‘Sekolah Sampah’ Bawakan Isu Ketidaksamaan Pendidikan Di Kalangan Mereka Yang Tiada Harta’

Tuesday 24 May 2022

Telemovie ‘Sekolah Sampah’ yakni hasil terbitan Arie Zaharie Production Sdn Bhd memaparkan kisah kecekalan seorang pengembara dan usahanya dalam memberi didikan yang adil saksama kepada kanak-kanak yang tidak berkemampuan. Telemovie terkini keluaran Astro Citra ini memberi penekanan kepada kepentingan ilmu bagi semua tidak kira darjat, status atau kemampuan kita.

Penceritaan berdurasi 94 minit ini mengisahkan Adam, seorang backpacker berumur 30-an menetap di Sandakan yang bercita-cita untuk mengembara ke seluruh Sabah. Sebelum pengembaraannya bermula, Adam mendapat tahu kisah kanak-kanak pengemis yang tidak berkemampuan untuk meneruskan pembelajaran mereka di sekolah. Kanak-kanak tersebut tinggal di Kampung Sampah dan menyara hidup dengan mengutip serta menjual barangan terbuang. 

Untuk memberi kesamarataan dalam pendidikan kepada mereka, Adam nekad mendidik anak-anak itu dengan membina Sekolah Sampah sehingga mengorbankan impian pengembaraannya. Pengorbanan ini dibantu oleh salah seorang muridnya, Erna yang juga mengambil bahagian dalam mengajar rakan-rakannya yang tercicir dalam pelajaran. Dengan usaha membangunkan Sekolah Sampah, Erna telah mengirimkan sepucuk surat kepada pemimpin tentang kewujudan sekolah tersebut. 

Telemovie yang mampat dengan harapan dan impian serta merungkai isu-isu ketidaksamarataan yang relevan dalam kalangan masyarakat ini mengangkat empat orang pelakon iaitu Aliff Aziz sebagai Adam, Bella Astillah sebagai Nureen, Pasqueletta Joan Paulus sebagai Erna dan Aidil Zaquan Astillah sebagai Adi. ‘Sekolah Sampah’ merupakan arahan pelakon dan penyanyi keluaran Akademi Fantasi musim kelima yang berbakat besar, Ebi Kornelis dan turut didukung oleh barisan pelakon baharu yang hebat seperti Rubisa Tiasin, Nuhamizan Syahmi Musa, Syed Haiqal Saputra, Fatima Nadhira, Sahrah Asor, Ejin Dinting dan Jaipin Leggau.

Telemovie ini akan ditayangkan pada hari Sabtu, 28 Mei 2022, jam 9.00 malam secara eksklusif di saluran Astro Citra (108) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Ebi Kornelis - Pengarah Telemovie ‘Sekolah Sampah’

“Pembikinan telemovie ini merangkumi pelbagai aspek dan emosi kerana saya mahu penceritaannya penuh dengan harapan, impian dan usaha mereka yang menjayakan sesuatu yang mustahil. Ilmu adalah sesuatu yang saya ingin mengetengahkan kerana tanpanya, kita tidak akan berganjak ke hadapan.Seperti yang telah kita tahu, ilmu itu digenggam sehingga kecil lagi. Namun, ada pada mereka yang tidak mampu untuk menimba ilmu dan terpaksa berhenti sekolah. 

Walaupun begitu, sebenarnya penimbaan ilmu itu tiada terhadnya. Antara cabaran yang saya hadapi ketika mengarah telemovie ini adalah kekangan masa. Oleh kerana penceritaannya juga membawa aspek-aspek daripada Sabah, saya perlu membaca dan memahami skrip dalam tempoh kurang daripada 12 jam ketika berada dalam kapal terbang dalam perjalanan ke Sandakan. 

Saya juga perlu memikirkan harapan dan tujuan pihak produksi kerana pengarah yang saya gantikan merupakan pengarah otai yang pernah memenangi anugerah sebelum ini. Begitu juga dengan penulis skripnya yang dua-dua pernah memenangi anugerah dalam penulisan skrip.

Selain itu, saya juga perlu berhadapan dengan pelakon kanak-kanak pada kali ini. Bekerja dengan mereka memang lain kerana emosi dan pengalaman pelakon kanak-kanak ini berbeza dengan pelakon dewasa. Kita perlu bijak dalam mengawal emosi mereka kerana mereka kurang berpengalaman beraksi di hadapan kamera. 

Daripada aspek lokasi pula, sebahagian besar lokasi penggambaran dilakukan di atas timbunan sampah dan terdedah kepada bahaya objek-objek tajam serta haiwan yang berbisa. Kami juga sentiasa perlu menjaga diri daripada bakteria dan virus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Lokasi tersebut juga agak berbau dan panas ekoran matahari yang terik. 

Namun, saya sangat gembira kerana pelakon-pelakon telemovie ini semuanya berdisiplin dan mempunyai keinginan serta misi yang tinggi untuk membuktikan sesuatu kepada masyarakat yang mampu membuatkan mereka senang dalam memberikan lakonan yang terbaik dalam watak masing-masing. Syukur Alhamdulilah mereka faham naskah yang ingin di perjuangkan melalui telemovie Sekolah Sampah ini.

