpa Nama (2024), I ambil masa setahun untuk habiskan, Kita Cuma Kawan, Kan? dalam sehari sahaja.
Mungkin sebab I berjiwa rom-com jadi mudahlah nak masuk dalam dunia Yulia dan Adam Adwa. Bahagian awal Kita Cuma Kawan, Kan? kita diperkenalkan dengan kesusahan dan kesengsaraan hidup Yulia bersama adiknya, Zarin. Walaupun hidup penuh ujian tapi bersyukur juga lah sebab Yulia ada strong support system.
Adam Adwa pula ada harta, populariti, bakat, pengaruh tapi hidup dia kosong dan penuh dengan dendam terhadap Laila Borhan. Sama dengan Yulia, dia ada Izhar, pengurus merangkap abang ipar dia. Kakak dia, Ayana pun tak pernah tinggalkan dia lepas habis belajar di London.
Dekat awal lagi penulis dah bagitahu ini kisah cinta tapi percintaan antara Yulia dengan Adam Adwa bermula di pertengahan cerita kemudian mempunyai jarak masa yang lama di mana kedua-duanya menghilang sebelum bertemu kembali.
Dalam Kita Cuma Kawan, Kan? ada banyak watak sampingan tapi tak semua ada ruang untuk kita berkenalan pun. Macam Kak Lang dan abang ipar Yulia yang muncul cuma untuk minta simpati Adam kemudian hilang. Kak Ngah pun hidup di awal novel dan kenapa dia sanggup bela biawak hidup dari keluarga sendiri tu tak diceritakan.
Suraya dan Ayana yang penting dalam hidup Adam pun tak lah dikembangkan sangat. Nak juga tahu sebesar mana impak Adam terhadap Suraya sampai dia sanggup tunggu Adam bertahun lamanya. Watak Amalina, kawan baik Yulia pun kejap ada, kejap tak ada. Datang bila Yulia perlukan dia sangat-sangat.
Teringin juga nak tahu kenapa anak Izhar, Haikal tu senang sangat mesra dengan Yulia padahal dengan orang lain langsung tak ada perasaan. Bila Haikal hilang dekat Zoo Negara tu pun tak tahu kenapa Yulia tergerak hati nak cari dekat situ. Ada something yang I terlepas ke? Banyak kan persoalan yang timbul? Sebab banyak sangat yang tak diceritakan supaya kita boleh connect dengan watak-watak yang ada padahal watak-watak ni mendukung watak utama.
Masa baca novel Kita Cuma Kawan, Kan? ni geram dengan perangai Izhar walaupun bersyukur dia yang bagi kerja dekat Yulia. Entah apa hak dia nak rendahkan Yulia sedangkan dia pun tahu Yulia pandai buat kerja. Dia ingat kalau Yulia tak cerdik, dia boleh ke buat semua benda dengan elok? Pengalaman dia jaga Fahmy dan keluarga yang buatkan Yulia credible untuk jaga Haikal. Merepek betul rendahkan orang sebab tak sambung belajar. Dia nak jaga anak pun tak lepas, ada hati nak sekolahkan Adam. Lahhh emo.
Genre novel Kita Cuma Kawan, Kan? adalah rom-com tapi bab romantik tu tak lah mendalam sangat sampai rasa beria nak happy ending. Perasaan Adam dan Yulia pun berlaku tiba-tiba, tahu-tahu jantung Adam dan berdebar bila jumpa Yulia. Tahu-tahu jantung Yulia pun berdebar juga bila berdiri dekat dengan Adam. Sama juga lah dengan Reza yang mengusik tak ada masalah untuk berkahwin dengan Yulia. Kalau Reza bukan saudara dan datang tepat pada masanya, I rasa okay je kalau Yulia dengan Reza.
Tapi elemen komedi memang menjadi lah walaupun lawak Yulia hambar kadang-kadang. Banyak kali tergelak dengan humor Yulia nak pula bila Zarin ada sekali. Dia punya clumsy tu sama dengan work bestie I, bijak tapi clumsy sampai tudung pun terbakar. Boleh imagine macam mana tong air boleh tergolek dekat studio Adam.
