PENGARAH FILEM PECAH PANGGUNG CHIU KENG GUAN KEMBALI DENGAN FILEM TERBARU BAGI TAHUN BARU CINA 2023 |

Friday 6 May 2022

PENGARAH FILEM PECAH PANGGUNG CHIU KENG GUAN KEMBALI DENGAN FILEM TERBARU BAGI TAHUN BARU CINA 2023 | “Bersempena Hari Ibu, Astro Shaw Umumkan ‘Ma, I Love You’ Taruhan Pertama Chiu Keng Guan Dalam Mengangkat Pengorbanan Ibu” 

Bersempena Hari Ibu pihak penerbit Astro Shaw mengumumkan, pengarah prolifik yang amat dikenali dengan sentuhan magis dalam genre drama dan kekeluargaan ini bakal muncul dengan filem tempatan terbaru selepas 5 tahun mengukir nama di luar negara dan dijangka menemui penonton Malaysia pada perayaan Tahun Baru Cina tahun 2023 nanti. Menariknya, filem yang diberi tajuk Ma, I Love You ini memperlihatkan Chiu Keng Guan bakal mengangkat dan mempertaruhkan buat pertama kali subjek hubungan seorang ibu dan anaknya dan berharap mampu menyentuh perasaan penonton Malaysia sekali lagi dengan elemen kasih sayang ibu. 

Filem Ma, I Love You yang diterbitkan oleh Astro Shaw ini bakal menjalani sesi penggambaran pada bulan September ini. Pihak produksi kini dalam sesi pencarian bakat baru pelakon dan buat mereka yang berminat boleh menghantar video lakonan mereka.  Audisi terbuka ini untuk watak utama lelaki dan wanita, remaja dalam lingkungan umur 17 hingga 18 tahun. Sediakan gambar: penuh, mug shot berserta gambar kasual. Kongsikan juga dua video rakaman (boleh di ambil menggunakan kamera telefon) : 1. Video pengenalan diri (2 minit), 2. Video  berkaitan hubungan anda bersama ibu serta pengalaman yang tidak anda boleh lupakan bersama ibu dan persamaan personaliti anda dan ibu anda (durasi 2-3 minit). Kemudian memuat naik video berkenaan di YouTube (Unlisted) dan hantarkan link tersebut ke NewMovie@chiu.my sebelum 6 Jun 2022.  

‘Ma, I Love You’ mengetengahkan kisah menyentuh perasaan yang menumpukan tentang cabaran hubungan ibu dan anak yang hidup bersama. Bila tiba satu masa, setiap ibu bapa harus melepaskan anak mereka untuk menempuhi kehidupan mereka sendiri. 
 
Pengarah Chiu Keng Guan berkata, “Saya rasa amat teruja untuk kembali beraksi menghasilkan filem tempatan. Saya telah mengkaji kisah-kisah hubungan ibu dan anak sejak beberapa tahun yang lalu dan saya mendapati banyak momen dan detik menarik serta menyentuh perasaan. Jadi, kali ini saya ingin menghasilkan sebuah filem yang relevan dan amat dekat dengan generasi dan masyarakat sekarang. Saya harap pada Tahun Baharu Cina akan datang, filem ini mampu mengembalikan penonton ke pawagam untuk merasai gelak tawa, kegembiraan dan detik berharga bersama keluarga mahupun rakan-rakan.”

Sementara itu Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan, “Selaku penerbit, Astro Shaw telah bersama-sama Chiu Keng Guan sejak filem arahan pertamanya lagi pada tahun 2010; dan apabila terlibat sekali lagi sebagai salah satu penerbit untuk filem Ma, I Love You tentunya kami rasa amat berbesar hati kerana sekali lagi dapat bekerjasama dengan bakat hebat tanah air ini. Bersempena Hari Ibu ini, kami yakin ini adalah waktu yang sesuai untuk mengumumkan kehadiran filem Ma, I Love You yang mengangkat kisah pengorbanan seorang ibu yang akan menemui penonton di pawagam pada Tahun Baru Cina kelak dan kami harap berita baik ini dapat menyuntik keterujaan penggemar filem tempatan untuk menyaksikan karya terbaik di layar perak.”

Pengarah Malaysia yang cukup disegani ramai dan digelar sebagai ‘The King of Malaysian Movies’ seperti petikan media South East Asian Globe, Chiu Keng Guan sering berjaya mencetuskan fenomena luar biasa menerusi karya-karya arahannya, dan lebih mengagumkan sentuhannya berjaya menyentuh perasaan penonton Malaysia tanpa mengira bangsa dan umur. Ini terbukti dengan karya terbaiknya, OlaBola (2016) yang telah mengukir kejayaan terbesar buat filem Malaysia dan membangkitkan semangat perpaduan yang sangat tinggi dan nilai patriotisme di samping menjadi bualan sepanjang masa. Bukan itu sahaja, filem The Journey (2014) oleh sutradara ini telah menjadi filem pertama dalam sejarah perfileman Malaysia yang menembusi kutipan tertinggi sebanyak RM17.28 juta serta mendapat pengiktirafan meluas. 

Tambah membanggakan, bakatnya dalam pengarahan turut menerima pujian di peringkat antarabangsa apabila beliau melebarkan sayapnya ke tahap lebih tinggi dengan membawa nama Malaysia dengan mengarahkan sebuah filem internasional yang mengangkat pengorbanan hubungan seorang ayah demi seorang anak iaitu bertajuk On your Mark di negara China. Kutipan positif di hari pertama filem tersebut ditayangkan juga telah meletakkan ia di tangga no 1 carta filem di China ketika itu.  

