Farewell Sofia di BBQ Town, Citta Mall

Monday, 20 July 2026

 

BBQ Town mula beroperasi dekat Citta Mall sejak tahun lepas dan pertama kali jejak kaki dekat BBQ Town lepas entah berapa tahun Kak Siti recommend pergi. Sebelum ni ada dekat MyTown dengan Bukit Jelutong je yang terdekat tapi setiap kali pergi mesti beratur panjang. Memang tak lah nak join beratur sekali. Sekarang tak payah beratur dah, BBQ Town yang datang dekat kitorang. 

Sebagai penghargaan kepada Sofia yang intern dekat LPJE, Ms Junny belanja lah makan dekat BBQ Town, Citta Mall bulan September tahun lepas. Dua minggu selepas Family Day LPJE dekat Nahara Resort, Kalumpang. I terjebak sekali sebab I anak angkat LPJE 😝 Lepas office hour terus redah traffic jam depan Citta Mall untuk melantak dekat sini. 


Pilihan bahan dekat BBQ Town tak banyak macam Nabe atau Seoul Garden, dia sikit macam Sukiya sebab satu syarikat. I suka BBQ Town sebab ada grill dan steamboat. Sos dia banyak tapi I tak pandai pun buat bancuhan sos yang viral but no worries lah sebab ada Kak Siti yang dah berpengalaman. 


Kitorang order beef, lamb dengan udang. Ayam is a big no lah walau makan dekat mana pun tapi ayam goreng BBQ Town is a yes. Nasib baik dia bagi 1 mangkuk untuk satu meja sebab tak lah nak makan beria pun walaupun sedap. Ambil udon sebab tak ada maggi. Sedap lah juga makan dengan kuah spicy. 


Since I duduk dekat bahagian dalam, memang tak payah bangun untuk ambil bahan. Sepanjang masa sembang dengan meja kiri dan kanan. Masing-masing riuh bila makan free. 



Makanan ready-to-eat (RTE) dekat sini tak banyak pun. Ada sushi dengan nasi goreng je. Berbeza lah dengan Seoul Garden sebab kalau luck cantik dapat lah kari kepala ikan tak pun ketam masak buttermilk. I tak makan banyak pun sushi dia sebab nak jimat ruang. 


Tak lama pun kitorang makan dekat sini sebab perut semuanya kapasiti kecik. Sejam makan je dah penuh dah so lagi sejam kitorang menyembang je lah sebab tak ramai orang pun. Sambil menyembang sambil makan aiskrim seasalt chocolate matcha dia. 


I mungkin tak repeat lah seasalt dia tapi matcha dia sedap sebab pekat. Sebelum balik tu Sofia hadiahkan brownies seorang sekotak kecuali I sebab impromptu kan. Okay je sebab boleh ambil brownies Fariha sebab dia tak makan pun brownies. Thank you Sofia! Thank you jugak dekat Ms Junny yang ajak join farewell dan belanja kitorang makan dekat sini 💜

Last Day Chambering Untuk Adi Putra

 

Patutnya update pasal last day dulu baru update pasal long call diorang berdua ni kan? Tapi tu lah, benda ni ikut mood. Sekarang mood mengemas gallery, baru datang semangat nak sembang pasal kejadian ni yang bertarikh 15 Mei 2025. Hari last Adi sebagai chambee dekat RRM ni kitorang ingat nak belanja makan dekat Chicken Rice Shop tapi bila sampai dekat Lotus Ara Damansara, outlet dah tutup. 


Frust lah jugak masa tu sebab perbincangan nak makan mana ni bukan mudah ye. Sekali bila dah capai kata putus, tempatnya pula tutup. Dah tak memasal kena berbincang pula dekat tengah ruang legar Lotus tu nak makan mana. 


Bincang punya bincang, kitorang decide pergi makan dekat Onde-Onde Citta Mall je lah sebab dah confirm sedap lepastu tak ramai orang sangat. 


Bukan salah I gambar ni huru-hara hahaha


Adi dengan Syida dah lapar tapi terpaksa layan chambee baru


Masa order semua menu kitorang dah request nak semua makanan ada bunga. 





I nak sembang pasal makanan pun I dah tak ingat lah makanan semua orang rasa macam mana, yang penting semua happy plating memasing cantik dan ada bunga. Balik dari makan tengahari, kitorang order Mr Churros untuk Adi. 


