Drama Baharu Slot Tiara Perkasakan Watak Wanita

Tuesday 15 March 2022

Drama bersiri ‘Dendam Seorang Isteri’ yakni hasil terbitan Radius One Sdn. Bhd. memaparkan elemen women empowerment dengan tunjang penceritaan berlandaskan kisah seorang wanita yang dikhianati bangkit untuk membalas dendam terhadap pelakunya.Kekuatan naratif watak utama pastinya bakal merubah penceritaan stereotaip wanita yang sering kali dijadikan mangsa keadaan dan bergantung harap terhadap watak-watak lelaki untuk diselamatkan. 

Penceritaan menerusi 80 episod ini mengisahkan Amira seorang isteri yang taat kepada seorang suami playboy bernama Harris. Dalam pergolakan rumah tangga mereka termasuk campur tangan ibu mertua, Amira menjadi mangsa khianat oleh kekasih suaminya, Kirana. Bermulalah rancangan Harris dan Kirana untuk membunuh Amira yang sebenarnya sedang mengandung. 

Adakah plot yang dirancang berjaya ataupun bakal berpaling tadah dengan kehadiran Neelisa? 
Drama yang memperkasakan watak wanita ini mengangkat dua orang pelakon wanita hebat yakni Fasha Sandha sebagai Amira/Neelisa dan Nad Zainal sebagai Kirana yang bakal menarik perhatian para penonton terutamanya golongan wanita moden dan berkerjaya. 

Drama ‘Dendam Seorang Isteri’ merupakan arahan sutradara-sutradara muda yang berbakat besar, Nizam Zakaria dan Uchee Fukada serta turut didukung oleh barisan pelakon hebat seperti Wan Raja, Aidit Noh, Roy Azman, Ziema Dina dan Dian P.Ramlee. 


Drama ‘Dendam Seorang Isteri’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 21 Mac 2022 secara eksklusif di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi On Demand dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang lebih fleksibel.

“Women empowerment menjadi nadi kepada drama terbaharu kami, ‘Dendam Seorang Isteri’ dengan gandingan mantap dua orang pelakon wanita versatil dan hebat iaitu Fasha Sandha dan Nad Zainal. Astro sekali lagi memperkasakan watak-watak wanita menerusi slot-slot drama yang ada. 

Sebagai destinasi drama terunggul di Malaysia, kami menguar-uarkan nukilan yang berkisarkan kekuatan wanita dalam menempuhi cabaran hidup yang ada. Walaupun drama ini merupakan sebuah adaptasi daripada drama terbitan di Korea berjudul ‘Temptation of Wife’, penceritaan berunsurkan women empowerment amat menepati cita rasa para penonton masa kini di Malaysia. 

Drama ini turut menguji kebolehan lakonan Fasha dan Nad. Mereka sekaligus membuktikan kemampuan sebagai pelakon dramatis yang amat disegani. Sememangnya ramai akan kagum dengan penguasaan dan penghayatan mereka yang begitu berkesan. Mewakili pihak Astro, saya berharap agar para penonton bukan sahaja terhibur malah mendapat inspirasi dengan tema kekuatan kaum wanita yang ada pada drama yang bakal menyerikan slot Tiara kami.” - Norzeha Mohd Salleh, Pengurus Saluran Astro Prima


“Drama ‘Dendam Seorang Isteri’ ini adalah drama yang saya nantikan sebagai pengarah kerana saya mahu mengarahkan sebuah drama berformat panjang. Bagi saya, ini adalah satu cabaran untuk membuktikan bahawa saya mampu melakukannya. Cabaran menjadi besar apabila naskhah yang saya terima daripada penulis skrip sangat menarik untuk saya tafsirkan dalam bentuk visual. 

Para pelakon berbakat besar seperti Fasha Sandha, Nad Zainal, Wan Raja serta Aidit Noh banyak membantu saya untuk melahirkan watak Kirana, Amira, Harris dan Naufal yang mempunyai cerita serta back story masing-masing yang bagi saya penuh dengan konflik. Ini bakal menarik perhatian para peminat drama Melayu. 

Memandangkan drama ini diadaptasi daripada drama Korea yang sangat-sangat popular, saya rasa tercabar untuk menghasilkan sebuah drama yang lebih baik daripada versi asal mengikut cita rasa dan nilai budaya tempatan. Sememangnya proses ini sangat mencabar, lebih-lebih lagi saya ingin menghasilkan sebuah naskhah yang bersifat original dan fresh untuk dihidangkan kepada penonton.” - Nizam Zakaria, Pengarah Drama Dendam Seorang Isteri


TRIVIA MENARIK DRAMA ‘DENDAM SEORANG ISTERI’

1.  Durasi penggambaran bermula pada November 2021.

2.  Lokasi penggambaran adalah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka.

3. Penggambaran drama ini telah dihentikan sebanyak tiga kali disebabkan kes Covid-19 di kalangan kru dan para pelakon.

4. ‘Dendam Seorang Isteri’ diarahkan oleh dua orang pengarah iaitu Nizam Zakaria dan Uchee Fukada.