Pengambilan watak Adam dan Nureen juga sebagai watak utama merupakan sesuatu yang saya bangga kerana lakonan mereka memang serasi sebagai pasangan bercinta. Mereka dapat menunjukkan emosi-emosi yang tepat dan mampu memberikan elemen-elemen yang sejajar dengan apa yang saya tanamkan ketika pembikinan plotnya. 

Telemovie ini adalah bukan karya yang biasa kita tonton di televisyen. Bukan semua pengkarya berani menonjolkan kebenaran dalam berkarya lebih-lebih lagi telemovie ini tidak mengetengahkan aspek kekayaan atau pun cerita korporat seperti yang kita sering lihat. Karya ini lebih menonjolkan aspek yang jujur dan karya yang menunjukkan sisi-sisi manusia yang sebenar. Walaupun penuh dengan karya yang hebat, industri kita kurang dengan karyakarya yang sebegini. Para penonton pasti tidak akan menyesal dengan penceritaannya kerana tiada unsur klise.

Telemovie ini diterbitkan untuk memberi kesedaran kepada penonton mengenai kepentingan ilmu bagi semua rakyat tidak kira daripada mana mereka datang. Banyak perkara yang mampu mengetuk pintu hati kita untuk lebih mengenali diri kita siapa serta menunjukkan kepada kita bahawa ada sesetengah orang yang betul-betul dalam kesusahan dalam menempuh kehidupan yang tidak terbayang. 

Namun, mereka masih mampu tersenyum seperti tiada apa-apa yang berlaku. Ada juga daripada kita yang hidup dalam keselesaan tetapi masih tidak bersyukur dengan apa yang dimiliki. Ini adalah karya yang mampu menginsafkan kita dan membuatkan kita bersyukur dengan nikmat yang diberikan. Itulah yang ingin saya terapkan kepada semua.

Telemovie ini diharap dapat memberi kesedaran kepada penoton juga tentang pentingnya ilmu dalam membangunkan negara serta diri sendiri. Saya juga berharap para penonton faham erti kesamarataan dalam menimba ilmu ini kerana tiada siapa patut dihalang daripada mendapatkannya. Saya juga ingin mengetengahkan bahawa pentingnya usaha pihak-pihak yang terlibat dalam menjaga kanak-kanak yang mampu menjadi tunjang kepada negara pada masa hadapan kelak tanpa menindas mereka berdasarkan kemampuan dan tempat mereka sahaja.”

PECAHAN WATAK TELEMOVIE ‘SEKOLAH SAMPAH’

Aliff Aziz                                Adam

Bella Astillah                         Nureen

Pasqueletta Joan Paulus         Erna

Aidil Zaquan Astillah             Adi

Rubisa Tiasin                         Naemah

Nuhamizan Syahmi Musa     Bad

Syed Haiqal Saputra             Umar

Fatima Nadhira                     Lily

Sahrah Asor                           Mariam

Ejin Dinting                           Pak Salleh

Jaipin Leggau                         Zaki


TRIVIA MENARIK TELEMOVIE ‘SEKOLAH SAMPAH’

1. Durasi penggambaran telemovie ‘Sekolah Sampah’ mengambil masa selama 8 hari di Sandakan, Sabah.

2. Penceritaan telemovie ini sebenarnya diinspirasikan daripada kisah benar.

3. Telemovie ini menampilkan gabungan pelakon-pelakon popular dan pelakon-pelakon daripada Sabah.

4. Pengarah yang diganti oleh Ebi Kornelis turut mengikuti penggambarannya di Sandakan bersama-sama dengan penulis skrip telemovie ini.

5. Sekolah Sampah merupakan telemovie pertama setelah Alif Aziz bergelar juara Gegar Vaganza 8.


LOGLINE TELEMOVIE ‘SEKOLAH SAMPAH’

Pengorbanan seorang pengembara yang membina sekolah untuk kanak-kanak pengemis yang tercicir dalam pelajaran.


SINOPSIS TELEMOVIE ‘SEKOLAH SAMPAH’

Sekolah Sampah mengisahkan seorang backpacker, Adam yang ingin mengembara ke seluruh Sabah. Namun setelah mendapat tahu tentang kanak-kanak pengemis yang tidak bersekolah dan tinggal di satu tempat pembuangan sampah, Adam nekad untuk mengorbankan wang pengembaraannya demi membina sebuah sekolah untuk mereka. Akhirnya, Adam terpaksa pulang. Dalam mendidik kanak-kanak pengemis tersebut, salah seorang murid Adam yang bernama Erna telah membantu menggalas tanggungjawab untuk mengajar rakan-rakannya itu. 

4 comments

  1. Sebuah cerita yang menarik.. Bolehlah usha nanti..

    ReplyDelete
  2. Bgusnya teringat 1 owner resort dkt Semporna ni dia ada buat sekolah juga utk anak2 bajau laut yg stateless n tak boleh nak dpt pendidikan formal mcm kita2 ni.. So kdg2 emak akan belikan pencil colors, alatan menukis n buku2 utk depa2ni

    ReplyDelete
  3. Dari segi jalan cerita, memang nampak menarik

    ReplyDelete

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.