MALAYSIA, JAUHI PRASANGKA PASTI ADA JAWAPANNYA

Wednesday 18 May 2022

MALAYSIA, JAUHI PRASANGKA PASTI ADA JAWAPANNYA | ‘Mystery Ranking Show Malaysia’ bakal membuat para penonton berdebat serta meneka tanpa henti bersama panel selebriti setiap minggu.

Sudah pastinya satu Malaysia gamat dengan rancangan game show  terkini yang bakal mewarnai setiap Jumaat dengan adaptasi rancangan popular dari Korea Selatan yang berjudul ‘Mystery Ranking Show Malaysia’. 

‘Mystery Ranking Show Malaysia’ bakal menyajikan kelainan daripada program-program tersedia ada dengan pembabitan artis-artis terkemuka serta peserta-peserta dengan pelbagai aksi yang pasti mencuit hati. ‘Mystery Ranking Show Malaysia’ akan bermula siaran pada 20 Mei 2022 pada jam 9 malam di Astro Warna (107) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang lebih fleksibel.

FORMAT DAN KONSEP ‘Mystery Ranking Show Malaysia’

Rancangan ini berasal dari Korea Selatan dan telah diadaptasi di beberapa buah negara termasuk Vietnam dan Thailand. Malaysia merupakan negara ketiga yang melakukannya. Rancangan game show ini membabitkan lima orang peserta bersaing setiap minggu berdasarkan tema yang ditetapkan. Kesemua mereka mempunyai bakat atau elemen yang serupa namun mempunyai kedudukan berbeza berdasarkan kemampuan mereka. 

Keunikan rancangan ini turut melihat variasi kebolehan atau skil yang tidak semestinya tertumpu terhadap bidang hiburan. Kelima-lima peserta akan menunjukkan pelbagai jenis kebolehan mereka di hadapan panel pembongkar. Para pembongkar atau panelis kemudiannya akan bertanyakan soalan untuk mendapatkan jawapan atau petunjuk berdasarkan tema mingguan demi menetapkan kedudukan mereka. Panel pembongkar hanya diberi dua peluang untuk meneka kedudukan mereka. Jika tekaan salah, ketua mingguan panelis akan didenda. 

Panel Pembongkar

Setiap panel pembongkar misteri mempunyai kemampuan mental untuk bermain serta mempunyai personaliti berbeza. Kepelbagaian dalam personaliti mereka akan mencetus sesi debat yang menarik. Oleh itu, empat selebriti tanah air telah dipilih dan mereka terdiri daripada: 


Adlin Aman Ramlie- Dikenali dengan mulut lasernya dan lawak pedas, Adlin mempunyai keyakinan yang tinggi namun seringkali kekurangan maklumat untuk menilai dan meneka para peserta. 


Catriona Ross- Bakal membawa personaliti Kak Kek, Catriona pasti akan menggorek segala informasi daripada para pencabar dengan pesona Kelantannya. 


Azad Jasmin- Membawa elemen Mamaknya dengan penuh bergaya, Azad sudah semestinya tidak takut untuk mencabar para pencabar misteri demi mendapatkan kebenaran. 


Zulin Aziz - Panelis yang paling cool dan santai dalam soal siasatnya, Zulin akan memastikan semua data atau maklumat dicatat untuk digunakan dalam penilaian pada penghujung episod. 

Untuk setiap episod, ‘Mystery Ranking Show Malaysia’ akan memaparkan panelis kelima. Para selebriti yang dipilih adalah berdasarkan tema mingguan. Mereka terdiri daripada: 

1. Mawi
2. Shila Amzah
3. Mimi Fly & Sophia Liana
4. Dato’ AC Mizal
5. Ella
6. Shiha Zikir
7. Atu Zero
8. Norman Hakim
9. Didie Alias
10. Ieda Moin
11. Norreen Iman

Pencabar Misteri

Pencabar misteri digunakan untuk melabel para peserta yang akan dinilai kedudukan mereka. Mereka akan mencabar para panelis dan para penonton untuk meneka kedudukan mereka berdasarkan soal jawab serta persembahan yang diberikan. Identiti mereka dirahsiakan untuk mengelak para penonton di rumah mencari informasi di Internet ketika episod-episod bersiaran. 