Walaupun ada 75 bab tapi pecahan setiap bab tu tak konsisten. 1 bab boleh ada dua helai atau boleh jadi 5 helai. Spacing dengan font pula besar, tak hairan lah kalau orang boleh join baca sekali. Fun je novel ni untuk bacaan santai.
1. Author +0.7, 2. Plot +0.5, 3. Genre +0.6, 4. Social Message +1, 5. Personal Thought +0.6 = 3.4/5
Bintang tanpa nama, barangkali begitulah kita dalam hidup seseorang. Bersinar dan wujud tetapi tidak didendang.
Terpulang — dan demikianlah Ilham dan Aya yang menjadi bintang sesama sendiri.
Di kota sederhana Kuantan, Aya menelusuri hari-harinya sebagai seorang peguam jenayah ditemani Ilham, lelaki yang pernah disukainya. Ilham, penyeduh kopi di kafe ‘Kita, Usai’ punya cerita tersendiri di sebalik senyumannya yang penuh tawa dan terkadang lara.
Sejak mereka bertemu kembali, fasa demi fasa ditempuhi dalam waktu yang singkat — kehilangan, kemaafan, persahabatan, kekeluargaan dan cerita silam yang sentiasa melingkari hidup mereka berdua.
Siapakah yang akan menyakiti dirinya sendiri? Aya atau Ilham? Entahlah, mungkin kamu juga. Orang yang sering membuka ruang untuk disakiti.
Review:
Berlatarkan bandar Kuantan dan kawasan sekitarnya, dua watak utama – Aya dan Ilham menjalani kehidupan dewasa. Aya Sophia berpindah sementara ke Kuantan untuk membantu kes-kes guaman jenayah di firma Tetuan Sean Alif & Jo.
Seronok baca perjalanan karier Aya di firma ni bersama Mr. Jo yang tegas. Kalau Aya cuak kena berjumpa dengan Mr. Jo, I pun rasa cuak sekali sebab penulis ceritakan tentang personaliti watak dengan baik.
Memandangkan I pun kerja dekat firma guaman, semua yang diterangkan dalam novel Bintang Tanpa Nama terasa mudah difahami lah walaupun cuma sedikit dan general. Kalau mendalam pun, nanti pembaca mudah bosan juga.
Rasanya penulis lebih kenal cara kerja peguam jenayah dari IT analyst, pekerjaan hakiki Ilham sebab mudah sangat lupa dia kerja apa selain bekerja di kafe Kita, Usai. Lagipun penceritaan novel Bintang Tanpa Nama dari perspektif Aya Sophia. Ilham pula introvert, tak banyak lah boleh tahu perihal diri dia.
Sembang pasal introvert, walaupun penceritaan Bintang Tanpa Nama yang bersilih ganti antara masa lalu dan masa sekarang, penulis guna pace yang perlahan. Perjalanan Aya dan Ilham nak bergerak ke peringkat seterusnya tu terasa lambat sangat. Sebagai extrovert, I rasa mengantuk bila baca. Nak habiskan novel ni pun ambil masa sampai setahun. Kuantan sebagai latar tempat pun membosankan mungkin sebab I dah terbiasa hidup di bandar.
Mungkin novel Bintang Tanpa Nama bukan my cup of tea sebab penceritaan dan bait kata yang dimasukkan lebih berseni dan berjiwa. Pilihan lagu yang digunakan pun lagu indie. Fiersa Besari, Fourtwnty, The Impatient Sisters, Sigma dan banyak lagi semua bukanlah lagu atau penyanyi yang ada dalam playlist I.
Walaupun penulis masukkan tentang domestic violence dan pengabaian Abi terhadap Aya tapi semua sub-plot dan konflik ni tak lah diberikan fokus sangat cuma penulis masukkan untuk ceritakan punca kepada hilangnya jiwa Ilham dan Aya. Penulis lebih fokus pada kesannya pada Ilham dan Aya yang dewasa. It’s a good thing lah sebab benda macam ni boleh trigger pembaca.
