RAHSIA VERSI REBOOT BAKAL DITAYANGKAN 10 OGOS INI!

Thursday 13 July 2023

VERSI REBOOT BAKAL DITAYANGKAN 10 OGOS INI! | Diarahkan oleh Shamyl Othman, anak kepada pengarah versi asal Rahsia, Othman Hafsham 

Filem seram pertama yang dinobatkan sebagai pemenang Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-7 (FFM7) serta membolot tujuh anugerah dalam kategori lain pada tahun 1987, RAHSIA bakal tampil semula dengan versi reboot. Diterbitkan oleh Astro Shaw bersama Five Star Trading, filem ini dijadualkan tayangan di pawagam seluruh negara bermula 10 Ogos ini. 

Rahsia, sebuah filem seram ikonik arahan Othman Hafsham telah berjaya melakar fenomena suatu masa dulu sekali gus mengangkat beliau sebagai Pengarah Terbaik FFM7. Legasi beliau diteruskan oleh anaknya, Shamyl Othman yang kini diberi kepercayaan untuk mengarahkan filem reboot Rahsia. Shamyl sebelum ini menghasilkan filem kegemaran ramai ‘Kami Histeria’ dan drama bersiri ‘Kau VS Aku’.  Manakala skrip adalah hasil oleh Creator drama premium One Cent Thief, Alfie Palermo. 

Seperti versi asal Rahsia yang membariskan pelakon terkenal negara, versi reboot turut menampilkan wajah-wajah popular. Watak Ramlah yang dijayakan oleh Noor Kumalasari, kini dilakonkan oleh Nabila Huda. Manakala, watak Hamdan oleh Shukery Hashim digerakkan oleh Fikry Ibrahim. Barisan pelakon lain termasuk Eman Manan, Marsha Milan, Rashidi Ishak, Qistina Raisah, Syed Ali Murtadha, Mislina Mustaffa, Aloy Paradoks serta Nabil Zakaria di samping penampilan istimewa Othman Hafsham dan Susan Lankester. 

Penerbit Eksekutif Rahsia merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Selepas filem aksi Polis Evo 3, Astro Shaw bakal mempersembahkan sebuah lagi filem terbaru dengan genre seram iaitu Rahsia. Ini merupakan julung-julung kali filem seram tempatan dikembalikan semula dalam versi reboot. 

Kami memilih Rahsia kerana filem ini adalah sebuah karya ‘cult classic’ yang mempunyai pengikutnya tersendiri. Kejayaannya dalam melakar fenomena pada tahun 1987 bukan sekadar memberi impak pada penonton, tetapi juga pada landskap industri perfileman negara apabila menjadi filem seram pertama yang diangkat sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia. Bahkan kami percaya jalan ceritanya masih relevan sehingga kini.”

“Mungkin generasi baru tidak begitu mengetahui tentang filem Rahsia 1987, jadi kami berharap kehadiran versi reboot ini dapat mencipta satu lagi sejarah baru. Apatah lagi filem tempatan jarang diangkat untuk dijadikan filem reboot berbanding filem-filem dari negara luar. Kami tidak berniat untuk menyaingi filem yang asal tetapi ini adalah satu bentuk penghargaan terhadap karya-karya terbaik Malaysia dan kami berusaha untuk tidak mengecewakan penggemarnya.” 

Rahsia membongkar sejarah silam sebuah keluarga. Ramlah pulang bercuti ke rumah ayahnya, Tan Sri Karim bersama suami, Hamdan dan anak-anak, Marina dan Saiful. Keadaan menjadi keruh apabila Saiful tiba-tiba lesap sewaktu mereka berkelah di tepi pantai. Pihak polis yakin Saiful hilang di persisiran pantai, namun Ramlah berkeras bahawa anaknya disembunyikan kuasa mistik. Sementara Hamdan menyertai pihak polis dalam operasi pencarian, Ramlah diganggu oleh kelibat wanita yang menggerunkan. Walaupun tiada bukti kukuh, Ramlah bertekad untuk berdepan dengan puaka tersebut sekali gus merungkai rahsia di sebalik kehilangan anaknya itu.

Rahsia membawa tagline ‘Dia Takkan Pergi’. Manakala, lagu bertajuk ‘Alunan Lara’ adalah lagu tema rasmi Rahsia dan dinyanyikan oleh Njwa. Njwa juga merupakan komposer dan lirik untuk lagu edaran Rocketfuel Entertainment ini. 

Istimewa buat peminat dan penonton, boleh menjadi penonton terawal menyaksikan filem ini melalui ‘sneak preview’ bermula 9 Ogos dengan tayangan pertama bermula 8.00 malam.

Sertai peraduan filem Rahsia di platform sosial media Astro Shaw dan Astro Gempak bermula 10 Ogos 2023 untuk menangi hadiah eksklusif. Ikuti Broadcast Channel Astro Shaw untuk dapatkan info dan kata petunjuk. 

Nantikan filem Rahsia yang akan menemui penonton 10 Ogos 2023 di pawagam seluruh negara. Gunakan #Rahsia #Rahsia2023 untuk berkongsi video atau ciapan di media sosial. Ikuti info dan klip-klip menarik Rahsia di Instagram, TikTok, Facebook, Twitter Astro Shaw dan Astro Gempak. 

1 comment

  1. Wah.. reboot.. Tak ingat perna tengok ke tak yang versi asal ini..

    ReplyDelete

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.