DUYUNG LEGENDA AURORA KEMBALI MENGGAMIT NOSTALGIA!

Thursday, 18 December 2025

DUYUNG LEGENDA AURORA KEMBALI MENGGAMIT NOSTALGIA! | FILEM FANTASI IKONIK DIANGKAT SEMULA SELEPAS 17 TAHUN

Kuala Lumpur, 17 Disember 2025 – Nostalgia filem fantasi ikonik Malaysia kembali ke pawagam! Selepas 17 tahun meninggalkan kesan luar biasa kepada penonton, Duyung kini dihidupkan semula dengan nafas baharu melalui sambungan terbaharu berjudul Duyung Legenda Aurora. Dengan penceritaan baharu yang lebih moden, sekuel ini juga penuh lawak spontan serta diserikan dengan sentuhan visual yang lebih segar dan mengujakan.

Dihasilkan oleh KRU Studios dan 8 Bit Studio serta Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, filem komedi fantasi ini terus mempertaruhkan sentuhan kelakar, elemen magis di samping jalan cerita yang dekat di hati segenap peringkat usia. Diarahkan oleh Dato’ Prof. Ts. Dr. A. Razak Mohaideen, Duyung Legenda Aurora menampilkan barisan pelakon hebat seperti Maya Karin, Saiful Apek, dan Yasmin Hani yang membuat kemunculan kembali watak asal filem Duyung. Tidak ketinggalan Anna Jobling, Ayie Floor88 serta Datuk Yusry Abdul Halim yang membawa dimensi baharu kepada dunia fantasi filem ini.


Legenda Kembali Hidup : Dunia Duyung & Manusia Bertembung Lagi!
Duyung Legenda Aurora menampilkan kepulangan Puteri Duyung (Maya Karin), yang memohon bantuan Jimmy (Saiful Apek) dan Aspalela (Yasmin Hani) setelah anaknya, Aurora (Anna Jobling), diculik oleh sindiket pencuri ikan yang menggunakan pukat tunda haram.

Dibantu oleh Hamlau (Saiful Zero), Dashmond (Ayie Floor88) dan sahabat baharu mereka Ajaq (Aniq Aqil), pencarian penuh kekacauan dan keajaiban pun bermula. Namun cabaran bertambah sukar kerana Aurora dan Hamlau hanya mampu berada di darat tidak lebih daripada enam jam. Berlatarkan dunia laut dan darat yang penuh warna-warni, perjalanan ini bukan sahaja mempertaruhkan nyawa tetapi juga cinta dan masa depan dua dunia.


“Duyung Legenda Aurora menjanjikan hiburan keluarga penuh keseronokan, adegan aksi yang mendebarkan serta mesej tentang cinta, keberanian dan warisan dua dunia yang saling memerlukan. Filem ini bakal menjadi tontonan wajib hujung tahun yang penuh gelak tawa dan alunan memori yang mendamaikan,” jelas Pengarah Dato’ Prof. Ts. Dr. A. Razak Mohaideen. 

Legasi Yang Diteruskan


Duyung (2008) mengejutkan industri perfileman apabila meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM4.7 juta di 61 pawagam seluruh negara. Kejayaannya diteruskan apabila berjaya menggondol Anugerah Box Office di Festival Filem Malaysia ke-21, mengukuhkan statusnya sebagai karya ikonik. Lebih membanggakan, Duyung turut mencipta sejarah apabila kira-kira 40% daripada keseluruhan penggambaran dilakukan sepenuhnya di bawah air di lokasi legenda, Pulau Sipadan. Sehingga hari ini, watak Puteri Si Duyung kekal sebagai salah satu figura paling dikenali dan diraikan dalam budaya pop Malaysia.

Nostalgia yang dirindui, pengembaraan baharu menanti. Duyung kembali sebagai sebuah judul yang telah tersimpan kukuh dalam memori generasi 2000-an, dekat di hati penonton seisi keluarga dan terus meninggalkan legasi kuat melalui lagu popular ‘Aspalela’ yang kekal menjadi rujukan budaya pop sehingga hari ini. 


Kesinambungan kisah ini diperkaya lagi dengan dua runut bunyi (OST) baharu bagi filem Duyung Legenda Aurora, iaitu Lagu Happy nyanyian Datuk Seri Vida yang membawa suasana ceria serta Hanya Kamu nyanyian Shahir dan Adira, sekali gus menambahkan elemen romantis dan emosional dalam penceritaan baharu ini.


Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Duyung Legenda Aurora yang bakal menggegarkan pawagam seluruh negara mulai 25 Disember 2025. Gunakan #DuyungLegendaAurora #FilemHiburanHujungTahun untuk hangatkan lagi perbualan di media sosial!

Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif Duyung Legenda Aurora, ikuti kami di Facebook, Instagram, X dan YouTube Primeworks Studios.

**********************
MENGENAI KRU STUDIOS
KRU Studios Sdn Bhd adalah antara syarikat media dan kandungan kreatif yang terbesar di Malaysia dan jenama yang pesat membangun di peringkat global. Ditubuhkan pada tahun 1992, KRU telah menerbit dan mengedarkan pelbagai kandungan kreatif yang berjaya dari sudut komersial serta memenangi anugerah di dalam dan di luar negara; dengan kepakaran menggunakan teknologi terkini bagi menghasilkan kesan khas visual dan animasi. KRU telah menerbit dan mengedarkan kandungan kreatif dalam bentuk filem dan kandungan televisyen ke lebih 100 buah negara.

MENGENAI 8 BIT STUDIOS
8 Bit Sdn Bhd ialah syarikat produksi filem, pengurusan bakat, penulisan skrip & pengurusan acara yang berpusat di Shah Alam. Ditubuhkan oleh Dato Prof Dr A Razak Mohaideen, seorang penggiat filem terkemuka yang telah mengarahkan lebih lima puluh filem dan menulis lebih empat puluh lima skrip, beliau turut menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Akademik Negara dan tiga Anugerah Khas Juri di Festival Filem Malaysia. Sejak penubuhannya, 8 Bit Sdn Bhd telah menghasilkan tiga filem usahasama dan meneruskan pembangunan projek utama seperti Duyung: Legenda Aurora, PUKAU dan Anak Mami Jarum: Dalca Cinta Kerabu, sekali gus menegaskan komitmennya terhadap penceritaan berkualiti dan pemerkasaan budaya tempatan.

MENGENAI PRIMEWORKS STUDIOS 
Primeworks Studios - Peneraju Legasi Landskap Hiburan Di Mata Dunia
Primeworks Studios merupakan sebuah syarikat terkemuka di Asia Tenggara yang memiliki asas kukuh dalam pembangunan kandungan, pengeluaran filem, pengedaran filem, jualan kandungan, dan animasi. Selama lebih dari tiga dekad, Primeworks Studios telah menjadi peneraju yang memainkan peranan penting dalam membentuk landskap hiburan di Malaysia. Dengan menerapkan nilai dan teras yang utuh, Primeworks Studios terus unggul dalam  menghasilkan kandungan yang menarik dan berkualiti buat penonton di seluruh dunia disamping  mengekalkan legasi hiburan untuk menghiburkan penonton sejajar dengan keadaan masa kini dan masa akan datang.

Untuk sebarang pertanyaan media dan maklumat lanjut, sila hubungi: 
Social Media Primeworks Studios 
Instagram : primeworksstudios.film
Tiktok : primeworksstudios.film 
X : primeworksfilm 
Facebook : Primeworks Studios - Film 
Youtube: Primeworks Studios - Film

Plant Support Device Eco

 

Masa jalan tak tentu arah dekat kedai ECO, ternampak plant support device. Sebab harga dia murah mesti lah masuk dalam troli tapi beli satu je dulu. Takut nak beli beria sebab tak tahu lagi berkesan ke tidak. Sebelum ni beli moss pole dekat Shopee tapi dah habis dah guna untuk 3 pasu monstera so nak try lah pulak pole dari plastic. 


Pole dia ada pilihan sama ada nak buat rendah 1 tingkat atau tambah sampai tiga tingkat. Tengok pada Philodendron dalam pasu tu macam kena guna semua sebab dia tinggi. Ambil masa juga lah nak pasang device ni sebab dia mudah tercabut. Nasib baik lah dua hengget je so kalau tak tahan lama atau tak boleh pakai, tak lah ralat sangat. 

Sebenarnya tak tahu lah I pasang ni betul ke tak sebab dia tak ada manual, yang ada cuma lubang untuk cucuk dan batang untuk sambung. Terpaksa tanam juga bahagian paling bawah dalam tanah supaya dia kukuh. 


Ni hasilnya lepas dah siap tapi I tak rasa dapat bertahan lama pun sebab tengok lah Philodendron tu besar kemain daun dia. To be honest I pun tak tahu dia ni jenis Philodendron apa sebab rupa tak lah sama sangat dengan baka. Ke dia pokok lain tapi IKEA tersalah tag? Entahlah yang penting dah bela 3 tahun, dah membiak dua pasu dah pun. 