Sebelum balik tu Adi ada buat ucapan ringkas sebagai tanda terima kasih banyak bagi tunjuk ajar sepanjang dia chambering dekat RRM. 

'Saya nak ucapkan terima kasih dekat Kak Ana yang selalu tolong saya dan tak lupa juga sebagai pembekal Panadol dekat sini.'


I belanja dia sepapan je pun sebab kebetulan ada stok dekat office but it feels so good lah ada yang hargai kita sebagai pembekal haha. Sepanjang Adi dekat sini pun he was a good chambee walaupun muka chengei padahal softie. 

Ingatkan Adi nak retain sebagai litigation lawyer dekat sini lepas menang kes shipping arrest mewakili Petronas tapi dia kata litigation ni heavy untuk dia. Walaupun hilang a good chambee tapi terpaksa reda lah sebab masing-masing nak bawa haluan masing-masing. 

Kuala Lumpur, 20 Julai 2026 – Menuntut ilmu ibarat pelita yang menyuluh jalan kehidupan, membimbing insan ke arah kebaikan serta memperkukuhkan kefahaman dalam menghayati ajaran Islam. Berteraskan aspirasi tersebut, TV3 dan TV9 terus komited menyajikan kandungan Islamik yang berkualiti menerusi wajah baharu Jurnal Muslim, sebuah program yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah menggalakkan penghayatan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. 

Menampilkan sebanyak 60 episod, musim baharu Jurnal Muslim bersiaran mulai 9 Julai hingga 21 November 2026, setiap Khamis hingga Sabtu, jam 6.20 pagi di TV3 dan TV9, serta boleh distrim secara langsung menerusi Facebook TV9, @TV9Malaysia. Musim ini tampil dengan konsep Klasik Melayu yang mengetengahkan keindahan seni bina, budaya dan warisan tempatan sebagai latar penyampaian ilmu Islam, sekali gus mewujudkan suasana yang lebih tenang, dekat dan penuh nilai estetika. 

Bagi memperkukuhkan lagi pengisian program, musim ini menjadikan kitab Riyadus Salihin sebagai rujukan utama dalam setiap perkongsian ilmu. Kupasan yang dibawakan merangkumi aspek akhlak, ibadah dan pembentukan sahsiah Muslim berteraskan himpunan hadis-hadis sahih yang relevan serta mudah diaplikasikan dalam kehidupan seharian. 

Mengemudi setiap episod ialah tiga personaliti berpengalaman, Fedtri Yahya, Abu Talib dan Amin Idris, yang tampil dengan gaya penyampaian santai, berinformasi dan mudah difahami. Gabungan mereka diharapkan dapat mendekatkan ilmu agama kepada penonton daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang.

Sepanjang 60 episod, penonton akan disajikan dengan pelbagai topik yang dekat dengan realiti kehidupan umat Islam hari ini, merangkumi aspek akidah, ibadah, akhlak, kekeluargaan dan cabaran masyarakat moden. Setiap perbincangan disampaikan secara praktikal dan berpandukan al-Quran serta sunnah, sekali gus menggalakkan penghayatan Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh.

Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti Jurnal Muslim di TV3 dan TV9, atau strim secara langsung menerusi Facebook TV9.

Movie Review | Enola Holmes 3 (2026)

Sunday, 19 July 2026

 

Pengarah: Philip Barantini   
Penulis Skrip: Jack Thorne   
Pelakon: Millie Bobby Brown, Louis Partridge, Himesh Patel, Sharon Duncan-Brewster, Henry Cavill, Helena Bonham Carter   
Syarikat Produksi: Legendary Pictures, PCMA Productions    
Pengedar: Netflix  
Genre: Misteri  
Durasi Tayangan: 108 minit
Tarikh Tayangan: 01 Julai 2026   
Trailer:


Kisah cinta Enola Holmes (Millie Bobby Brown) dan Viscount Earnest Augustus Tewkesbury (Louis Partridge) menginjak ke jinjang perkahwinan setelah setahun tinggal bersama. Lady Tewkesbury (Hattie Morahan) adakan majlis perkahwinan anak tunggalnya di Malta, sebuah pulau yang agak terpencil dan Malta juga pernah menjadi majlis perkahwinan ibu bapa Tewkesbury sebelum ini. 

