Karnival Jom Heboh x Mega JPJ MADANI 2026 Gegar Batu Kawan dengan Hiburan, Aktiviti & Perkhidmatan Rakyat

Monday, 20 April 2026

JOM MAI BERAMAI-RAMAI! | Karnival Jom Heboh x Mega JPJ MADANI 2026 Gegar Batu Kawan dengan Hiburan, Aktiviti & Perkhidmatan Rakyat

Kuala Lumpur, 20 April 2026 – Karnival Jom Heboh (KJH), acara padang paling ikonik di Malaysia, kembali menghangatkan suasana dengan membuka tirai jelajah 2026 menerusi kolaborasi istimewa bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena Sambutan Ulang Tahun JPJ ke-80. Bertempat di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, karnival ini akan berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 April 2026 (Jumaat hingga Ahad), menjanjikan pelbagai aktiviti menarik, hiburan tanpa henti serta inisiatif mendekati rakyat dalam suasana santai dan meriah.

Menggabungkan elemen hiburan dan perkhidmatan komuniti, penganjuran kali ini menjadi lebih istimewa apabila buat julung kalinya KJH menjalinkan kolaborasi bersama Karnival Mega JPJ Madani. Inisiatif ini bukan sahaja menawarkan pengalaman karnival yang dinanti-nantikan, malah membuka ruang kepada orang ramai untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan agensi kerajaan dalam suasana santai dan mesra.

Lebih istimewa Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim dijadualkan hadir bagi majlis pelancaran sambutan ulang tahun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke-80 pada Sabtu, 25 April, bersama Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, YBhg Tan Sri Shamsul Azri Abdul Bakar, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB Dato' Seri Haji Zulkifli Long, serta Ketua Pengarah JPJ, YBhg Dato' Aedy Fadly Ramli. Kehadiran barisan kepimpinan tertinggi negara ini pastinya akan menyemarakkan lagi acara serta menjadikan penganjuran ini lebih bermakna dan berprestij.

Pelbagai aktiviti menarik di bawah anjuran JPJ turut disediakan bagi memeriahkan sambutan ini. Antaranya termasuk JPJ Fun Run yang mengajak orang ramai untuk sama-sama menyertai gaya hidup sihat, selain inisiatif kebajikan seperti pertukaran helmet percuma serta servis minyak hitam motosikal secara percuma kepada pengunjung. Turut menjadi tumpuan ialah jualan nombor pendaftaran kenderaan yang menarik dan popular, yang pastinya mendapat perhatian para peminat nombor eksklusif.

Selain itu, acara Battle of the Band akan menyaksikan enam band terpilih dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan berentap pada malam Jumaat, 24 April, dengan persembahan bertenaga yang menjanjikan hiburan kepada para pengunjung, di samping perhimpunan kelab permotoran yang menghimpunkan komuniti peminat automotif dari pelbagai latar belakang serta pelbagai aktiviti menarik seperti zon permainan kanak-kanak Soopa Doopa, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma, Zumba Challenge, Pound Stick Fitness dan agihan 12,000 pek nasi kari secara percuma yang pastinya menambah kemeriahan sepanjang penganjuran acara ini.

Pelbagai aktiviti kekeluargaan turut disediakan, sesuai untuk semua peringkat umur. Tidak ketinggalan, lebih 150 reruai daripada jenama tempatan dan antarabangsa akan memeriahkan karnival dengan pelbagai promosi eksklusif, pensampelan produk serta tawaran hadiah menarik buat para pengunjung. Antara pengisian utama adalah seperti berikut:

Reruai Studio Tonton Drama Sangat (STDS)
Antara aktiviti menarik termasuk Pertandingan Karaoke Juara AJL yang berlangsung pada Sabtu, terbuka kepada peserta berumur 18 tahun ke atas sama ada secara solo, duo atau berkumpulan, dengan peluang memenangi wang tunai sehingga RM500. Turut memeriahkan acara ialah Karaoke Challenge yang terbuka kepada semua, serta Coloring Contest khas untuk kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah dengan pelbagai hadiah menarik menanti.

Pada Ahad pula, pengunjung boleh menyertai Explorace Ejen Ali yang terbuka kepada rakyat Malaysia berumur 6 tahun ke atas, dengan tawaran hadiah wang tunai sehingga RM500. Tidak ketinggalan, sambutan ulang tahun ke-10 Ejen Ali turut diadakan bagi meraikan pengunjung yang lahir pada bulan April, menambah lagi kemeriahan sepanjang acara berlangsung.

