Movie Review | Haq (2025)

Saturday, 11 April 2026


Pengarah: Suparn Verma
Penulis Skrip: Reshu Nath
Pelakon: Yami Gautam Dhar, Emraan Hashmi, Vartika Singh, Sheeba Chaddha
Syarikat Produksi: Junglee Pictures, Insomnia Films, Baweja Studios
Pengedar: Junglee Pictures, Netflix
Genre: Drama
Durasi Tayangan: 136 minit
Tarikh Tayangan: 07 November 2025
Trailer:


Berlatarkan tahun 1970-an di Sankhani, India, Haq mengisahkan kehidupan Shazia Bano (Yami Gautam Dhar) yang berkahwin dengan seorang peguam kacak bernama Abbas Khan (Emraan Hashmi). Kehidupannya bahagia sebagai isteri, suri rumah dan juga ibu kepada anak-anak mereka. 

Kemudian segalanya berubah apabila Abbas pergi ke Pakistan kerana kerja. Ketika pulang, Shazia bertemu dengan isteri muda bernama Saira Jahan (Vartika Singh). Shazia cuba beralah namun dia mula tahu perkara sebenar di mana Saira adalah cinta pertama Abbas. 

Terkesan dengan kenyataan tersebut, Shazia pulang ke rumah keluarga bersama anak-anaknya. Dia ingin bekerja namun dihalang oleh masyarakat sekeliling, dia juga dicemuh kerana berani lari dari suami. Bagi mereka, perkara tersebut memalukan dan untuk menegakkan keadilan terhadap diri dan anak-anaknya, Shazia minta Abbas bayar nafkah sebanyak 400 rupees sebulan. 

Sakit hati dengan perbuatan Shazia, Abbas jatuhkan talak tiga dan culas dengan tanggungjawabnya. Shazia bawa perkara ini ke mahkamah kerana penindasan oleh talaq-e-biddat juga isu nafkah. Peguam aktivis bernama Bela Jain (Sheeba Chaddha) bantu Shazia menegakkan keadilan. 

Filem Haq diadaptasikan dari novel Bano: Bharat ki Beti, karya nukilan Jigna Vora diterbitkan pada tahun 2025 lalu difilemkan dengan khidmat sutradara Suparn Verma. Filem Haq merupakan perjalanan emosi seorang wanita yang dengan mudahnya ditindas dalam perkahwinan. Kes Shazia Bano adalah salah satu kes yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi di India jadi kebanyakan fakta kes adalah fakta sebenar. 

Kalau berlatarkan generasi lama, diskriminasi terhadap wanita tersangat banyak dan tak hairan pun kalau watak Shazia dicemuh dan dikutuk oleh kaum wanita sendiri. Lagi pedih bila dia kena tempelak dengan ibu dia sendiri. Kekuatan dia pun datang dari ayah dia sebagai seorang ustaz (Danish Hussain) yang tahu dan mengajar ilmu agama. 

Tapi siapalah ustaz di mata majlis mufti agama, semua tindakan Shazia dianggap memalukan agama. Kalau penulisan dari Reshu Nath berlebihan, mungkin Haq dilihat sebagai propaganda untuk cemarkan nama baik agama Islam tapi tak pun sebab itulah realiti kehidupan wanita zaman dahulu. Jangankan dekat India, cemuhan yang sama juga wujud di Malaysia atau mungkin negara Asia yang lain. Bercerai tak pernah jadi pilihan utama jadi sebab tu ramai yang tutup mata bila dapat suami curang atau kaki pukul. 

Sesuai sangat Haq jadi judul filem sebab plot utama adalah tentang hak Shazia sebagai isteri dan ibu. Dalam dunia yang mengangkat ego lelaki, patriarki, kuasa, autoriti dan wang, muncul keberanian untuk melawan semua demi anak-anak. Dalam babak Abbas bantu pekerja dia dengan bagi wang dan dengan mudah dia cipta imej majikan dan lelaki yang baik dalam masyarakat sebab murah hati tapi hakikatnya, dengan isteri dan anak-anak sendiri berkira sampai kebajikan terabai. 

Ada masanya watak Shazia emosi berlebihan sampai makan diri tapi siapa tak stress bila ada dalam situasi macam tu? Lakonan Yami Gautam menghidupkan personaliti Shazia yang terbeban dan dihalang walhal permintaan dia cuma hak asas. Bukannya dia malas bekerja tapi dihalang bekerja. Bukan saja rezeki dia disekat, rezeki keluarga pun terbatas sebab dipulaukan orang kampung. 

Pertama kali Yami digandingkan dengan Emraan Hashmi dan watak Abbas adalah watak antagonis yang kuat selepas bakat dia tersia dalam Tiger 3 (2023). Watak Abbas tak baran tapi tenang dan pandai bermain kata, sebab tu juga Shazia termakan. Susah nak percaya bila Abbas kata dia sayang Shazia sebab dia pun pandai bermuka-muka.

Dalam filem Haq ni boleh nampak yang lelaki tak peduli sangat pun dengan kemahiran isteri sebab layanan Abbas dekat Shazia dan Saira berbeza sangat. Ada babak Shazia terkejut rumah tak terjaga lepas dia keluar tapi Abbas tak ambil pusing pun asalkan Saira okay. Shazia memang wife material, serba boleh sebagai ibu dan suri rumah. Mungkin sebab tu dia rasa rugi kalau ceraikan. 

Walaupun filem Haq terarah pada legal battle tapi I tak lah berminat sangat sebab ada babak yang terlihat draggy dengan unnecessary drama dari Shazia. Cuma berminat lah untuk dengar hujah tentang talaq-e-biddat yang diharamkan dalam agama. Music and visual okayish for a small budget movie. 

1. Team Production +1, 2. Visual +0.7, 3. Audio +0.6, 4. Storyline +0.8, 5. Casting +1, 6. Genre +0.7, 7. Themes +1, 8. Editing +0.7, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.8 = 8.3/10

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.