Enola meyakinkan Sherlock (Henry Cavill) yang dia akan bahagia dalam perkahwinan ni tapi abangnya berpendapat anugerah Enola sebagai detektif tak patut disiakan. Rasanya Enola pun dah penat nak buktikan kemahiran dia sebab selalu terlindung dengan Mycroft dan Sherlock macam yang diceritakan dalam Enola Holmes 2 (2022). Zaman ni pun bukan memandang tinggi kaum wanita. 


Perbincangan antara dua beradik berakhir dengan pergaduhan kemudian Dr. Watson (Himesh Patel) maklumkan pada Enola yang Sherlock telah hilang. Dia yakin abangnya diculik kerana beberapa klu yang terdapat dalam bilik Sherlock. Enola cuma ada dua klu yang boleh selamatkan Sherlock iaitu Khost dan Wrath dan kedua-duanya terlalu umum untuk difikirkan dalam masa yang singkat. 

'So look for what's in front of you, yes but do not forget to look behind that front. The puzzle is always as devious as the setter.' - Eudoria Holmes


Tak lama kemudian, Lady Tewkesbury pula yang diculik kemudian hotel yang didiami mereka terbakar dalam api yang marak. Walaupun Tewkesbury kecewa dengan Enola yang ragu-ragu untuk menjadi isterinya, dia tetap perlu cari jalan untuk selamatkan ibunya dan Sherlock. 

Instalment ketiga Enola Holmes mendapat sentuhan berbeza dari pengarah baru - Philip Barantini yang menggantikan Harry Bradbeer. Kalau sebelum ni filem Enola Holmes lebih fun dan tinggi elemen misterinya, kali ni lebih kepada drama keluarga dan watak Enola agak serius. Philip cuba membangkitkan sisi Enola yang lebih beremosi dan ingin tekankan emosi Enola adalah wajar. 


I rasa macam tak perlu pun sebab Enola memang berbeza dengan abang-abang dia sebab mendapat didikan dan jagaan penuh dari Eudoria Holmes (Helena Bonham Carter) yang bersifat rebellious. Mycroft memang dah ke arah politik dan sokong Kerajaan sementara Sherlock bersifat neutral, di tengah-tengah jadi tak mustahil lah Enola beremosi. Dia pun perempuan so perbezaan tu dah ketara dan diceritakan pun dalam Enola Holmes 1 (2020). 


Sembang pasal Mycroft, mana dia? Kalau Enola Holmes 2 (2022), Sam tak dapat join sebab sibuk dengan shooting lain tapi takkan yang ketiga pun tak boleh masuk sekejap? Lepas dia surrender hak penjagaan memang dia lepas tangan terus eh. Sherlock yang sibuk dan popular pun boleh datang tengok adik, Mycroft pula sibuk kalah Menteri. Emo sebab asyik cakap Mycroft lagi bijak dari Enola dan Sherlock tapi keluarga dia dalam bahaya pun tak boleh nak muncul. 

Kelemahan Enola Holmes 3 terletak pada kes yang perlu diselesaikan oleh Enola Holmes. Misteri yang dimasukkan terlampau mudah dan singkat. Kemunculan watak antagonis agak lemah dan sia-sia. Tunggu lama sampai 3 tahun tapi rasa hambar lepas 108 minit tayangan. Watak  Mizzi (Joe Azzopardi) pun tersia dalam filem Enola Holmes 3, macam kartun pun ada bila asyik ulang dialog yang sama. 


*Spoiler alert*

Penulis menekan-nekan juga nak masukkan elemen feminism dalam Enola Holmes 3 sedangkan impak dari instalment kedua dah cukup cemerlang. Kenapa tak kahwin depan paderi dan masukkan wedding vow yang asli. Tak perlu try hard pun untuk tekankan woman and husband padahal husband and wife lebih timeless. 

Feminism bukan untuk tunjuk wanita lebih superior dari lelaki tapi untuk hidup secara saksama. Tak ada masalah pun kalau Tewkesbury jadi ketua keluarga sebab dia ada kelebihan dia sendiri dan dukung Enola sebaiknya dari awal lagi. Tak sepatutnya penulis shrink watak dia untuk serve face card and be fashionable. It's like a reversal role that nobody asked for.


