22 Disember 2025, Kuala Lumpur – Papa Zola The Movie terbitan MONSTA Studio dan Astro Shaw berjaya mengaut RM25.6 juta untuk 11 hari tayangan. Lebih membanggakan apabila kejayaan ini meletakkan Papa Zola The Movie berada di kedudukan nombor satu carta Top 10 GSC, sekali gus menyaksikan filem tempatan mengetepikan francais besar antarabangsa seperti Avatar: Fire And Ash, Zootopia 2 dan Five Nights At Freddy's 2.
Penonton daripada pelbagai lapisan usia, khususnya seisi keluarga mengambil peluang untuk menonton bersama, apatah lagi musim cuti persekolahan sudah bermula.
Pengarah & Penulis Papa Zola The Movie, dan Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, menyatakan, “Bermulanya musim cuti persekolahan turut membuka ruang kepada keluarga untuk meluangkan masa bersama, dan kami bersyukur Papa Zola The Movie dipilih sebagai antara aktiviti percutian menonton bersama keluarga di pawagam. Lebih bermakna, sambutan ini digerakkan oleh perkongsian pengalaman penonton sendiri. Fenomena ‘demam kebenaran’ ini membuktikan bahawa sokongan organik terhadap filem tempatan mampu mendorong lebih ramai penonton untuk menyokong karya anak tempatan”
Manakala Penerbit Eksekutif Papa Zola The Movie merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Kami amat berbesar hati dan bersyukur atas pencapaian Papa Zola The Movie. Dalam persaingan sengit dengan pelbagai filem baharu daripada francais popular Hollywood, kejayaan ini membuktikan bahawa filem tempatan mampu memberi saingan yang kuat. Pencapaian ini sekali gus mencerminkan keupayaan industri kreatif tempatan untuk menghasilkan kandungan berkualiti tinggi yang relevan dengan citarasa penonton pelbagai lapisan. Terima kasih kepada semua peminat dan penonton yang terus menyokong Papa Zola The Movie di pawagam.”
TGV Klebang Sentra Mall dan GSC Sunway Carnival Dibanjiri Penonton & Peminat
Sementara itu, siri jelajah hujung minggu lalu diadakan di Perlis, Penang, Kedah, Perak dan Lembah Klang. Kehadiran maskot Papa Zola, Mama Zila, Pipi Zola dan BoBoiBoy disambut meriah. Demam Papa Zola The Movie telah mencetuskan ‘fenomena kebenaran’.
Papa Zola The Movie mengisahkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarga kecilnya. Tanpa diduga, dia bertemu semula dengan rakan lama yang pernah berkhidmat bersamanya dalam organisasi rahsia P.A.P.A (Protect and Prevent Agency). Namun keadaan menjadi genting apabila anaknya, Pipi, diculik makhluk asing. Papa Zola bersama Mama Zila perlu bertindak pantas untuk menyelamatkan Pipi dan melindungi dunia daripada ancaman tersebut.
Filem ini kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Filem ini bakal melangkah panggung antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia dan di India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah yang merangkumi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026.



Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.