Selain itu, pengunjung bakal diserikan dengan sesi Meet & Greet yang lebih meriah dan penuh keterujaan bersama barisan selebriti dan pelakon popular seperti Zazzleen, Zairi Aziz, Alya Iman, Muaz Zabir, Gabriella (Gbril), Siti Hariesa dan Nabil Aqil. 

Rumah Hantu Jom Heboh X Pewaris Susuk
Rumah Hantu Jom Heboh x Pewaris Susuk menjanjikan pengalaman seram yang penuh debaran buat para pengunjung, disertai peluang eksklusif untuk bertemu barisan pelakon utama seperti Rosyam Nor dan Alya Iman menerusi sesi meet and greet istimewa. Jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri aura misteri yang diinspirasikan daripada filem Pewaris Susuk, yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 30 April ini.

Studio Jom Heboh 
Selain dari pemberian hadiah percuma, antara aktiviti yang akan diadakan termasuk Segmen baharu iaitu Jom Cantik yang meraikan kecantikan, keyakinan dan ekspresi diri wanita secara menyeronokkan dan inklusif. Slot 1 jam setiap hari, termasuk perkongsian tentang kecantikan dan keyakinan serta sesi makeover. Elemen Environment, Safety and Governance (ESG) juga akan diterapkan melalui inisiatif kitar semula dengan menggalakkan pengunjung membawa botol air plastik terpakai. Sebagai penghargaan, mereka akan menerima lencana eksklusif KJH. Inisiatif ini bertujuan memupuk kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar dan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.

New Straits TImes Press (NSTP)
Tahun ini, booth New Straits Times Press (NSTP) tampil lebih meriah dengan Dunia Kreatif NSTP, sebuah reruai interaktif untuk pengalaman keluarga yang menggabungkan kreativiti, literasi media dan aktiviti secara langsung. Reruai ini menjadi ruang untuk pengunjung, terutamanya kanak-kanak dan ibu bapa, merasai sendiri dunia kewartawanan dan seni dengan cara yang lebih dekat dan interaktif.

Antara tarikan yang disediakan termasuk Stesen Seni, Kraf & Origami menggunakan bahan surat khabar NSTP kitar semula, Photobooth Muka Depan NSTP yang memberi peluang kepada pengunjung menjadi “headline” hari tersebut dengan cetakan foto segera, serta Pertandingan ‘Wartawan Cilik’ yang menjadikan ruang karnival sebagai bilik berita kecil, memberi peluang kepada bakat muda menghasilkan kandungan

Konsert Jom Heboh


Kemuncak acara, Konsert Jom Heboh yang berlangsung selama dua malam berturut-turut pada Sabtu, 25 April 2026 dan Ahad, 26 April 2026 akan menampilkan barisan artis popular tanah air, dengan malam Sabtu dimeriahkan oleh Dato' Awie, Dato' Sri Siti Nurhaliza, Shiha Zikir, Kristal X dan Wani Kayrie, manakala pada malam Ahad pula akan menampilkan Nadeera, Ara Johari, Hael Husaini, Mariam OIAM, K.O.I dan Floor 88 yang bakal menghiburkan para pengunjung dengan persembahan bertenaga masing-masing.

Love Food Fest
Selain itu, ini turut menampilkan pelbagai zon gaya hidup termasuk pesta makanan yang menghimpunkan vendor makanan viral dan tempatan, ruang interaktif keluarga serta aktiviti komuniti yang memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan pengunjung.

Penganjuran KJH terus mengekalkan reputasinya sebagai platform komuniti yang menyatukan masyarakat pelbagai lapisan, dengan kehadiran purata lebih 300,000 pengunjung bagi setiap lokasi. Dengan gabungan hiburan, gaya hidup dan perkhidmatan rakyat, edisi kali ini dijangka memberikan pengalaman yang lebih menyeluruh dan bermakna kepada para pengunjung.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Karnival Jom Heboh x Mega JPJ Madani 2026 di Stadium Negeri Batu Kawan dari 24 hingga 26 April 2026 dan merasai sendiri kemeriahan yang hanya boleh didapati di Jom Heboh.

Gunakan tanda pagar rasmi #TV3SentiasaBersamamu, #KarnivalJomHeboh dan #KJH2026 untuk berkongsi detik menarik anda sepanjang karnival berlangsung. Untuk maklumat lanjut, layari www.jomheboh.com.my atau ikuti akaun rasmi media sosial @jomhebohofficial.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.