5. Shahrulezad Mohameddin menggalas tugas sebagai pengarah kreatif . Beliau juga merupakan seorang peminat drama ini versi Filipina.

6. Pengurus produksi drama ini juga merupakan penyanyi lagu tema kepada drama ini. Lagu tema iaitu Kesumat dinyanyikan oleh Rian Shain. Komposer lagu Kesumat adalah Amylea Azizan yang juga turut berlakon dalam drama ini. 

7. Antara cabaran yang dihadapi adalah menghadkan jiwa karya asal dan dalam masa yang sama memberikan nafas baru kepada karya tersebut. Selain itu, cabaran lain yang dihadapi pengarah drama ini adalah mengekalkan momentum dan karakter para pelakon di mana babak-babak yang dirakam telah disusun mengikut kesesuaian lokasi dan masa.

8. Nad Zainal bertindak sebagai stylist bagi karakternya malah memilih sendiri busana untuk watak Kirana. 

9. Karakter Kirana merupakan watak dambaan Nad Zainal sejak mula berlakon.

PECAHAN WATAK DRAMA ‘DENDAM SEORANG ISTERI’

Fasha Sandha - Amira/Neelisa
Nad Zainal - Kirana
Wan Raja - Harris
Aidit Noh - Naufal 
Roy Azman - Dato’ Mus
Ziema Dina - Datin Mona
Zarynn Min - Kak Baby
Sharmaine Farouk - Diana
Dian P.Ramlee - Ain 

LOGLINE DRAMA ‘DENDAM SEORANG ISTERI’

Tragedi bertukar menjadi dendam. Jangan perkecilkan kuasa seorang wanita yang hatinya dikhianati.


SINOPSIS DRAMA ‘DENDAM SEORANG ISTERI’


Amira, seorang gadis kampung, berkahwin dengan seorang jejaka daripada keluarga kaya, Harris dan menjalani hidup sebagai seorang isteri yang setia. Malangnya Harris tetap bersikap berfoya- foya dan tidak pernah setia. Keguguran pertama Amira membuatkan Amira tidak disenangi ibu Harris, Mona yang hanya pentingkan status dan kedudukan. Amira sering didera oleh Mona tetapi dia masih bernasib baik kerana bapa mertuanya, Mus prihatin terhadap kesusahan yang dihadapi Amira.

Kemudian, adik angkat dan rakan karib Amira, Kirana pulang ke Malaysia dan terus menjalinkan hubungan sulit dengan Harris kerana dendam lamanya terhadap Amira. Syafiq, adik Amira telah lama jatuh hati dengan Kirana dan berharap Kirana dapat membalas cintanya. Namun kerana hubungan sulit Kirana dengan Harris, Kirana langsung tidak mempedulikan cinta Syafiq.  


Amira yang masih mengharapkan dirinya untuk hamil mula berprasangka kepada Harris apabila mendapati Harris sering mengelak daripada bermesra dengannya dan sering pulang lewat. Hasil siasatan Amira, Amira dapat rasakan yang Kirana terlibat. Tanpa memikirkan apa yang bakal terjadi, Amira nekad untuk pergi bersemuka dengan Kirana.

Kirana tidak peduli akan perasaan Amira dan mengakui dia ada hubungan dengan Haris dan memaksa Amira untuk meninggalkan Harris. Dalam kesedihan, Amira kemudian mengetahui dirinya kini sudah hamil. Saat Amira merancang untuk membawa diri, satu masalah besar yang menimpa ayahnya membuatkan Amira terpaksa meminta bantuan kepada Mus untuk membantu ayahnya dengan syarat Amira bersetuju untuk terus kekal menjadi isteri Harris. Amira juga tahu yang Kirana tidak akan mengalah untuk merampas Harris daripada hidupnya.

Kirana dan Harris akhirnya merancang untuk membunuh Amira walaupun Amira hamil. Amira yang disangkakan mati dalam sebuah tragedi telah diselamatkan oleh seorang lelaki bernama Naufal. Dialah yang memberi Amira semangat baharu untuk bangkit semula dan membalas dendam terhadap mereka yang memusnahkan kehidupannya. Lantas Amira menjadi Neelisa!  

3 comments

  1. tunggu kejap, nantilah kita tengok wakakaakkakk

    ReplyDelete
  2. Gandingan Nad dengan Fasha mesti gempak..

    ReplyDelete
  3. barisan pelakon mantappp! remake pulak drama yang hot di korea fuhhh

    ReplyDelete

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.