Plan asal nak pergi celebrate birthday dekat Grill & Steamboat Subang Bestari tapi ditutup sementara sebab ada pengambilalihan pengurusan baru. Bila Google ternampak pula Syokpot Grill & Steamboat Buffet dekat Kota Damansara. Nice lah sebab dia ada oyster macam dekat steamboat subest tu. 

Restoran Syokpot ni senang dicari sebab dari traffic light pun dah nampak unit dia sebab warna kuning pekat. Nak park kereta pun senang sebab dia dekat corner lot. Kitorang pergi masa public holiday so parking tak payah bayar. Kalau bayar pun, tak mahal pun sebab dekat sini ada time limit, 120 minit. 





Seating boleh pilih nak duduk luar atau dekat dalam tapi kitorang buat pilihan yang kurang tepat sebab meja tu rupanya sebelah laluan orang keluar masuk. Bila orang nak keluar macam mengganggu lah kita makan sebab kadang terlanggar. Tak pasti lah kalau tu sebenarnya bukan laluan tapi ada gap pokok so orang main redah je sebab shortcut. Lagi tak best bila ada yang merokok dekat situ. Bukan seorang tapi berkumpulan. Sambil makan sambil sedut asap rokok. Kau rasa?


Seating dekat sini rapat-rapat, ada juga meja yang rapat dengan kaunter ambil bahan kering. Nak ambil pun susah sebab tangan kita pendek, susah lah sikit nak capai bila laluan terhalang. Kaunter bahan dia banyak, I rasa lebih 100 bahan disediakan which is good tapi fridge dia besar. 

Masa tengah ambil bahan seafood tapi tak ingat apa, ada pakcik ni datang tolak pintu freezer sampai ke hujung padahal I tengah ambil bahan masa tu. Dia nak ambil udang dekat hujung kiri, I dekat hujung kanan so boleh je bertolak ansur tolak sikit je supaya dia dan I sama-sama ada space supaya bahan tu boleh diambil tapi dia lebih memilih untuk pentingkan diri. 





Tiram dekat sini dah diletakkan bawang putih dengan halia so tak tahu tiram dia segar ataupun tak. Bila rasa macam sedih jugak lah sebab rasa bawang putih dengan halia lagi kuat. Dalam banyak-banyak kitorang ambil tu ada lah satu dua yang rasa fresh. 


Syokpot ni kira berbaloi lah harganya sebab bahan yang dia letak lebih kurang macam Nabe Hotpot, ada itik, ada oyster, ada dumpling, ada seafood yang menarik dan pelbagai. Siap ada buah-buahan lagi disediakan.



Bahagian ready-to-eat je lah kurang menarik sikit sebab nasi goreng dia jenis nasi goreng cina yang oily tu. Uniknya dekat sini ada shark fin soup. Ada chili crab juga tapi setiap seorang boleh ambil sekali sahaja supaya semua sama-sama dapat. Crab chili dia ada mantao sekali tapi bukan free flow lah. Dia akan buat announcement bila chili crab dah ready. I tak rasa pun masa tu so tak tahu lah sedap ke tak.




Sebagai penggemar seafood, memang seronok lah makan dekat sini sebab banyak hidupan bercengkerang kitorang boleh makan. Tapi yang tak bestnya sebab sup yang disediakan dekat sini tak sedap. Tak silap ada 6 pilihan sup dekat Syokpot so kitorang pilih sup ayam dengan matang spicy soup. 

Sup ayam dia tawar, tak ada rasa ayam pun, malatang spicy pula menyeksakan sebab banyak serbuk cili. Setiap kali hirup sup tu akan tersedak lah sebab cili tu melekat dekat tekak. Pedas dia bukan dekat lidah tapi tekak which I find uncomfortable lah. Dah letak banyak seafood dalam tu pun kuah dia tak sedap sebab rasa cili over teruk. Mungkin orang lain suka la kot tapi kitorang menyesal lah pilih dua kuah ni. 




Tak tahu lah dia ni nama apa. Takut nak ambil banyak sebab dia besar. Kalau besar selalunya tawar tapi dia manis je lepas dah masak. Sebab cengkerang dia besar dan tebal, ambil masa yang lama juga nak tunggu dia buka cengkerang tu. But totally worth the wait lah. 


