‘LANGIT TAK MENJAWAB’ - RINTIHAN JIWA DAN SUARA MARYGRACE | OST TELEFILEM MEGA MALAYSIA-INDONESIA ‘RUMAH MENANTI CAHAYA’ TERBITAN TV3
Kuala Lumpur, 24 Oktober 2025 – Penyanyi berbakat besar dan juara program nyanyian One In A Million (OIAM), Marygrace, kembali mencipta magis menerusi single terbaharunya berjudul Langit Tak Menjawab, terbitan Sony Music Entertainment Malaysia dengan kerjasama Alternate Records.
Dicipta oleh Acap Salim dan Arif Izo, lagu ini menggabungkan melodi pop balada berorkestra dengan sentuhan dramatik rock yang memperkuatkan emosi dan jiwanya. Bagi Marygrace, detik pertama mendengar demo lagu ini sudah cukup menyentuh hatinya. “Waktu pertama kali saya dengar demo lagu ini, saya terus rasa dekat dengan maksudnya. Langit Tak Menjawab bagi saya bukan sekadar lagu sedih, tapi tentang seseorang yang mencari jawapan yang merasa kehilangan dan kesunyian. Inspirasi utama saya datang daripada pengalaman peribadi tentang kehilangan.” katanya.
Dalam mendekati lagu yang sarat dengan emosi ini, Mary memilih untuk tidak menonjolkan teknik vokal semata-mata, sebaliknya memberi fokus kepada kejujuran dalam penyampaian. “Saya cuba untuk tidak terlalu menyanyi, tapi lebih kepada merasakan setiap bait lirik. Setiap kali masuk studio rakaman, saya bayangkan diri saya dalam situasi yang sama,” tambah beliau.
Sesi rakaman lagu ini turut meninggalkan momen yang sukar dilupakan. Langit Tak Menjawab menampilkan sisi diri Mary yang lebih matang dari segi vokal dan penghayatan. “Ada satu momen di bahagian korus terakhir, saya tiba-tiba rasa sebak. Macam ada sesuatu yang berat dalam dada, tapi saya teruskan hingga komposer puas hati dengan hasilnya. Lagu ini berbeza daripada karya saya sebelum ini, lebih mendalam, puitis dan benar-benar membawa saya keluar dari zon selesa.” ujarnya.
Sebagai penyanyi yang mengutamakan kejujuran dalam setiap karya, Mary berhasrat agar Langit Tak Menjawab mampu menjadi peneman hati bagi mereka yang pernah melalui rasa kehilangan atau menunggu sesuatu yang tidak pasti. “Saya harap lagu ini dapat menyentuh hati mereka yang pernah rasa sunyi atau kehilangan. Kalau lagu ini mampu memberi sedikit ketenangan dan membuat pendengar rasa difahami, itu sudah cukup berharga buat saya,” luahnya dengan rendah hati.
Dengan kekuatan vokal yang tulus, susunan muzik yang megah dan lirik yang menyentuh, lagu ini bukan hanya sekadar curahan emosi malah sebuah doa, pengakuan dan perjalanan jiwa yang akan menyentuh setiap hati yang mendengarnya.
Lagu Langit Tak Menjawab juga merupakan runut bunyi rasmi (OST) untuk telefilem mega terbaharu TV3, ‘Rumah Menanti Cahaya’ sebuah karya hasil kolaborasi antara Malaysia dan Indonesia, kini boleh didengarkan di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube dan Deezer.
TENTANG TELEFILEM RUMAH MENANTI CAHAYA
‘Rumah Menanti’ Cahaya mengisahkan Mira lakonan Daiyan Trisha, seorang wanita Malaysia yang tiba di rumah keluarga mendiang suaminya Arman lakonan Diego Afisyah, di Jakarta selepas kemalangan tragis yang meragut nyawa lelaki itu. Kehadirannya bukan sahaja membawa jasad Arman pulang, tetapi juga berita mengejutkan bahawa dia ialah isteri yang baru dinikahi. Pak Ahmad lakonan Mathias Muchus menyambut menantunya dengan kasih bercampur duka, namun anak-anaknya menolak kehadiran Mira dengan curiga. Dalam penolakan itu, satu demi satu rahsia keluarga mula terbongkar, membawa mereka berdepan trauma, kehilangan dan pengertian sebenar tentang kasih serta keampunan.

Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.