Belum pun menjengah pawagam, Polong sudah mula “menghantui” ruang digital. Dalam tempoh kurang 24 jam selepas teaser dilancarkan, filem seram tempatan ini berjaya meraih lebih 3 juta tontonan di media sosial. Satu angka yang bukan sahaja mengagumkan, malah mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan netizen.
Menariknya, perhatian bukan sekadar pada jumlah tontonan, tetapi reaksi yang mengiringinya. Media sosial kini dipenuhi pelbagai respons penonton yang rata-rata mengakui rasa kurang selesa selepas menonton teaser tersebut. Ada yang menyifatkan visualnya terlalu real sehingga mengganggu emosi, manakala ada juga yang mengaku tidak berani menghabiskan tontonan.
Fenomena ini secara tidak langsung menambahkan aura misteri terhadap Polong. Tanpa banyak didedahkan, teaser tersebut berjaya meninggalkan kesan psikologi yang kuat, cukup untuk membuatkan penonton tertanya-tanya tentang kisah sebenar di sebalik naskhah ini.
Polong mengangkat kisah Maria Hadi, seorang wanita yang pernah terjerumus dalam amalan ilmu hitam sebelum berusaha mencari keampunan di penghujung hayatnya. Namun, seperti kebanyakan kisah yang terikat dengan dosa silam, bayangan masa lalu tidak mudah dilepaskan malah terus menghantui generasi seterusnya.
Diarahkan oleh Zulkarnain Azhar dan diterbitkan oleh Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB), Polong dibarisi pelakon seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Namron, June Lojong dan Nadiya Nisaa. Dengan sokongan pengedaran oleh 10 Star Cinemas Sdn Bhd serta kerjasama pemasaran bersama Primeworks Studios, filem ini dijangka menjadi antara filem seram tempatan paling dinanti tahun ini.
Filem ini mengetengahkan tema legasi, penyesalan dan akibat daripada amalan terlarang yang merentasi masa. Gabungan elemen ini menjadikan ia bukan sekadar filem seram biasa, tetapi sebuah penceritaan yang sarat dengan emosi dan konflik dalaman.
Persoalannya kini…jika teaser pun sudah cukup mengganggu, sejauh mana pengalaman sebenar di pawagam nanti?
Jawapannya bakal terungkai apabila Polong menghantui pawagam seluruh negara bermula 28 Mei ini.
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, ikuti kami di media sosial melalui Facebook, X, Instagram, Threads serta saluran YouTube Primeworks Studios.
#Polong #DiaKembali

Selamat menonton
ReplyDelete