Tak ingat dah ambil campuran sos apa masa tu tapi sos cili dia dah serupa sambal belacan minus belacan. Pilihan sos dia kurang menarik but that's just us, mungkin ada yang pandai buat campuran sos yang menarik. 



Aiskrim dia ada dua jenis, yang satu macam biasa tapi yang dalam gambar atas tu dia macam aiskrim kisar. Perisa pun banyak pilihan jugak. Masa nak balik baru perasan dia ada waffle tapi perut dah penuh sangat untuk makan waffle T.T


Ada pilihan banyak pun tak menjamin kebahagiaan sebab I jenis slow eater so it's like a sport to me untuk habiskan semua makanan dalam masa 2 jam hshshs. Tak sempat pun nak merasa semua. Lepas bayar tu dah claim untuk birthday, dapat lah peluang untuk putar roda bertuah ni. Tapi adik I sejenis yang tak bertuah sebab dia dapat Happy Birthday Shout je. 


Dekat sini ada juga service nyanyi Happy Birthday macam dekat KFry tu tapi adik taknak sebab segan so tak tahu lah service tu bayar ke apa. 

Not bad lah makan dekat sini walaupun ada pengalaman yang tak best dan mungkin tak akan datang dah lepas ni unless steambot pilihan kitorang tutup. 

SELEPAS JERMAN DAN INDIA, ‘BAD COP’ DIADAPTASI DALAM VERSI MALAYSIA UNTUK SIRI PREMIUM ASTRO ORIGINALS

Wednesday, 17 December 2025

SELEPAS JERMAN DAN INDIA, ‘BAD COP’ DIADAPTASI DALAM VERSI MALAYSIA UNTUK SIRI PREMIUM ASTRO ORIGINALS | Siri Aksi Jenayah Mendebarkan Bawa Nuansa Tempatan, Dikuasakan oleh Kolaborasi Strategik bersama Goodday Charge

Kuala Lumpur, 16 Disember 2025 – Selepas fenomena Generasi : Perfect 10, Astro Originals mempersembahkan sebuah lagi siri premium terbaru, Bad Cop, adaptasi daripada siri jenayah popular Jerman pada tahun 2017. Siri asal ini turut mencapai kejayaan antarabangsa apabila diadaptasi produksi India pada tahun 2024.  

Bad Cop akan menemui penonton bermula 19 Disember 2025 setiap Jumaat, tepat 12.00 tengah malam di OnDemand dan juga di sooka. Penonton juga boleh menyaksikannya di Astro Citra (Saluran 108) pada setiap Jumaat, jam 9 malam, serta di Astro Ria (Saluran 104) pada setiap Sabtu, jam 10.30 malam.

Bagi versi Malaysia, Bad Cop diterajui oleh pelakon Aiman Hakim yang pertama kali membawa dua watak berbeza iaitu protagonis dan antagonis, sekali gus menguji versatiliti dalam lakonannya. Siri ini turut menampilkan bakat-bakat terkenal daripada pelbagai latar,  seperti Siti Saleha, Harvinth Skin, Razib Salimin, Tony Eusoff, Whulandary Herman, Melissa Campbell dan Alvin Wong. 

Menarik lagi, setiap episod menyaksikan kemunculan bintang-bintang popular yang membuat penampilan istimewa. 

Bad Cop membawa pendekatan case-of-the-week, di mana kesemua lapan episod memaparkan kes baharu serta isu sosial tersendiri, antaranya penipuan identiti, marginalisasi komuniti luar bandar, tekanan sosial lelaki moden dan penderaan rumah tangga. Ini membuka ruang kepada pelbagai isu masyarakat yang relevan dan lebih mendalam daripada sekadar konflik keluarga.  

Siri terbitan Astro Shaw ini diterajui showrunner Kavivarmen Vigneswaran, dan diarahkan Jason Chong yang membawa sentuhan visual dan penceritaan premium yang menjadi identiti Astro Originals.  

Bad Cop mengisahkan Emir Khalid, seorang penjenayah bertembung dengan kembarnya yang terpisah, Imar seorang inspektor polis. Pertemuan semula itu bertukar emosi apabila Imar ditembak dan dia menyerahkan identiti polisnya kepada Emir sebagai jalan untuk melarikan diri, tetapi memintanya menunaikan satu janji. 