Ikuti info dan klip terkini tentang filem ‘Ma, I Love You’ menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw dan Astro Gempak.

TRIVIA PENGARAH CHIU KENG GUAN & FILEM ARAHAN BELIAU


1. Melanjutkan pengajian di kolej SAITO dan kemudian di Kuala Lumpur College of Art, jurusan Seni Reka dan Seni Lukis. Beliau juga menamatkan pengajian dalam jurusan Pengarahan Filem di Beijing Film Academy di China pada tahun 1998. Memulakan karier dalam industri seni menerusi suntingan filem, kemudian kembangkan bakatnya dalam pengarahan drama siri, muzik video dan komersial TV.

2. Chiu Keng Guan sertai Astro pada tahun 2007 dan telah menghasilkan pelbagai konten berkualiti tinggi untuk format TV; ia juga memberi peluang buatnya untuk lebih memahami jiwa dan emosi penonton, sekali gus memperkukuhkan bakatnya dalam menghasilkan karya yang mampu menarik perhatian serta hati masyarakat Malaysia. 

3. Antara kejayaan dan pencapaian filem-filem Chiu Keng Guan:

I. Woohoo! (2010)

i. Pecah rekod box office bagi filem Malaysia berbahasa Cina dengan meraih kutipan RM4.2 juta pada tahun 2009. 

ii. Tersenarai dalam top filem di Osaka Asian Film Festival (2010)

iii. Mendapat Anugerah Khas Juri di Festival Filem Malaysia 2010 

II. Great Day (2011)

i. Meraih kutipan paling tinggi bagi filem Malaysia berbasa Cina, dengan RM6.5 juta dalam tempoh 8 minggu.

ii. Merentasi festival filem : 12th San Diego Asian Film Festival (2011), 35th Sao Paulo International Film Festival (2011), 9th World Film Festival of Bangkok (2012), Thailand Hua Hin Film Festival (2012), 14th Seoul International Youth Film Festival (2012) dan Armenian 9th International Film Festival for Children and Young People (2013).

iii. Dinobatkan sebagai Filem Bukan Di Dalam Bahasa Melayu Terbaik di Festival Filem Malaysia 2011, Pengarah Terbaik di Golden Wau Awards, “SIYFF Sonagi Awards” di Seoul Internation Youth Film Festival.

III. The Journey (2014)

i. Filem no. 1 Malaysia berbahasa Cina dengan kutipan tertinggi pecah panggung RM17.28. 

ii. Merentasi festival filem : Tayangan Perdana – Taiwan Tao Yuan Film Festival 2013, “Beijing Film Panorama” of the 4th Beijing International Film Festival, Tayangan Perdana di European – 16th Udine Far East Film Festival 2014, 17th Shanghai International Film Festival for Panorama 2014, 12th World Film Festival of Bangkok 2014, “Kid’s Eye” bagi segmen 17th Seoul International Youth Film Festival 2015, “Feature Film Competition” bagi segmen 2016 Winter Film Awards Independent Film Festival.

iii. Menerima anugerah “Pencapaian Cemerlang Seni dan Hiburan” dalam Malaysia Book of Records (MBR) untuk koleksi box office tertinggi sepanjang masa. Memenangi anugerah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Terbaik dan Sinematografi Terbaik di Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2014. Serta diiktiraf sebagai pemenang Filem Box Office, Sinematografi Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Filem Bukan Di Dalam Bahasa Melayu Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 27. 

IV. OlaBola (2016)

i. Filem ke-12 dengan kutipan pecah panggung paling tinggi di Malaysia, RM16.6 juta.

ii. Merentasi festival filem : Tayangan Perdana di Taiwan – “Golden Horse Fantastic Film Festival 2016 “ dan menjadi filem Malaysia pertama yang menembusi festival tersebut, Tayangan Perdana di European – 18th Udine Far East Film Festival 2016, Tayangan Perdana di China - 19th Shanghai International Film Festival untuk Panorama 2016,  menerima 14 pencalonan di Festival Filem Malaysia ke-28, tercalon dalam kategori Xi’an 3rd Silk Road International Film Festival 2016. 

iii. Menerima anugerah Busana Terbaik, Muzik Skor Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Anugerah Khas Juri di Festival Filem Malaysia ke-28. Memenangi anugerah Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2016. Memenangi Lagu Tema Terbaik di 53rd Golden Horse Award 2016. Dan dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pembuat Filem Cemerlang Malaysia 2016 di Chinese Film Association of Malaysia. 

V. Think Big Big (2018)

i. Filem dengan kutipan tertinggi bagi filem berbahasa Cina bagi tahun 2018 dengan RM5.5 juta box office. 

ii. Merentasi festival : Tayangan Perdana di Jepun –13th Osaka Asian Film Festival 2018, bagi segmen “New Action from South East Asia”. Tercalon dalam Festival Filem Malaysia ke-30 tahun 2019 menerusi kategori Kesan Khas Terbaik, Muzik Skor Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. 

VI. On Your Mark (2021)

i. Filem arahan pertama Chiu Keng Guan di negara China. 

ii. Tajuk asal di China adalah “The Great Dad” atau “Liao Bu Qi de Lao Ba”.

iii. Berjaya duduki tangga no 1 carta filem di negara China pada hari pertama tayangan. 

iv. Meraih kutipan sebanyak RMB 148juta bersamaan anggaran lebih RM 98 juta. 

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.