Novel Bintang Tanpa Nama tak mempunyai watak yang ramai jadi mudah sangat setiap watak baik utama mahupun sampingan melekat dalam kepala. Tinggal lama pun I boleh recall setiap watak dan personaliti masing-masing.
Tak sangka betul Aya dengan Ilham boleh ada kawan baik extrovert macam Nia dan Seth. Jarang jumpa cerita cinta yang ada pasangan sama jenis. Introvert dengan introvert and vice versa. But no wonder lah Ilham rapat dengan Seth walaupun perangai dia masuk air sebab bila ada deep conversation, cara dia matang. Sama macam apa yang Nia nampak.
‘Biasanya, kita tak tahu ‘apa yang kita nak’ sebab kita tahu apa yang ‘kita dah ada’ dan apa yang kita perlu ada. Dia macam… kita tak boleh nak sort out things because there’s so many, so dia jadi serabut kat situ.’ - Seth
Bila dah habis baca novel Bintang Tanpa Nama, rasa puas lah Aya dah jumpa kebahagiaan yang dicari sebab sakit hati baca perangai Ilham yang suka hilang. Mungkin kawan-kawan dia dah biasa tapi untuk buat macam tu dekat Aya, ngeri. Ilham kesian tengok ibu dia kena dera dengan ayah dia tapi tak sedar yang dia pun kejam juga.
"Safe space, Aya. I want to be your safe space, I am your safe space. This ... is your safe space, setiap masa. Tolonglah, rasa selamat selalu dengan saya." – Ilham
Sama macam Nia dan Seth, kita rasa Ilham dan Aya sepadan sebab kita baca fasa comel yang Aya ceritakan tapi bila tahu situasi sebenar, tak ada siapa pun yang sanggup. Ada yang kata Bintang Tanpa Nama sama macam perjalanan Twenty-Five Twenty-One (2022) tapi sebenarnya tak pun. I harap Ilham dapat balasan dan karma dari perbuatan dia.
1. Author +1, 2. Plot +0.7, 3. Genre +1, 4. Social Message +1, 5. Personal Thought +0.6 = 4.3/5
Kuala Lumpur, 1 Jun 2026 – Filem seram tempatan Polong terus mencipta fenomena apabila berjaya meraih kutipan RM5.5 juta dalam tempoh hanya empat hari tayangan. Pencapaian luar biasa ini sekali gus membuktikan bahawa filem seram Malaysia masih mempunyai tempat istimewa di hati penonton dan mampu berdiri setanding dengan karya-karya terbaik di pasaran.
Sejak mula ditayangkan pada 28 Mei lalu, Polong bukan sahaja menarik perhatian peminat filem seram tempatan, malah turut mencetuskan perbualan hangat di media sosial menerusi pelbagai reaksi penonton yang berkongsi pengalaman mereka berdepan dengan ketegangan dan kejutan yang disajikan sepanjang filem berlangsung.
Kejayaan filem ini turut disokong oleh reaksi positif daripada pengulas dan pencipta kandungan yang telah menyaksikan sendiri naskhah tersebut. “Banyak benda yang power gila dalam filem ni,” ujar Movizzy Channel dalam ulasan mereka mengenai Polong.
Manakala pengulas filem Zakariah Yusoff menyifatkan Polong sebagai “filem horror yang sangat-sangat berjaya”.
Diarahkan oleh Zulkarnain Azhar dan diterbitkan oleh Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB) dengan sokongan pengedaran oleh 10 Star Cinemas Sdn Bhd serta kerjasama pemasaran Primeworks Studios dan Astro Shaw, Polong menampilkan barisan pelakon hebat seperti Mimi Lana, Jun Lojong, Fad Anuar, Namron, Nadiya Nisaa, Amir Nafis dan ramai lagi.
Mengangkat kisah legasi ilmu hitam, dosa silam dan sumpahan yang merentasi generasi, Polong mengisahkan Fatima, seorang wartawan bercita-cita tinggi yang tanpa sengaja membongkar kisah lampau seorang bomoh wanita bersiri, Maria Hadi. Pencarian tersebut akhirnya membawa kepada kebangkitan satu kuasa gelap yang selama ini cuba disembunyikan.