Menurut Penerbit Eksekutif Bad Cop merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, “Selepas kejayaan siri premium Liar pada tahun 2023, yang diadaptasi daripada siri thriller pemenang anugerah antarabangsa, kami teruja mempersembahkan Bad Cop, adaptasi daripada siri popular Jerman 2017. Siri ini mengukuhkan lagi komitmen Astro Originals dalam menawarkan kandungan premium dengan naratif berimpak tinggi. Untuk versi Malaysia, siri ini diterajui oleh showrunner dari Astro Shaw, Kavivarmen Vigneswaran dan kami kembalikan pengarah berpengalaman Jason Chong, yang  juga sebelum ini mengarahkan siri Liar. Kami yakin naratif Bad Cop akan mendapat tempat di hati penonton Malaysia kerana cerita kepolisan sememangnya dekat dengan penonton tempatan, dan suntikan elemen lokal menjadikan adaptasi ini lebih relevan, autentik dan mudah dihayati. Kami berharap Bad Cop mampu menetapkan standard baharu bagi premium siri tempatan, sekali gus meneruskan legasi kejayaannya di Jerman dan India.” 

Sebagai sebahagian daripada kolaborasi strategik ini, Goodday Charge telah menyokong lima judul Astro Originals premium sepanjang tahun 2025, yang masing-masing menampilkan manifestasi berbeza kekuatan dalaman:

1. One Cent Thief - Dunia jenayah digital 

2. First Wives - Persahabatan teguh

3. Honey Trap - Ketegangan perisikan dalam Honey Trap

4. Generasi: Perfect 10 - Semangat dan disiplin 

5. Bad Cop - Integriti Diri

Kisah-kisah ini membentuk satu perjalanan yang saling berkait, sekali gus mengukuhkan mesej Goodday Charge bahawa walaupun setiap individu mempunyai potensi untuk menjadi hebat, sentiasa ada ruang untuk melangkah lebih jauh dan menjadi TERHEBAT.

Saksikan dua episod pertama pada 19 Disember 2025 di platform OnDemand dan sooka. Bad Cop boleh ditonton setiap hari Jumaat bermula 12.00 tengah malam di OnDemand atau di Astro Citra (Saluran 108) jam 9 malam, manakala Astro Ria (Saluran 104) setiap Sabtu, jam 10.30 malam. 

Dapatkan info terkini dan tonton klip-klip menarik Bad Cop menerusi platform media sosial rasmi Astro Gempak dan Astro Shaw seperti di Instagram, TikTok, Facebook, dan juga X. 

Langgan Pek Astro One dengan hanya RM49.99/sebulan. Strim Senang Hati, Hiburan Tanpa Henti Untuk Seisi Keluarga. Tingkatkan pengalaman penstriman anda dengan menaik taraf ke Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Entertainment dengan hanya RM139.99/sebulan. Untuk melanggan atau menaik taraf ke Astro One, layari www.astro.com.my atau WhatsApp ‘Hi’ ke 03 9543 3838. 

SANTAU PEREMPUAN TERLARANG JADI DRAMA PALING BERANI TAHUN INI!

Tuesday, 16 December 2025

EMMA MAEMBONG TERLIBAT DALAM PERJANJIAN MAUT? | SANTAU PEREMPUAN TERLARANG JADI DRAMA PALING BERANI TAHUN INI!

Kuala Lumpur, 16 Disember 2025 – Setiap impian ada harga, dan ada masanya harga itu terlalu berat untuk diceritakan. Berbekalkan nadi kisah tersebut, Tonton menutup tahun ini dengan sebuah naskhah seram thriller berjudul Santau Perempuan Terlarang, yang menyelam jauh ke sudut paling tersembunyi dunia hiburan dalam merungkai obsesi terhadap populariti demi mengejar puncak kejayaan.

Siri ini bakal menemui penonton mulai 18 Disember 2025 dan akan bersiaran setiap Isnin dan Khamis dengan satu episod berdurasi satu jam, eksklusif di Tonton. Sepanjang perjalanan ceritanya, penonton akan disajikan gambaran sejauh mana seseorang sanggup menggadaikan prinsip dan maruah diri sendiri demi sesuatu yang sukar digapai, disokong oleh barisan pelakon hebat seperti Emma Maembong, Nabil Aqil, Fadlan Hazim, Farid Kamil, Amin Iman dan Hanna Aqeela.

Kisahnya berpusat pada Iqbal (Nabil Aqil), seorang pelakon yang sudah bertahun bertarung nasib dalam industri namun tetap dipandang sepi. Casting silih berganti, tetapi kedudukannya tidak berubah, dan yang paling memilukan, watak utama yang diimpikannya sekali lagi jatuh ke tangan Ako Danial (Fadlan Hazim), pelakon sensasi yang sering menjadi rebutan.