Episod-Episod ‘Mystery Ranking Show Malaysia’ 

Ep. 1 - Penyanyi Paling Banyak Menang Pertandingan 
Ep. 2 - Siapa Paling Banyak Bertutur Pelbagai Bahasa
Ep. 3 - Penari Paling Banyak Menang Pertandingan
Ep. 4 - Pasangan Paling Lama Berkahwin
Ep. 5 - Siapa Paling Ramai Bekas Teman Wanita
Ep. 6 - Siapa Paling Banyak Sertai Ujibakat 
Ep. 7 - Siapa Paling Banyak Menang Pertandingan Seni Bela Diri
Ep. 8 - Siapa Paling Kuat
Ep. 9 - Siapa Paling Banyak Mampu Meniru Suara 
Ep. 10 - Siapa Paling Banyak Turun Berat Badan 
Ep. 11 - Tangan Siapa Paling Tangkas


KENYATAAN RASMI WAKIL ASTRO

Norzeha Mohd Salleh - Pengurus Saluran Astro Warna

“Melihat kepada sukses program seperti ‘The Masked Singer Malaysia’, kami telah mengenal pasti terdapat satu elemen yang signifikan di kalangan penonton di Malaysia. Mereka menggemari rancangan yang interaktif atau mempunyai elemen permainan yang membolehkan mereka bermain atau meneka bersama para juri. Lantas kami membuat keputusan untuk meneruskan genre rancangan seperti ini ke udara yang mampu menarik minat para penonton untuk bermain. 

Menerusi rancangan ‘Mystery Ranking Show Malaysia’, formatnya kena dengan apa yang kami mahukan. Rancangan yang menonjolkan bakat-bakat berbeza juga sudah lama tidak bersiaran. Kami rasakan masanya telah tiba untuk memaparkan genre rancangan seperti ini kembali. 

Format rancangan ‘Mystery Ranking Show Malaysia’ membenarkan kami untuk menonjol pelbagai jenis bakat daripada setiap lapisan masyarakat. Diversiti inilah yang kami mahukan. Peserta-peserta kami ada yang boleh menyanyi, menari, membaca sajak, melakukan persembahan silap mata dan macam-macam lagi. Para peserta kami tetap bersemangat untuk membuat persembahan demi menghiburkan para penonton di Astro walaupun ada di antara persembahan yang dilakukan bukanlah kebolehan sebenar mereka. 

Melihat kepada kandungan-kandungan yang tersedia ada, Astro Warna amat dikenali dengan komedi berbentuk sketsa seperti ‘Sepahtu Reunion Live’ dan ‘Maharaja Lawak Mega’. Untuk membawa pengalaman tontonan baharu kepada para penonton, kami memperkasakan lagi kandungan dengan membawa pelbagai variasi program berunsurkan komedi. ‘Mystery Ranking Show Malaysia’ membuka peluang tersebut. Para penonton pasti tercuit hati dengan ragam dan telatah barisan panel kami serta para peserta pula pasti akan mengagumkan mahupun membawa gelak ketawa menerusi persembahan mereka. Jika anda suka Masked Singer Malaysia, anda pasti akan suka juga Mystery Ranking Show Malaysia!

Kami berharap agar para penonton di platform Astro akan terhibur bersama keluarga pada setiap hari Jumaat di saluran Astro Warna. Masa bersama keluarga pasti lebih menyeronokkan dengan ‘Mystery Ranking Show Malaysia’!” 

Untuk maklumat lanjut, layari media sosial Instagram dan Facebook Astro.

1 comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.