Gabungan elemen seram tradisional tempatan, naratif psikologi yang mendalam serta aspek teknikal yang mantap menjadikan Polong lebih daripada sekadar sebuah filem seram biasa. Kekuatan penceritaan, visual sinematik dan reka bentuk bunyi yang mencengkam berjaya memberikan pengalaman menonton yang meninggalkan kesan kepada penonton.
Lebih membanggakan, pencapaian RM5.5 juta dalam tempoh empat hari ini hadir hasil sokongan luar biasa rakyat Malaysia yang terus memilih karya tempatan sebagai hiburan utama sepanjang musim cuti sekolah dan cuti umum yang lalu.
Fenomena Polong membuktikan bahawa apabila sesebuah karya tempatan dihasilkan dengan kualiti, keberanian dan identiti tersendiri, ia mampu menarik perhatian khalayak serta bersaing dengan filem-filem antarabangsa di pawagam.
Terima kasih rakyat Malaysia kerana terus memilih Polong sebagai filem pilihan anda.
Kuala Lumpur, 1 Jun 2026 – Stesen televisyen nombor satu negara, TV3, meraikan ulang tahun ke-42 dengan tema “Hanya Yang Fenomena Di Sini,” mencerminkan legasinya sebagai rumah drama tanah air yang telah mencorakkan landskap hiburan tempatan dan menjadi pilihan penonton Malaysia selama lebih empat dekad.
Sejak penubuhannya, TV3 telah memperkenalkan pelbagai karya yang mencetus fenomena dan menjadi sebahagian daripada memori penonton merentasi generasi. Selain melahirkan ramai individu yang kini menjadi antara nama besar industri, TV3 terus menjadi pilihan penonton menerusi pelbagai karya yang dekat dengan kehidupan masyarakat, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai rumah drama tanah air.
Relevansi TV3 sebagai rumah drama tanah air terus terserlah menerusi keupayaannya berkembang seiring perubahan tabiat tontonan penonton. Selain drama-drama bersiri yang menjadi kegemaran ramai, TV3 turut mencipta kejayaan menerusi drama bersiri mikro yang meraih lebih 200 juta capaian di media sosial. Kejayaan ini semestinya menambah keterujaan penonton untuk menyaksikan pelbagai drama baharu yang bakal menghiasi slot TV3 pada separuh kedua tahun 2026, termasuk Yes! Captain Zul Aaryan, Anom Suraya, Jiwa Seorang Pentaksub, Neraka Yang Terhijab, Luka Di Hujung Setia dan drama bersiri mikro Offside Husband.
Menurut Puan Farah Shamsudin, Pemangku Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian TV & Kandungan Media Prima, tagline “Hanya Yang Fenomena Di Sini” melambangkan komitmen TV3 dalam membawakan kandungan terbaik yang sentiasa memberi impak dan menjadi pilihan penonton.
“TV3 bukan sekadar platform hiburan, tetapi juga ‘rumah pertama’ yang melahirkan ramai pelakon, pengarah dan penulis skrip yang hari ini menjadi nama besar industri seni tanah air. Daripada mencungkil bakat baharu hingga mencipta ikon industri, TV3 sentiasa komited dalam mengangkat karya tempatan ke tahap yang lebih membanggakan,” katanya.
Sempena sambutan ulang tahun ke-42 ini, TV3 meraikannya bersama para peminat menerusi pelbagai aktiviti istimewa di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 bersama barisan bintang drama TV3 dan personaliti Media Prima.
Antara yang mencuri perhatian ialah pelancaran rasmi dua siri drama terbaharu, drama Akasia, Yes! Captain Zul Aaryan dan drama Lestary, Anom Suraya yang bakal bersiaran pada Julai ini. Pengunjung turut berpeluang menjadi antara yang terawal menyaksikan tayangan eksklusif trailer kedua-dua drama tersebut, selain bertemu para pelakon, pengarah dan penulis novel menerusi sesi meet & greet serta autograf.
