Dalam masa yang sama, hubungan dengan tunangnya, Maria (Hanna Aqeela), semakin goyah akibat tekanan hidup dan kerjayanya yang tidak menentu. Ketika situasi itu mula menelan dirinya, rakannya Maman (Amin Iman) mencadangkan agar Iqbal bertemu seorang wanita bernama Sapora (Emma Maembong), yang dikatakan mampu “membersihkan aura” melalui rawatan tradisionalnya. Sapora dikenali sebagai figura cantik dan lembut tutur kata, sering dipuji kerana kesediaannya membantu sesiapa sahaja yang datang mencarinya.

Sampai ke satu tahap, pertemuan dengan Sapora menjadi titik perubahan hidup Iqbal, seolah-olah seluruh impiannya terbentang di depan mata. Persoalannya, apakah yang sebenarnya dilakukan Sapora hingga hidup Iqbal berubah sedemikian rupa? Adakah Iqbal sedar akan jerat yang perlahan-lahan membelitnya?

Mengulas tentang penglibatannya, Emma Maembong berkongsi, “Saya sudah lama tidak kembali ke genre mistik, jadi watak Sapora membuka ruang untuk saya meneroka sisi yang lebih kompleks dan bersifat psikologi. Dia bukan sahaja wanita misteri, tetapi juga simbol obsesi dan kuasa. Membawa karakter seperti ini memang mencabar kerana ia menuntut saya mengawal emosi secara halus, dengan unsur sensual dan trauma yang perlu dihayati sepenuhnya.”

Nantikan Santau Perempuan Terlarang, sebuah kisah yang bernafas melalui rahsia dan bayang-bayang, mula ditayangkan minggu ini, eksklusif hanya di Tonton.

Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy.

Papa Zola The Movie Raih Kutipan Melebihi RM10 Juta

Monday, 15 December 2025

Papa Zola The Movie Raih Kutipan Melebihi RM10 Juta | ‘Penceritaan dan visual memukau tarik perhatian pelbagai generasi penonton’ 

15 Disember 2025, Kuala Lumpur – Filem animasi Papa Zola The Movie terbitan MONSTA Studio dan Astro Shaw yang baru sahaja ditayangkan di pawagam sejak 11 Disember lalu, mencatat kejayaan memberangsangkan apabila berjaya meraih kutipan lebih RM 10 Juta. 

Papa Zola The Movie mencetuskan ‘fenomena kebenaran’ apabila penonton membanjiri media sosial dengan pelbagai reaksi terhadap penceritaan jujur yang dekat dengan realiti kehidupan golongan dewasa, manakala penonton muda terpukau dengan aksi dan visual yang hebat. 

Perkongsian tersebut membuka ruang perbincangan yang lebih luas tentang tekanan hidup zaman sekarang, pengorbanan serta makna kejayaan sebenar. Ini adalah satu pendekatan yang jarang diterokai dalam genre animasi tempatan. Penceritaan yang mendalam, tetapi jujur membuktikan animasi tempatan mampu melangkaui wadah hiburan semata-mata dan berfungsi sebagai medium penceritaan yang matang, berani dan relevan. 

Menurut Pengarah & Penulis Papa Zola The Movie, merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, “Terima kasih kepada penonton, media dan pemamer yang menyokong Papa Zola The Movie. Kami tidak menyangka sebuah filem animasi Papa Zola The Movie mampu meninggalkan kesan yang begitu mendalam kepada penonton. Hasil perkongsian dan reaksi penonton membuktikan bahawa ini adalah cerita kita, kisah yang lahir daripada realiti kehidupan. Kami berharap filem ini membuka ruang baharu untuk animasi tempatan tampil dengan penceritaan yang matang dan bermakna.”

Penerbit Eksekutif Papa Zola The Movie yang juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Melihat reaksi penonton yang tersentuh dan berkongsi pengalaman mereka selepas menonton Papa Zola The Movie merupakan satu penghargaan besar buat kami. Terima kasih kepada semua penonton dan ‘pejuang Kebenaran’ yang memberi sokongan pada filem ini. Menjelang cuti sekolah, kami berharap lebih ramai penonton, khususnya seisi keluarga, dapat meluangkan masa ke pawagam untuk menonton filem ini bersama-sama insan tersayang.”

Papa Zola The Movie sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Filem ini bakal melangkah panggung antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia dan di India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah yang merangkumi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026.