‘DORM 403 BONGKAR RAHSIA GELAP SEKOLAH BERASRAMA’ | MUAZ ZABIR BONGKAR REALITI REMAJA DALAM PERSEKITARAN TOKSIK
Kuala Lumpur, 08 April 2026 – Di sebalik rutin harian sebuah sekolah berasrama, tersembunyi rahsia lama yang tidak pernah benar-benar mati, hanya menunggu masa untuk kembali menghantui. Dunia drama tempatan bakal dikejutkan dengan sebuah naskhah saspens penuh misteri dan emosi, “DORM 403”, yang akan mula bersiaran pada 15 April 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di slot Samarinda, TV3 dan turut boleh distrim di aplikasi iQIYI satu jam selepas siaran TV3.
Drama bersiri sebanyak 13 episod ini menampilkan barisan pelakon muda berbakat seperti Muaz Zabir, Zairi Aziz, Gbril, Evertts Gomes, Nik Rifaie, Muhsin Nadzli, Noki, Dynas Mokhtar dan Puteri Aleeya yang menghidupkan watak-watak kompleks dalam dunia penuh tekanan, rahsia dan konflik yang semakin meruncing.
Drama ini mengangkat kisah kehidupan para pelajar di Sekolah Menengah Seri Alami, sebuah sekolah berasrama penuh yang digemparkan dengan kehilangan misteri Sheikh yang dilakonkan oleh Zairi Aziz, anak kepada pengetua sekolah, Puan Asma (Dynas Mokhtar). Apa yang pada awalnya dilihat sebagai kisah biasa remaja, termasuk persahabatan, cinta dan konflik harian, akhirnya bertukar menjadi sebuah tragedi yang membuka lembaran rahsia gelap yang sekian lama tersembunyi.
Muaz Zabir menggalas watak utama sebagai Fuza atau “Kuyu”, ketua kumpulan The Palang, seorang pelajar yang digeruni kerana renungan tajam dan aura dinginnya yang mampu menimbulkan ketakutan dalam kalangan pelajar lain. Di sebalik sifatnya yang pendiam dan introvert, tersembunyi sisi gelap yang terbentuk daripada trauma silam serta latar belakang keluarga yang penuh konflik.
Watak Kuyu memberikan cabaran emosi yang mendalam sepanjang proses lakonan. Menurut Muaz Zabir, “Kuyu bukan sekadar watak ‘jahat’, tetapi seorang yang terbentuk daripada luka yang dipendam sekian lama. Cara dia melihat dunia sangat dingin, dan dia hanya tahu melindungi diri dengan mencipta rasa takut dalam diri orang lain. Bagi saya, Kuyu adalah refleksi bagaimana trauma boleh membentuk seseorang menjadi siapa dirinya hari ini.”
“DORM 403” bukan sekadar kisah misteri kehilangan, tetapi turut menyelongkar realiti kehidupan remaja yang sarat dengan tekanan, keinginan untuk diterima, serta kesan luka emosi yang berpanjangan.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan “DORM 403”, bermula 15 April 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di slot Samarinda, TV3.
Penonton boleh menonton episod baharu secara eksklusif di iQIYI, 1 jam selepas siaran di TV3, sama ada melalui laman web iQIYI atau aplikasi di Google Play dan App Store.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.