Patutnya Tewkesbury tak payah letak jawatan dekat hujung filem pun sebab jawatan dia ada kuasa yang orang biasa tak akan ada. Dari awal lagi watak Tewkesbury dan Enola digambarkan akan bawa perubahan dengan haluan dan cara yang berbeza tapi bila dia buang, takkan lah semua nak ikut jalan Eudoria? 

Kalau ada instalment keempat, pulangkan balik filem Enola Holmes dekat Harry Bradbeer dan kawal agenda radical feminisme Jack Thorne sebelum franchise ni terkubur. 

1. Team Production +0.6, 2. Visual +0.7, 3. Audio +0.8, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +0.8, 6. Genre +0.3, 7. Themes +0.5, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +0.5, 10. Personal Thought +0.4 = 5.7/10

 

Pengarah: Heng Aik Song  
Penulis Skrip: Adrian Teh, Heng Aik Song, Ashraf Modee Zain, Siti Jasmina Ibrahim   
Pelakon: Zul Ariffin, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Marissa Yasmin, Zamarul Hisham, Sandra Lim, Zarul Umbrella, Shah Kimin, Zarra Zhaff, Umar Shakur, Mikael Noah
Syarikat Produksi: ACT 2 Pictures, Golden Screen Cinemas, Astro Shaw, Sunstrong Entertainment   
Pengedar: GSC Movies
Genre: Sukan / Drama   
Durasi Tayangan:   minit
Tarikh Tayangan: 28 Mei 2026   
Trailer:


The Furious merupakan gelaran yang diberi oleh Malaysia kepada peninju terulung, Abdul Hameed (Shah Kimin). Meneruskan legasinya, adalah anak sulung bernama Firdaus (Zul Ariffin) dan mendapat gelaran yang sama namun setelah kematian isterinya, dia bersara dari dunia tinju kemudiannya menjadi jurulatih di Gym Furious bersama Emmet (Zamarul Hisham). 


Semakin lama gym mereka semakin kekurangan ahli dan mula beralih ke gym yang dimiliki oleh Danial the Alpha (Ikmal Amry), Youtuber juga influencer terkenal untuk sukan tinju. Bront (Zarul Umbrella) yang pernah menjadi pengurus Firdaus juga beralih ke Danial yang lebih popular dan kaya. Semua tentang Danial terlihat mewah dan popular tapi belum cukup puas bila dia belum dapat gelaran The Furious. 


Danial sengaja mencabar Firdaus dengan pergi ke kubur Hameed supaya dia dapat apa yang dia mahukan. Hakim (Sky Iskandar) yang berada di Filipina segera pulang ke Malaysia untuk berlawan dengan Danial namun kalah kerana sifat baran dan stamina yang tidak dijaga dengan baik. Firdaus pujuk Hakim untuk balik ke pangkuan keluarga tapi rasa marah dan kecewa dijual ke Filipina oleh Mastura (Marissa Yasmin) masih menebal. 


‘Sekurang-kurangnya aku lawan balik, bukan? Aku tak duduk diam. Aku tak biar nama dia dipijak. Tak macam kau. Menikus. Kau ingat aku tak boleh fight? Dekat Manila tu bertahun-tahun aku fight.’ - Hakim

ACT 2 Pictures kembali menghasilkan filem drama sukan selepas GOLD (2024) dengan Adrian Teh berada di bangku penulis sementara menampilkan Heng Aik Song sebagai pengarah baru. Naskhah The Furious: Pertaruhan Maruah menggunakan sukan tinju Malaysia yang pernah mengharumkan nama negara pada tahun 2017.

 
Filem The Furious: Pertaruhan Maruah bukan saja paparkan sisi glamor sukan tinju seperti yang dipamerkan oleh Danial namun sisi buruknya bila Emmet cacat pendengaran akibat tinju, Firdaus cedera parah di rusuk dan beberapa watak lagi yang terlibat dalam sukan tersebut secara professional.

 
Ada beberapa babak yang tunjuk macam mana atlit sukan tinju perlu jaga stamina dan tempo ketika bertarung dan perlawanan bukan semata untuk jaguh namun perlukan kecerdasan minda dalam gelanggang. Tapi sayangnya babak ni tak ditunjukkan sangat pun sebab filem The Furious: Pertaruhan Maruah lebih terarah pada genre drama. Bila Hakim jauh hati dengan Mastura yang ambil nasihat Abby (June Lonjong) untuk berikan Hakim pada pasangan yang menetap di Filipina supaya masa depan Hakim lebih cerah. 


