“TAKDE TONTON, TAK NAK KAWAN” | RASMI HARI INI! TRACIE SINIDOL & JAZMY JUMA KINI WAJAH BAHARU TONTON
Kuala Lumpur, 1 Disember 2025 – Tonton hari ini memperkenalkan dua nama yang tidak asing lagi dalam radar peminat drama tempatan, Tracie Sinidol dan Jazmy Juma, sebagai wajah baharu Tonton. Pengumuman ini hadir seiring dengan pelancaran kempen terbaharu platform tersebut, “Takde Tonton, Tak Nak Kawan,” yang memberi tumpuan khusus kepada penonton generasi muda, selain mengukuhkan kedudukan Tonton sebagai norma sosial baharu.
Menjelang 2026, pasangan ini akan menerajui pelbagai inisiatif dan aktiviti jenama Tonton, dengan kempen “Takde Tonton, Tak Nak Kawan” sebagai pembuka tirai. Kempen ini mengetengahkan Tonton sebagai destinasi hiburan yang lebih menyeronokkan, berani dan menjadi ruang perkongsian detik menonton bersama.
Pemilihan Tracie dan Jazmy bukan satu kejutan. Kedua-duanya pernah mencetuskan fenomena luar biasa menerusi drama popular Hilang Dalam Rindu, yang sehingga kini masih menjadi antara gandingan paling diingati peminat.

Tracie terus mencuri perhatian sebagai pelakon meningkat naik dengan pengaruh digital yang kuat, manakala Jazmy muncul sebagai antara bakat lelaki muda paling hangat diperkatakan tahun ini. Keserasian mereka, digabungkan dengan tarikan semula jadi masing-masing, menjadikan duo ini pilihan yang sangat sesuai dengan jiwa penonton muda.
Aura ceria dan personaliti mereka turut menjadikan kedua-duanya individu tepat untuk membawa semangat baharu Tonton dalam usaha mendekati penonton muda yang kini mendominasi tontonan digital. Mereka hadir bukan sekadar sebagai wajah, tetapi sebagai jambatan antara Tonton dan generasi penonton baharu dengan lebih berkesan.
Strim Secara Percuma, Langgan Lagi Layan Dengan Hanya RM9.90 Sahaja! Melalui langganan pelan mampu milik Tonton Up, penonton boleh menikmati kandungan premium pada setiap masa dan di setiap lokasi, semuanya di hujung jari mereka sahaja.
Dengan wajah baharu, tenaga baharu dan arah tuju yang lebih segar, Tonton bersedia melangkah ke tahun 2026 sebagai platform hiburan yang semakin dekat dengan golongan belia Malaysia tanpa mengabaikan penonton setianya. Nantikan lebih banyak pengumuman dan aktiviti menarik bersama Tracie dan Jazmy yang bakal menanti!
Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy.
Semakin popular ye mereka berdua ni..
ReplyDelete