Kuala Lumpur, 29 Disember 2025 – Program realiti pencarian hos baharu, Malaysian Host Wanted, terus mencuri perhatian apabila episod kedua menyaksikan hanya enam peserta terbaik daripada sepuluh berjaya melangkah ke peringkat final. Enam finalis yang terpilih ialah Ceddy Ang, Meyra Khan, Fimie Don, Daniel Cheang, Nina Amin dan Keanu Azman.
Episod kedua yang berdurasi satu jam ini memberi fokus kepada perjalanan salah seorang finalis, iaitu Ceddy Ang, dalam menghasilkan sebuah episod pilot atau episod percubaan bagi rancangan terbitannya sendiri berjudul “Dr. Foodie”.
Dalam rancangan ini, Ceddy Ang tampil sebagai pengacara utama menerusi watak unik Dr. Foodie, seorang hos yang ‘mendiagnosis’ permasalahan sesebuah restoran. Dalam episod pilot ini, Dr. Foodie menerima aduan mengenai sebuah restoran yang menawarkan hidangan lazat, namun kurang mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan.
Bersama artis jemputan, Marsha Milan, Ceddy Ang turun padang ke restoran berkenaan bagi meneliti, mengkaji dan menyiasat punca sebenar mengapa restoran tersebut kurang dikunjungi meskipun kualiti hidangannya mendapat pujian. Pendekatan investigatif yang santai namun informatif menjadi teras utama konsep rancangan Dr. Foodie.
Sepanjang 30 minit pertama, penonton dibawa menyelami sisi belakang tabir perjalanan Ceddy Ang sebagai penerbit dan pengacara, merangkumi proses perancangan konsep, cabaran produksi, sehinggalah proses penggambaran episod pilot Dr.Foodie. Segmen ini menyingkap realiti sebenar usaha, komitmen serta tekanan yang dihadapi oleh para finalis dalam membuktikan kelayakan mereka sebagai hos profesional.
Manakala 30 minit seterusnya menampilkan tayangan penuh episod pilot Dr. Foodie, diikuti dengan sesi tontonan dan reaksi daripada barisan juri serta panel jemputan. Episod ini dinilai oleh hos dan juri tetap Sherry Alhadad, bersama dua juri profesional berpengalaman, Datuk Aznil Haji Nawawi dan Awal Ashaari, selain pandangan serta kritikan membina daripada rakan-rakan wartawan industri hiburan.
Episod kedua ‘Malaysian Host Wanted’ bukan sahaja menguji kebolehan mengacara, malah menilai keupayaan finalis Ceddy Ang dalam mencipta kandungan yang relevan, menarik dan bersifat komersial untuk tontonan televisyen masa kini. ‘Malaysian Host Wanted’ Episod 2 menjanjikan pendedahan eksklusif yang sarat dengan emosi, cabaran sebenar dunia penerbitan serta kritikan jujur daripada barisan pakar industri. Satu episod yang wajib ditonton oleh peminat rancangan realiti dan pencinta dunia pengacaraan tempatan.
Untuk makluman, pemenang ‘Malaysia Host Wanted’ bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000, selain peluang membuka laluan kerjaya sebenar sebagai hos di rancangan-rancangan terbitan Astro, menjadikan rancangan ini platform realistik untuk melahirkan hos berkualiti tinggi yang bersedia menghadapi industri sebenar.
Saksikan ‘Malaysian Host Wanted’ - Dr Foodie by Ceddie Ang secara On Demand di Astro GO dan sooka, serta episod-episod baharu pada setiap Khamis, jam 11.30 malam di Astro Ria (saluran 104).
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.