Sedih tengok babak Hakim dengan keluarga dia sebab dekat Malaysia ni dah banyak isu atlit tak dibayar setimpal dengan jasa mereka. Boleh faham sangat kenapa Mastura terpaksa ambil keputusan yang besar macam tu. Babak Firdaus dengan Hakim bergaduh didukung dengan dialog yang tepat menggambarkan perasaan kedua-dua watak. 

‘Kau jangan cakap dengan aku mengalahkan kau sorang je rasa kehilangan. Aku pun hilang yang aku sayang, Kim. Aku hilang kau dari kecik.’ – Firdaus


Lakonan Zul Ariffin dengan Sky Iskandar untuk genre drama memang dah pernah layan dan tahu mereka berdua bagus dalam watak masing-masing. Tapi yang mencuri perhatian dalam filem The Furious: Pertaruhan Maruah adalah lakonan Ikmal Amry sebagai watak yang menjengkelkan. Sebelum ni dia berlakon muka suci tapi kali ni berbeza sangat, keluar dari kepompong watak pasif. 

Team kostum bagi perhatian pada watak Danial the Alpha dan watak-watak lain. Sebagai influencer, Danial memang tampil berbeza dan fancy sebab outfit dia dalam gelanggang menonjol. Pendakap gigi dia pun style. 


Sayangnya watak dia tak berkembang sangat pun, cuma hadir bila dua-beradik ni perlukan pihak lawan dalam gelanggang. Dalam filem ni Danial baru nak masuk berlawan secara pro tapi dah aim nak jatuhkan otai. Tak banyak juga killer moves yang dipaparkan baik dari The Furious mahupun Danial the Alpha untuk jadikan pertarungan tersebut menarik. 

I tak faham perjalanan sukan tinju pro macam mana sebab dalam filem ni agak mengelirukan. Ada babak yang tak perlu terutamanya untuk babak drama sebab tak semua carry emosi yang tinggi. 


Lakonan Mikael Noah sebagai Hakim kecil pun menyerlah juga di samping Umar Shakur yang pernah lakonkan watak berat dalam Abah Saya, Uncle Mike (2025). First time tengok lakonan Mikael Noah walaupun dah banyak projek dia sebelum ni. Zarra Zhaff bagus dalam watak Aliya yang banyak menjadi pendukung kepada Mastura dan Firdaus. Kali kedua tengok lakonan Zarra lepas filem Khadam (2026).


Sinematografi dari Jasper Huang dibantu oleh Astro Studios and you guys boleh tengok macam mana mesin kamera bantu hasilkan visual menarik untuk babak gelanggang. No wonder lah visual dia sharp dan boleh ambil shot yang cantik tanpa gegar. Muzik dari Jackey Yow juga mendukung emosi dan penceritaan dengan baik. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +0.5, 6. Genre +0.6, 7. Themes +0.8, 8. Editing +0.7, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.7 = 7.6/10

Movie Review | Amira Amir (2026)

Saturday, 18 July 2026

 

Pengarah: Reen Emran  
Penulis Skrip: Eenaz Mokhtar, Zuli Ismail, Ctna Marzuki  
Pelakon: Zahiril Adzim, Sophia Albarakbah, Fezrul Khan, Zarynn Min, Kartina Aziz, Qaid Aqwa   
Syarikat Produksi: Astro Shaw  
Pengedar: Astro First, sooka
Genre: Drama 
Durasi Tayangan:   minit
Tarikh Tayangan: 26 Febuari 2026   
Trailer:


Jarang nak jumpa karya tempatan yang berani paparkan masalah sosial yang berlaku dan filem Amira amir arahan Reen Emran mengetengahkan isu transgender yang kesunyian disebabkan pilihan dia. Sebelum ni pernah ada perkahwinan di Malaysia antara lelaki dengan lelaki tapi si isteri adalah khunsa. Dalam filem ni pula Amira (Sophia Albarakbah) adalah sepenuhnya Amir kemudian melakukan pembedahan jantina di Amerika Syarikat kemudian balik bercuti di Malaysia. 

Di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Amira bertemu dengan Ziyad (Zahiril Adzim) yang baik hati tapi mempunyai masalah kewangan gara-gara menjaga ibunya yang uzur. Amira juga tanpa sengaja terlihat Ziyad ditinggalkan oleh tunang dia. Dari situ mereka mula berkawan dan kemudiannya jatuh cinta. 


Bila Amira ingin pulang ke Amerika, Ziyad melamar dan pujuk supaya Amira tinggal di Malaysia. Umi (Kartina Aziz) paling gembira tengok anak bongsu dia bahagia dengan Amira. Tambahan pula semua perbelanjaan rumah ditanggung oleh Amira tanpa berkira. 

Zaim (Fezrul Khan) yang cemburu dengan Ziyad mula mempertikaikan keupayaan Ziyad sebagai suami. Satu hari Amira pergi ke klinik untuk berjumpa dengan doktor tapi rahsia dia mula terbongkar bila biras dia, Azah (Zarynn Min) juga bekerja di hospital yang sama dan maklumkan siapa Amira yang sebenarnya pada semua ahli keluarga. Amira dihalau kemudiannya Zaem memfailkan kes kerana menipu dan memalukan keluarganya. 


Separuh masa pertama filem Amira Amir seronok tengok kisah cinta Ziyad dan Amira sebab Zahiril ada chemistry yang kuat dengan Sophia. Bila dua watak ni ada deep conversation pun rasa tertarik masuk dalam dunia mereka berdua tapi momen mereka berdua tak banyak dan itu antara kelemahan Amira Amir sebab stuck dalam genre drama yang terlampau perlahan pace dia. 


Tak ada masalah pun kalau biarkan Ziyad dengan Amira bercinta kemudian si isteri meninggal lepas tu baru dapat tahu yang isteri dia adalah transgender. Biarkan elemen drama berat dekat bab menguruskan jenazah daripada buat watak Zaem jadi antagonis melampau. Inspirasi untuk buat filem Amira Amir ni pun datang masa produser ternampak soalan dekat media sosial macam mana orang nak uruskan jenazah transgender bila meninggal nanti?


Kalau ikutkan concern Zaim ni valid je bila Umi asyik lebihkan Ziyad padahal dia pun penat jadi tempat bergantung. Mana dia nak tanggung anak istimewa dia, Zumar (Qaid Aqwa) lagi, nak tanggung perbelanjaan asas Umi dengan Ziyad lagi. Tapi tak memasal dia jadi villain sebab nak tunjuk yang Ziyad ni anak yang baik. 

Babak dekat mahkamah di separuh masa kedua agak lemah sebab argument tak lah kuat pun. Lebih terarah pada soalan beremosi. Dia cuma nak kuatkan yang watak Amira boleh berkahwin dengan Ziyad sebab kewarganegaraan dia Amerika Syarikat sahaja. Sebab tu dengan mudah boleh kahwin dengan Ziyad tanpa ada isu tentang jantina. 


Babak Ziyad kena ejek dengan kaki lepak dekat luar hotel pun berlebihan lah sebab macam mana kes Amira sebenarnya Amir ni boleh tersebar luas. Pengarah mungkin nak tunjuk yang kes Amira dengan Ziyad ni jadi gempak sebab masuk mahkamah tapi perjalanan ke arah tu macam rushing sekaligus nampak lemah. 

Sama juga dengan penerimaan abang ipar Amira lepas balik dari Amerika. Lemah betul iman banag ipar dia padahal Amira ni bukannya seksi pun. Watak Amira dengan Sofia pun macam mengelirukan sebab Amira bercakap dialek Sabah tapi kakak dia KL. Dah lah fizikal pun macam langit dengan bumi. 


Tak pasti kenapa babak Amira berdandan dalam busana kebaya merah dia kena delete padahal dekat situ terserlah vibe pondan dia. Sayang lah watak Amir tak dapat banyak ruang untuk dilakonkan oleh Sophia padahal I dah mula nampak kekuatan lakonan Sophia sejak dua menjak ni. She’s improving and hopefully dia akan dapat lebih banyak projek yang berkualiti lepas ni. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +1, 6. Genre +0.3, 7. Themes +0.6, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +0.7, 10. Personal Thought +0.5 = 6.5/10